Berita gembira buat peminat keluarga diraja British apabila Kate Middleton diumumkan hamil anak kedua melalui satu kenyataan yang diumumkan oleh Clarence House.
Kate hampir tiga bulan hamil dilaporkan sedang mengalami hyperemenis gravidarum, iaitu sejenis loya dan mabuk yang teruk akibat kehamilan dan terpaksa membatalkan aktiviti hariannya untuk menerima rawatan. Dia dijangka bakal melahirkan adik kepada George ini sekitar April 2015 nanti.
Pasangan Putera William itu melahirkan anak sulung mereka, Putera George pada 22 Julai tahun lalu. Kate yang sememangnya terkenal dengan stail chic dan elegan sudah pasti membuatkan peminat ternanti-nanti akan stail hamilnya kali ini pula. Namun jika dilihat dari aktivitinya ketika hamil anak pertama, dia jarang muncul di khalayak untuk berehat dan menjaga kesihatan kandungan.
Media dan orang ramai sudah mula membuat teka-teki akan jantina bayi dan juga nama yang bakal diberi kepada cahaya mata kedua pasangan diraja ini. Ramai yang menjangka mereka akan memilih nama Elizabeth jika ianya perempuan dan Henry sekiranya lelaki. Sama-sama kita nantikan perkhabaran baik tidak lama lagi dan GLAM akan cuba update berita terbaru mengenai Kate dari masa ke semasa.