Juliana Evans Selamat Dinikahkan Dengan Y.A.M Tengku Shariffuddin Shah
Pelakon dan cover girl GLAM Isu April 2017, Juliana Evans telah selamat diijabkabulkan bersama jejaka pilihannya Y.A.M Tengku Shariffuddin Shah bin Y.A.M Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj dalam satu majlis tertutup pagi tadi.
Pasangan yang betemu buat kali pertama di sebuah majlis sosial itu dinikahkan dengan sekali lafaz pada jam 10:45 pagi tadi di Masjid Istana Alam Shah Klang.
“Sejak kali pertama Tengku Adeq bertemu ibu sewaktu hadir di majlis perkahwinan abang saya, mereka saling memuji dan mengenali antara satu sama lain. Tengku Adeq tahu menyesuaikan diri dengan orang baru, penyayang, suka berjenaka dan easy going. Begitu juga dengan keluarga di sebelahnya, Jue kerap kali bertemu ayahanda dan bonda Tengku Adeq dan mereka sangat baik serta banyak membantu Jue untuk memahami tertib dan nilai keluarganya.” terang Juliana kepada GLAM dalam satu sesi temubual.
Foto: Instagram/JulianaEvans
Juliana turut menyatakan kesyukurannya ke atas kelancaran majlis tersebut yang dihadiri oleh sanak saudara daripada kedua-dua belah pihak.
“Alhamdulillah, saya kini sah bergelar isteri Tengku Shariffuddin Shah. Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam kehidupan rumah tangga. Dan saya berharap agar peminat terus mendoakan kebahagiaan kami,” jelas Juliana yang akan meneruskan aktiviti seni seperti biasa selepas ini.”
Pengantin baru itu juga turut memohon agar peminat-peminatnya agar terus menyokong dan mendoakan kebahagiannya bersama suami.