Carolina Herrera Bersuara: Fesyen Orang New York Buruk! - Glam Malaysia

Carolina Herrera Bersuara: Fesyen Orang New York Buruk!

CA: Vanity Fair Party 2014 – Red Carpet Gambar: TPGVIP

 
Kemeriahan Minggu Fesyen New York yang akan berlangsung dalam masa beberapa hari sahaja lagi dihangatakan dengan kritikan pedas pereka fesyen Carolina Herrera terhadap cita rasa fesyen penduduk New York sekarang.
 
Dia yang terkenal dengan estetika elegan berkata dalam sebuah temuramah dengan Haute Living, “Jika anda lihat mereka yang berjalan di kota New York sekarang, ianya amat teruk! Saya tidak pernah melihat individu yang berpakaian teruk seperti itu sepanjang hidup saya! Sungguh mengejutkan! Saya tidak tahu kenapa… saya tidak tahu apa yang terjadi.. tapi ianya benar-benar teruk!”
 
Pereka fesyen berumur 75 tahun itu juga turut membenci trend crop top. “Jika anda masih muda dan mempunyai badan yang cantik, ya anda boleh menggayakannya. Tetapi saya lihat stail ini sering dipakai oleh mereka yang tidak sesuai.” Turut berkongsi tip mengenai cara pemakaian, bicaranya “Anda kena memakai pakaian yang secocok dengan badan anda. Jangan terlalu mengikut hanya kerana trend fesyen mengatakan anda perlu memakai skirt mini. Sesetengah orang tidak mempunyai kaki yang panjang atau umur yang sesuai untuk menggayakan trend.”
 
Dia turut menambah, “Saya berada dalam kesesakan trafik pagi ini apabila saya melihat mereka yang berjalan di persekitaran New York. Saya terfikir… Apa yang sudah berlaku? Semua orang memakai pakaian yang salah! Keseimbangan dalam pemakaian adalah amat penting. Pakai pakaian yang sesuai dengan badan serta kena dengan personaliti anda.”
 
Antara individu yang bijak berpakaian menurut Herrera adalah Michelle Obama, yang turut merupakan pelanggan tetapnya. “Ms. Obama sukakan siluet klasik yang diberi sentuhan moden. Dia tahu apa yang kena dengan tubuh badannya.”
 
Sempena Minggu Fesyen ini, Carolina Herrera akan diberi penghormatan oleh The Couture Council of The Museum dengan Anugerah Couture Council for Artistry of Fashion bagi menghargai sumbangannya kepada dunia fesyen.
 
 

See also
Senarai Penuh Pemenang British Fashion Award 2014