Berlian “Pink Star” 59-karat Bakal Menjadi Berlian Termahal Dunia
Sebiji berlian bersaiz 59.60 karat yang telah digred oleh Gemological Institute of America baru-baru ini sebagai berlian “largest internally flawless fancy vivid pink” bakal dilelong semasa jualan Magnificent Jewels and Jadeite di cawangan Hong Kong Sotheby’s dengan nilai harga yang dianggarkan melebihi $60 juta.
Berlian yag diberi nama “The Pink Star” itu sebelum ini pernah dilelong pada harga $83 juta di Sotheby Geneva pada tahun 2013. Angka tersebut kekal sebagai jualan tertinggi untuk berlian mewah tersebut.
Namun tidak lama selepas itu, ura-ura mengatakan konsortium pembeli yang diketuai oleh pemotong berlian, Isaac Wolf, telah melakukan segalanya mengikut prosedur yang ditetapkan tetapi dia enggan membayar.
Pada Februari 2014 Sotheby mengesahkan ura-ura tersebut melalui laporan tahunan mereka yang menyatakan bahawa berlian itu berada dalam inventori dengan nilai $72 juta.
Rumah lelong itu juga dilaporkan terpaksa membeli semula berlian tersebut pada harga $60 juta kerana mereka telah menjanjikan harga tersebut pada penjual asal berlian tersebut.
“The Pink Star” telah menerima gred Type IIa, gred yang sangat amat jarang untuk berlian berona merah jambu dengan saiz ini. Ia berasal daripada lombongan kasa bersaiz 132.5 karat oleh De Beers pada tahun 1999 yang kemudiannya dipotong dan digilap dalam tempoh dua tahun.
Buat masa ini, berlian paling bernilai yang pernah dilelong adalah “Openheimer Blue” yang bersaiz 14.62 karat dengan nilai $57.5 juta sewaktu Geneva Christie pada tahun 2016.
“The Pink Star” mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk memecahkan rekod tersebut.