Penyanyi dambaan rakyat Malaysia dan pernah menghias muka hadapan majalah GLAM lima tahun yang lalu, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kini mengesahkan dia sudah empat bulan hamil. Datuk Siti telah memberitahu sidang media di kediamannya di Ampang untuk membuat pengumuman gembira ini.
Foto The Star/Izzrafiq Alias
“Saya kini sudah empat bulan hamil. Saya tidak tahu bagaimana mahu mengucapkan kesyukuran saya,” ujar Datuk Siti ikutan majlis kesyukuran dan doa selamat yang diadakan oleh beliau dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Datuk Siti juga menerangkan sebab dia kini sudah kurang aktif dengan karier nyanyiannya kerana meberikan lebih fokus kepada kandungannya untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar tanpa komplikasi.
“Ketika saya sedang mendapatkan rawatan di pusat kesuburan, saya hanya mahu memberi fokus kepada proses yang sedang saya lalui. Itulah sebab kenapa saya menolak bermaca jemputan dan tawaran kerja beberapa bulan sebelum ini dan juga akan datang,” terangnya lagi.
Menjauhkan dirinya daripada kariernya merupakan satu perkara yang asing buat penyanyi tersebut dan dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan rutin baru dalam kehidupannya. “Sepanjang empat bulan ini, saya berada di rumah setiap masa. Saya sudah menantikan saat ini selama 11 tahun. Saya boleh menyanyi pada bila-bila masa. Jadi saya harap pihak umum akan faham.”
Datuk Siti yang pernah keguguran pada penghujung tahun 2015 juga berazam untuk berkongsi pengalamannya untuk membantu golongan wanita yang senasib dengannya.
GLAM mengucapkan tahniah dan mendoakan kelancaran kehamilan Datuk Siti Nurhaliza dan suami.