Zaida Ibrahim

Zaida Ibrahim

Zaida Ibrahim
 
Anak kepada Datuk Seri Dr Ibrahim Saad bersama pasangan Datin Seri Datuk Zainab Kader ini rancak merancang peniagaannya sendiri. Hampir tujuh tahun bekerja dalam industri perbankan dan kewangan, kini dia mengundur diri lantas tidak menoleh ke belakang lagi. “Bersama rakan niaga, jus bar saya diberi nama Impressed. I’m opening a cold pressed juice and juice cleanse bar. Mengambil lokasi di Nu Sentral, kami berdua percaya dengan gaya hidup sihat. Selain bertandang ke gim empat kali seminggu, badan kita juga kena diservis. Memandangkan makanan kita yang tidak banyak menawarkan kandungan sayur dengan banyak. Lihat sahaja satu hidangan nasi lemak yang punya tidak lebih dari lima potong timun. Juga tidak ramai di antara kita mengambil sayur dalam diet seharian, dari situ ideanya datang untuk membuka jus bar ini. Kami ingin menerapkan pemakanan sayur melalui minuman jus segar. Diet detoks jus dan sayur bagus untuk pembersihan organ dalaman. Mungkin ramai yang menganggap ia juga membantu untuk kurus. But I don’t push that way. Kereta kena diservis, begitu juga dengan badan kita.”
 
Berkelulusan dari Universiti Queen Mary di London, latar belakang keluarganya boleh dijulang hebat. Keduanya berasal dari tanah utara, Pulau Pinang. Ayahnya ahli akademik juga pernah membaktikan diri dalam dunia politik. Ibunya pula pernah berkhidmat di bank negara. “High school sweetheart, itulah kata yang tepat untuk menggambarkan hubungan mereka. Saya dapat penyatuan ilmu itu dari emak. Sebab itu, belajar dan langsung bekerja dalam bidang yang sama. Ada di kalangan teman rapat bertanyakan bila mahu memulakan peniagaan sendiri. Sewaktu itu saya masih punya kerjaya dalam bidang perbankan korporat. Dunia kerja banyak mengajar saya dalam selok-belok kewangan juga saya percaya adalah penting untuk kita bekerja dahulu dengan orang sebelum membuka perniagaan sendiri. Timba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin untuk perencanaan masa hadapan.”
 
“Kalau berbicara mengenai fesyen saya gilai rekaan yang berstruktur. Bold and structured. Pencil skirts are so me. Dari dahulu saya sarungkannya, mungkin sekarang lain dan sudah mula memakai jeans. Rona hitam adalah identiti saya. Nothing can go wrong with black. Cumanya sekarang juga sudah mula mengenali lantas menambahkan sedikit warna dalam gerobok. Perlahan-lahan selera saya bertukar walaupun tidak secara keseluruhannya. Subang studs adalah antara item harus dimiliki. Earrings are my kind of acessories. Statement studs adalah antara pilihan bukannya yang panjang labuh berjurai. Terletak di cuping telinga klasik! Saya berbelanja tidak banyak. Tapi untuk aksesori utama seperti rantai itu perlu ada. Rantai Chopard dan Chanel ada dalam koleksi tetapi tidak dipakai selalu kerana mereka adalah istimewa. Saya simpan duit untuk mendapatkannya. Kalau ikutkan trend, saya lebih berjimat dan hanya membeli aksesori daripada jenama high-street untuk dipakainya secara basahan. Tetapi lain pula dalam membeli beg tangan. Saya tidak kisah untuk membelanjakan sejumlah wang hanya untuk mendapatkan beg tangan idaman, antaranya beg tangan Antigona dari Givenchy dan Nano dari Celine.”
 
“Untuk pengetahuan, saya tidak arif dengan nama sesebuah koleksi itu. Hanya sukakan reka bentuk yang berstruktur juga tegap. Begitulah keputusan yang dibuat dalam melabur untuk mendapatkannya. Saya tidak seperti segelintir wanita yang boleh meluangkan masa selama lima jam lamanya hanya untuk window shopping. Kebiasaannya apa yang dihajati di hati, terus saya mendapatkan lalu beransur pulang.”
 
Penata Gaya: Aizat Aidid
Penyelaras: Zuhairie Sahrom
Arahan Seni: Ashura Hakim
Gambar: Eric Chow/Blink Studio
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi Mac 2015
 
 

See also
Merai Hari Wanita Sedunia #BluincIWD2020