Personaliti GLAM: Datin Sri Julie Zulaiha
“Saya antara pelanggan label Wanpa sejak penglibatan awalnya sekitar 10 tahun yang lalu,” kata Datin Sri Julie membuka bicaranya sambil menghulurkan kad bisnes yang terpampang nama syarikatnya, Karisma Kuala Lumpur. Wawancara berlangsung di butiknya kerana pada hari penggambaran Datin Sri Julie meminta diri sejurus usai penggambaran. Memasuki ruang butiknya di Plaza Damas 3, himpunan busana gamor label Wanpa bergantungan kemas. Turut sama terpamer adalah koleksi preloved Datin Sri Julie daripada aksesori hinggalah ke koleksi kasut serta tas tangan yang menunggu tuannya untuk dibawa pulang.
“Saya berasal dari Johor dengan kelulusan bidang setiausaha dari UiTM Dungun, Terengganu. Tamat pengajian saya terus bekerja dengan beberapa syarikat korporat yang berteraskan dunia kewangan seperti Bank Negara. Usia 21 tahun, saya dilamar Datuk Sri Mohamad Norza. Alhamdullilah kami sudah bersama selama 26 tahun dan dikurniakan dua cahaya mata. Juliana, 20 tahun dan yang bongsu Najahan, 8 tahun. Kami berkenalan sewaktu saya masih bekerja dan Datuk Sri ketika itu sudah bergelanggang dalam dunia politik. Sewaktu mengandungkan Juliana saya mengambil keputusan untuk bersara seketika kerana mahu menumpukan perhatian membesarkan puteri sulung kami. Namun, setelah Juliana besar saya dilanda kebosanan di rumah. Maka, saya mencuba nasib di dalam bidang perniagaan dengan membuka salun kecantikan dan spa dan kemudian dicabar suami untuk membuka perniagaan yang lebih serius dengan membuka agensi pelancongan. Dahulu ketika menguruskan pentadbiran, pelbagai halangan dan rintangan saya lalui. Semua kesulitan yang melanda mematangkan skil perniagaan yang mana saya tidak punya pengalaman berniaga langsung. Kala ligat mengemudi agensi pelancongan, saya hamil anak kedua dengan bantuan proses IVF. Justeru, doktor menyarankan saya untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kandungan dan saya terpaksa menyerahkan kembali perniagaan di bawah pengawasan suami. Satu perkara yang saya pelajari dalam berbisnes, kikislah perasaan sentap-menyentap jika ada teman-teman yang tidak memberikan sokongan kepada perniagaan anda. Kita harus bijak meletakkan hubungan antara rakan dan bisnes,” cerita Datin Sri Julie panjang lebar mengenai latar belakangnya.
“Sebagai seorang business woman, saya nampak akan bakat juga percaya dengan kebolehan Ridzuan untuk terus bergiat aktif di dalam lapangan fesyen tempatan. Namun apa yang dia khuatirinya adalah bagaimana membangun juga memasarkan labelnya kembali kerana forte-nya adalah mereka busana.
Kemudian, setelah beberapa kali berbincang, kami mencapai kata sepakat. I rebrand the label and take him under my wing, kini saya sudah menjadi pemilik jenama Wanpa selama dua tahun. Alhamdullilah segala-galanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Namun, lumrah dunia bisnes ada pasang surutnya. Signatur Wanpa adalah mereka persalinan pengantin dan busana made to measure dengan perincian serba glamor yang sarat berlabuci. Sebagai pemilik jenama ini saya harus kekalkan DNA yang sudah ada pencinta dan pengikutnya cuma perlu disuntik nafas baru. Jika dahulu Wanpa tidak ada himpunan ready-to-wear kini label ini maju selangkah lagi dengan mempersembahkan debut koleksi ready-to-wear di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun lalu. Melihat akan arus perubahan lapangan fesyen tempatan, you cannot be afraid when it comes to fashion. I like to push the envelope,” jelas Datin Sri Julie yang sibuk merancang hala tuju label Wanpa.
“Berbicara mengenai perencanaan atau projek terbaru selain Wanpa. Saya punya dua label terbaru yakni KarismaKorporat dan KarismaKualaLumpur. Kesemuanya berakar umbikan dunia fesyen. KarismaKorporat melibatkan tempahan baju korporat seperti baju-t berkolar mahupun apa jua tempahan merchandise untuk kursus pengurusan dan kepimpinan. Manakala KarismaKuala Lumpur pula adalah label hasil kolaborasi bersama anakanda saya yang kini sedang menekuni bidang fesyen di London. Kami sudah mengeluarkan koleksi kapsul sewaktu pelancaran perniagaan fesyen dalam talian Pret-À-Porter. Apa yang bernadakan cita rasa chic dan young adalah DNA KarismaKualaLumpur dengan harga mampu milik. Antaranya helaian lace crop top, off-the-shoulder top lalu digayakan bersama seluar polos atau palazzo. Buat masa sekarang saya mengelolanya bersendirian namun idea rekaan adalah sumbangan Juliana dengan melihat trend terkini di Eropah. Dan ada juga idea yang dicedok lewat pengembaraan saya bersama Juliana ke kota-kota fesyen terkemuka. Melihat gaya mereka yang effortless cukup seronok sekaligus merangsang idea untuk mereka koleksi terbaru KarismaKualaLumpur. Kami sering mengembara bersama tanpa Datuk Sri memandangkan jadualnya yang padat. Disebabkan itu, saya memilih untuk melancong ke negara yang selamat dan terjamin.”
“Kalau ada yang bertanya mengapa baru sekarang mahu mendalami bidang fesyen jawab saya adalah why not now?… My dream job as a kid, senantiasa mengenai fesyen dan kecantikan. Sebagai wanita saya suka menata rias dan berbelanja mengikut kemampuan. Melihat akan perubahan era dengan kesuksesan penjualan dalam talian saya sangat teruja dan bukan menggila mencari glamor semata. Fashion is the unbreakable bond between me and my daughter. Saya seronok melihat Izrin Ismail bersama ibu tercintanya berjaya membina empayar Innai Red dan ini menjadi inspirasi saya untuk mengolah perniagaan bersama Juliana. For now let me create the foundation for her, dan bisnes ini akan diturunkan kepadanya bila dia sudah bersedia. Saya juga memasang niat untuk memasarkan label Wanpa ke arena antarabangsa dengan mengikuti pameran bisnes di London awal tahun ini.”