Ini Pempengaruh Wanita Yang Kini Bergelar Seorang Selebriti
Daripada pengaruh digital ke sorotan layar, GLAM kongsikan antara deretan pempengaruh wanita yang kini menjelmakan populariti di alam maya dan kini menjadi karier seni yang bersinar di dunia hiburan.
Dunia hiburan hari ini semakin terbuka kepada wajah baharu yang datang dari pelbagai latar, termasuklah media sosial. Jika dahulu pelakon muncul dari pentas pencarian bakat atau perfileman, kini generasi muda menggunakan pengaruh digital sebagai tiket pertama sebelum melangkah ke layar kaca. Fenomena ini melahirkan barisan selebriti baharu yang bukan sahaja memikat jutaan pengikut dalam talian, malah berjaya membuktikan kemampuan mereka di hadapan kamera. Dari konten gaya hidup ke layar drama, inilah perjalanan beberapa pempengaruh wanita yang kini bergelar selebriti.
Dari Platform Digital Ke Layar Kaca
1. Sharifah Rose
Sharifah Rose antara nama paling menonjol dalam peralihan daripada pempengaruh ke bidang lakonan. Memulakan langkah dengan memuat naik video tutorial hijab di platform YouTube dan sebagai model sejurus tamat persekolahan, Sharifah Rose tampil menghiasi kempen jenama fesyen muslimah. Tiga tahun kemudian, Sharifah Rose terus melangkah lebih jauh menerusi penampilan sulung dalam muzik video ‘Vroom Vroom’ nyanyian Nabila Razali, sebelum ditawarkan peranan dalam drama ‘Cerita Hantu Asrama’. Namanya kian menyerlah dengan drama ‘Kisah Cinta Rumi’, namun puncak populariti hadir menerusi ‘Kekasih Hati Mr. Bodyguard’ yang mana watak Hana Aralyn lakonannya mencuri perhatian penonton. Tidak berhenti di situ, Sharifah Rose terus mempelbagaikan portfolio dengan rancangan realiti TV ‘Master In The House Malaysia’ dan drama-drama romantis yang mengekalkan sinarnya di layar kaca.
2. Qasrina Karim
Memulakan kariernya dengan menapak terlebih dahulu di dunia peragaan sejak tahun 2016, Qasrina Karim tampil sebagai wajah-wajah hadapan buat jenama tempatan. Karier lakonannya bermula dengan filem ‘Siapa Tutup Lampu?’ (2021) dan ‘Kongsi Raya’ (2022), sebelum meraih perhatian generasi muda menerusi siri komedi ‘Salam Squad 3.0’. Qasrina kemudian melakar nama sebagai Puteri Qaseh dalam siri fantasi ‘Legenda Puteri Qaseh’ (2023), dan seterusnya mencipta fenomena melalui drama ‘My Famous Ex-Boyfriend’ dengan gandingan bersama Hael Husaini dan Nadhir Nasar. Kejayaannya bukan sahaja di layar kaca, malah turut diiktiraf apabila dipilih sebagai wajah kempen seperti Wardah Beauty dan Samsung yang lantas mengukuhkan imejnya sebagai bintang serba boleh.
3. Scha Elinnea
Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen atau lebih dikenali sebagai Scha Elinnea memulakan langkah dari platform Instagram sebelum menjejaki dunia lakonan. Seterusnya mencuri perhatian dengan debut lakonannya dalam drama bersiri ‘Mr. Grey’ (2018). Dari situ, wajahnya menghiasi deretan drama popular lain seperti ‘Cik Reen & Encik Ngok Ngek’, ‘Voice Note’ dan ‘Tuan Danial’. Namun puncak lonjakan namanya hadir menerusi ‘Sitik Tok’ (2021) yang memperlihatkan bakatnya bersinar lebih luas. Dalam pada itu, Scha Elinnea turut menjadi peserta di rancangan realiti ‘Master In The House Malaysia’ yang membuktikan bahawa transisi dari bintang digital ke pelakon televisyen bukan sekadar mimpi, tetapi sebuah realiti yang diukir.
4. Erysha Emyra
Walau memulakan kariernya di platform digital, Erysha Emyra turut mewarisi bakat daripada ibunya, Noniswara, sebagai seorang pelakon era kini. Erysha Emyra tampil sebagai wajah baharu yang menjanjikan masa depan gemilang, di mana sejak tahun 2022, namanya meniti bibir penonton melalui drama bersiri ‘Perempuan Itu’ sebelum mengukir pesona dengan memegang watak Chinta dalam drama ‘Chinta Wrong Direction’ bersama Hun Haqeem. Kini, Erysha Emyra juga menjadi wajah hadapan buat label terkemuka, Swarovski. Meski masih muda, aura Erysha sudah cukup untuk menandakan kemunculan bintang generasi seterusnya.
Artikel berkaitan: 6 Figura Pemuzik Yang Berakar Dari Pentas Realiti TV
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

