GLAM Life: Nora Khalid - Glam Malaysia

GLAM Life: Nora Khalid

Oleh: Yusairi Fitri

Arahan Seni: Mahirah Nadzlim

Gambar: Tommy Chu/Blink Studio

Solekan: Emmy Agung MENGGUNAKAN NARS

Dandanan: KERASTASÉ
 

GL-WHI-3FA

Gambar: Arkib GLAM


 
Spektrum Eropah
 
Pertembungan dua budaya digarap sempurna buat kediaman keluarga Nora Khalid. Emosi Inggeris Perancis melatari seni bina, dekorasinya pula berselimut aura kontemporari Turki.
 
Kali ini GLAM Life bertamu di rumah milik keluarga Pengarah Kreatif Whisk, Nora Khalid di Shah Alam. Dari luar kediamannya sungguh megah. Rimbunan Bougainvillea melintangi gawang utama bagaikan menyapa kehadiran kami. Sesekali kelopaknya berguguran ditiup angin, rasa damai menyinggahi. Ya, dari luar lagi mahligai ini memberi kesan yang cukup mewah. Seni binanya yang mencedok gaya Inggeris memukau pandangan kala warna putih menjadi pilihan. Membaluti setiap tetingkap adalah besi tempawan berwarna hitam gaya Perancis. Dibina tinggi di lereng bukit, rumah agam ini dikepung hamparan halaman yang menghijau.
 
Pintu kayu besar menyambut tetamu ke dalam. Dedaun pintu di kuak mendedahkan desir kontemporari yang sarat dihuni oleh hamparan permaidani dan perabot mewah. Mahligai yang dibangunkan di atas tanah seluas 20 ribu kaki persegi ini memiliki sembilan bilik tidur, tempat ruang tamu rasmi dan santai. Paduan warna lembut, coklat, kuning dan putih gading mesra bergandingan. Ruang tamu sengaja dipenuhkan dengan perabot dan sesekali lampu dinyalakan, pantulan emas menaikkan lagi seri ruang tamu. Menariknya, siling di rumah ini rendah dan hiasannya menepati cita rasa gaya Inggeris. Setiap sudut ada sahaja almari dan meja konsul yang sarat perhiasan dan lilin wangi. Bahagian dapur dipisahkan dengan ruang tamu lain. Kata Nora, “Kami sekeluarga tinggal di bawah satu bumbung yang sama dan ia amat penting untuk mempunyai ruang yang praktikal. Setiap daripada kami akan mempunyai ruang legar sendiri dan ruang tamu yang bertema Inggeris itu sebenarnya ilham daripada ayah dan ibu saya. Untuk sesi penggambaran kali ini, saya baru sahaja menyiapkan ruang tamu baru.
 
Memasuki ruang tamu tambahan, Nora selesa menyuntik idea yang lebih ringkas dengan memilih untuk tidak terlalu beralih konsep daripada gaya yang sedia ada. Graduan dari Parsons School of Design, New York ini merasakan dirinya bertuah kerana diberi kepercayaan oleh ahli keluarga yang lain untuk menata dekorasi. Perkara utama yang dipertimbangkan dalam pengubahsuaiannya adalah ruangan yang praktikal untuk didiami. Ini kerana, reka bentuk tanpa fungsi adalah satu sentuhan yang sia-sia. Konsep yang sedikit kontra dicipta dengan menampilkan elemen moden pada ruangan tambahannya. Hela moden dimulakan dengan perincian yang khusus pada pemilihan perabot. Sofa mewah Minotti berona kelabu menjadi pilihan. Sebagai pelengkap, meja kopi marmar di tempatkan pada bahagian tengah dengan permaidani antik sebagai menambahkan lagi karakter yang didambakan.
 
Ruang tamu ini lengkap dengan set TV berukuran 60 inci. Menariknya, titik fokus utamanya adalah pada kemasan dinding yang dihiasi dengan marmar. Kala diajukan pertanyaan mengenainya, Nora pantas menjawab, “Idea untuk menempatkan jubin marmar ini bukan dirancang dengan sengaja. Sewaktu mencari jubin yang sesuai untuk diletakkan dalam bilik mandi, saya seakan jatuh cinta dengan sekeping marmar Arabescato Vagli dan terus membelinya. Ia adalah material semula jadi yang asli dan sukar dijumpai. Malah sewaktu pembikinan rumah kaca ini, saya mendapat idea untuk meletakkannya pada dinding dan benarlah kata hati saya usually when I design a space, things fall into place organically and end up in such a way where it’s almost like it’s ‘meant to be’. Creating an authentic space is such an important thing for me because I feel that’s what gives a space its soul.”
 
Paling menarik perhatian inilah pencahayaan pada ruang tamu ini yang nyata berbeza daripada ruang yang dipertontonkan sebelumnya. Di sebelah kiri, French window setia menanti, manakala di sebelah kanan pula, ia dilengkapi pintu cermin yang boleh laraskan. Berhadapannya pula ialah kolam renang, sesekali ia memantulkan biasan cahaya, memberikan rasa damai pada penghuninya. Menurut Nora, sebelum adanya ruang tambahan ini, kolam renang kelihatan sedikit terasing kerana terletak pada sudut belakang. Kebijaksanaannya bermain dengan ruang nyata terserlah apabila setiap daripada ahli keluarganya kini boleh menikmati ruang santai yang berhubung secara langsung dengan laman kolam.
 
[soliloquy id="49837"]
[soliloquy slug="glam-life-nora-khalid"]