Farah Ann Abdul hadi, Golden Girl: Gimnas Jelita Permata Negara

Farah Ann Abdul hadi, Golden Girl: Gimnas Jelita Permata Negara

Adalah sebutir bintang yang menerangi langit sukan tanah air. GLAM meraikan ‘permata’ Malaysia ini dengan berkongsi kejayaan yang diraihnya.

 

Saya berasa cukup bertuah kerana diberi kesempatan menemuramah atlet tanah air ini beberapa kali. Perasaan teruja sentiasa menyelubungi diri biarpun ini bukanlah kali pertama bersua muka dengan wanita muda ini. Farah Ann Abdul Hadi, 23, ramah orangnya dan rendah diri. Seperti penggambaran sebelum ini memang amat sukar untuk mencuri masa atlet ini bagi merakamkan gambarnya. Jadual latihannya begitu ketat dan kami akur akan tanggungjawabnya yang begitu komited dengan sesi latihan demi menjaga prestasinya. Sekali lagi GLAM bertuah dapat meminjam atlet negara ini selama tiga jam. Bagi seorang atlet, masa sangat- sangatlah berharga. Hari penggambaran Farah Ann tiba tepat waktu yang seperti dijanjikan. Kala memasuki studio, energi positif atlet cantik ini seakan tersebar ke seluruh ruang.

 

PERMATA ​NEGARA​ Gimnastik boleh dikategorikan sebagai satu sukan yang luar biasa. Ini kerana bukan semua orang boleh membuat lompatan dalam pelbagai teknik. Dan hanya segelintir sahaja yang berjaya mendapatkan perfect landing atau lebih tepat dengan penilaian 10/10. Puncak kejayaan Farah Ann adalah apabila dia berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan menggondol dua butir pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam sukan gimnastik pada Sukan SEA 2015 Singapura. Pada tahun ini skuad gimnastik wanita negara menuai satu lagi pingat emas di Temasya Sukan SEA KL 2017 menerusi Farah Ann Abdul Hadi selepas cemerlang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

 

Anak kedua daripada tiga beradik ini mula menjejak kaki ke gelanggang gimnastik pada usia tiga tahun. Kedua orang tuanya membuat keputusan untuk menghantarnya ke kelas gimnastik kerana dia seorang yang hyperactive dan suka melakukan pelbagai aksi. Ternyata percaturan ibu bapanya tepat malah dia bersyukur kerana gimnastik banyak membantu perkembangan dirinya dalam kelakukan, tindakan, pergerakan, kecergasan serta kecerdasan dirinya. Ketika itu kakaknya, Katrina Ann Abdul Hadi (atlet renang berirama negara) berumur lima tahun dan kedua-dua mereka dihantar ke kelas gimnastik. “ Saya dan kakak satu sekolah iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil, tetapi kami tidak pernah berjumpa di sekolah kerana bidang sukan kami berbeza. Katrina Ann, atlet untuk acara synchronize swimming. Sebagaimana saya, jadual latihannya juga padat. Ramai yang tidak tahu di sekolah kami adalah adik-beradik.”

See also
Rahsia Kulit Berseri Alicia Keys

 

Seawal usia enam tahun, anak jati Subang Jaya, Selangor ini sudah menyertai pertandingan pada peringkat negeri Selangor. Ketika usianya tujuh tahun, dia mewakili Selangor untuk bersaing di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Meskipun perlu menghadiri latihan sebanyak enam kali seminggu, ianya tidak pernah menjadi beban kerana bagi Farah Ann yang juga pernah bertanding di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, menyifatkan gimnastik sudah sebati dengan dirinya. “Jujur saya katakan dalam banyak-banyak pertandingan saya masuk, temasya Sukan SEA pada tahun ini sangat bermakna buat saya, kerana inilah kali pertama kami mendapat sokongan yang padu daripada seluruh rakyat Malaysia. Stadium bergema dengan sorakan untuk kami. Perasaan terharu membuatkan kami lebih bersemangat untuk membuat persembahan terbaik​,​” ​u​jarnya gembira Malaysia menjadi tuan rumah Temasya Sukan SEA tahun ini.

Farah Ann yang kini berada di tahun akhir pengajian ijazah Sarjana Muda Sastera Global (pengajian antarabangsa) berkongsi perasaannya dalam dunia gimnastik dengan serius. Kata atlet jelita ini, sewaktu dia masil kecil, sukan gimnastik adalah untuk dirinya sendiri kerana dia suka melompat-lompat dengan teknik-teknik unik yang diajar jurulatih. Tetapi setelah bertanding mewakili negara barulah dia sedar yang dia menggalas tanggugjawab besar di bahunya. Dia mahu menaikkan nama Malaysia agar dikenali ke seantero dunia dengan kehebatannya di gelanggang gimnastik. “Bohonglah kalau saya kata saya tidak gemuruh atau kecewa apabila tidak berjaya mendapat sasaran seperti yang dihajatkan. Kadang-kadang semasa pertandingan atau latihan saya mengalami kecederaan. Ligamen saya pernah koyak membuktikan betapa besarnya risiko kecederaan yang mungkin dialami jika tidak berjaga-jaga dalam pergerakan sama ada ketika latihan ataupun sewaktu pertandingan. Semua itu adakalanya menjadi faktor melunturkan semangat saya. Justeru itu, saya sangat-sangatlah berterima kasih kerana Institut Sukan Negara (ISN) menyediakan Pakar Psikologi kepada para atlet untuk meredakan ketegangan minda. Kadang-kadang apabila terlalu risau gagal di dalam pertandingan, gerakan saya tidak akan cantik sewaktu berlatih. Jadi jurulatih saya akan sarankan saya berjumpa kaunselor. Dan setiap kali melepaskan rasa gundah saya, kaunselor akan bertanya, “​I​f you lose, do your parents still love you? Do your coaches still love you?” Sesi kaunseling akan memberi ruang kepada kami untuk berfikir dan memahami yang kita harus mererima apa jua keputusan; menang atau kalah kerana kita sudah lakukan yang terbaik. Cuma kadang-kadang itu saya terlalu memikirkan untuk menang kerana mahu membanggakan rakyat Malaysia,” luahnya panjang lebar.

See also
Pesanan Mesej Ringkas Detik Permulaan Cinta Dayang Nur Atikah Dan Danny Lim

Farah Ann menyimpan kemas hasrat untuk beraksi di pentas Sukan Komanwel pada April 2018 di Goldcoast Australia. Kini dia teruja menunggu Sukan Olimpik di Tokyo yang bakal berlangsung pada 2020 nanti. Farah juga berkongsi pengalamannya sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah baru-baru ini. Biasanya jika bertanding di luar negara mereka akan menginap di hotel seminggu lebih awal dan apabila negara kita menjadi tuan rumah, atlet-atlet negara diberi penginapan di hotel selama hampir sebulan untuk memudahkan program latihan dan sebagainya. Lebih menarik, pihak ISN juga akan menyediakan menu sihat khusus untuk atlet yang disediakan chef hotel. Jadi sepanjang berada di hotel, mereka menikmati bufet menu sihat. Makanan berminyak atau bergoreng sama sekali tidak dihidangkan. Selain makanan tempat pertandingan gimnastik lengkap dengan podium dan stadium yang besar setanding stadium antarabangsa. Setelah berhempas pulas berlatih selama setahun dia akan diberi cuti. Jadi pada hujung tahun ini dia akan bercuti di Australia, melawat kakaknya yang menuntut di sana. Farah juga bakal menamatkan pengajiaannya tahun depan, dan selepas itu dia mahu memberi fokus pada sukan sepenuhnya. “Apabila tiba masa saya berhasrat untuk sambung belajar lagi,” jelasnya lagi.

 

Farah akui di Malaysia, bilangan yang mengikuti sukan gimnastik masih kecil. Dia berharap satu hari nanti akan lebih ramai rakyat Malaysia menyokong sukan ini dan yakin jika Malaysia dapat beraksi dengan cemerlang di pentas dunia, maka, akan lebih ramai orang berminat dengan gimnastik. Menurut Farah, saingan sengitnya dalam arena sukan ini adalah dari negara China, Rusia dan Amerika.

See also
13 Aktor Tampan Yang Memulakan Kerjaya Sebagai Seorang Model

DDUNIA LAKONAN SASARAN SETERUSNYA Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apakah aktiviti sang ‘permata’ negara ini pada waktu lapang? Menurut empunya diri, dia berlatih enam hari seminggu dan dalam masa sama terpaksa membahagikan masa untuk menghadiri kuliah di universiti. Katanya lagi, hujung minggu biasanya dia akan bersama keluarga untuk makan bersama tidak kira di rumah mahupun restoran. Itu adalah waktu kualiti dia bersama keluarga. Di meja makan, mereka akan berbual mengenai apa sahaja sehingga masing-masing keletihan dengan gelak tawa. “Ya, waktu berjumpa keluarga terhad dek kerana latihan yang padat. Jadi hujung minggu saya tidak akan lepaskan peluang untuk bersama keluarga. Sebagai pelajar, hujung minggu juga saya akan sibuk menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Saya tidak mahu membuang waktu dan akan sentiasa memberi fokus pada pelajaran kerana kedua orang tua saya selalu menekankan kepentingan pelajaran. Kata mereka pelajaran akan menjadi banteng dalam meniti kehidupan kita.”

 

Cintanya pada sukan gimnastik tidak akan pernah pudar kerana itu adalah cinta pertamanya dan berharap ia kekal abadi.

 

Dia juga melihat dirinya akan terus berbakti kepada negara dengan menjadi jurulatih separuh masa kepada atlet gimnastik negara pada masa hadapan. “Saya terlalu mencintai sukan gimnastik. Seandainya satu hari nanti tiba masa saya bersara dari dunia ini, I hope to help and give back to the sport when I retire by sharing my knowledge and experience with Malaysia’s young and upcoming gymnasts.” Sebelum mengakhiri bicaranya hari itu, duta Nike dan Fujifilm ini sempat juga berkongsi minat dan kecintaannya selain sukan gimnastik. Dia melontarkan hasratnya mahu berkecimpung dalam dunia layar perak. Dia minat untuk berlakon dan menjadi pengacara. Siapa tahu jelitawan sukan ini bakal menjadi pelakon terkenal suatu hari nanti!

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Disember 2017