Detik Bahagia Nadia Brian & Muizz Nasrudin - Glam Malaysia

Detik Bahagia Nadia Brian & Muizz Nasrudin

Seri insan bercinta jelas terpancar tatkala kami memotretkan wajah pasangan Nadia Brian dan Muizz Nasruddin yang tiba segar pagi tu. Biarpun penggambaran tamat lewat malam sebelum itu, mereka mencipta keserasiaan saat kamera pantas dibidik.

Cadangan nama pasangan ini mula terlintas di minda saat saya melewati paparan media sosial yang menampilkan kisah lamaran romantis pasangan ini yang baru sahaja terjadi beberapa minggu sebelum itu di kota romantik Paris. Sememangnya ini menjadikan kami tidak sabar untuk menyunting pasangan ini buat kolum personaliti GLAM Weddings kali ini. Melihat akaun laman sosial milik Nadia ini dia tidak cuba untuk menyorokkan siapakah insan yang sedang bertakhta di hatinya kini. Perkenalan yang bermula sekitar tahun 2016 oleh salah seorang sahabatnya yakni Ainul Aishah hanyalah sekadar kawan kerana Nadia berasakan dia belum bersedia untuk menjalinkan hubungan serius selain tidak mahu mengecewakan mana-mana pihak. Namun kesabaran yang dimiliki oleh jejaka bernama Muizz ini akhirnya berjaya melembutkan hati Nadia.

JULES BOREL COLLECTION JUGA DARIPADA ERNEST BOREL MERUPAKAN SELEKSI UNTUK MEREKA YANG MENGGEMARI GAYA BERPADANAN BUAT PASANGAN NAMUN
MAHU GAYA LEBIH KLASIK DENGAN JAM BERKEMASAN TALI KULIT. MODEL GGR9160W-221BR DAN GR9160-221BR ANTARA PILIHAN YANG BOLEH ANDA PERTIMBANGKAN. MUIZZ MENGENAKAN KOT COKLAT ILHAM GUCCI MANAKALA NADIA SELESA DALAM GAUN PANJANG COS.

Sekitar penghujung tahun 2018, Nadia memberikan persetujuan untuk keluar bersama Muizz. Sesudah itu segalanya menjadi mudah buat mereka. Keserasian terus terbina dan mudah untuk berkongsi apa sahaja yang dilalui sama ada peribadi atau mengenai pekerjaan. “Sebenarnya saya sendiri meminta Ainul Aishah untuk memperkenalkan saya kepada sesiapa sahaja sahabatnya kerana saya sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujang. Dan seperti yang dikongsikan oleh Nadia, begitulah bagaimana ia bermula. Ainul telah merancang untuk berjumpa sambil menikmati makan tengah hari pada Julai 2016 yang kebetulan pula Nadia berada di tempat yang sama bersama adik perempuannya. Jadi saya mula menghubungi melalui pelbagai saluran sosial media termasuklah pesanan WhatsApp selepas pertemuan itu dan sekali lagi terserempak di konsert Selena Gomez. Oleh kerana tiada respon positif dari Nadia, kami mula membawa haluan sendiri selepas itu. Selepas lebih kurang dua tahun, saya kembali mencuba dengan menghantar pesanan melalui laman sosial Instagram dengan mempelawanya menonton wayang. Ya saya tahu tindakan saya itu agak rambang. Saya hanya mencuba nasib tanpa meletakkan harapan yang terlalu tinggi tetapi selepas berbicara sebentar ternyata dia bersetuju. Malam itu kami luangkan masa mengenali satu sama lain dan saya serta merta menyedari betapa saya selesa berada di sampingnya. And the rest was history,” Muizz ramah membuka bicara.

See also
GLAM APRIL 2017

Melihatkan betapa manisnya senyuman mereka apabila berbicara soal perkenalan awal saya ajukan pula persoalan mengenai apakah yang menjadi daya penarik antara sama lain. Buat Nadia dia melihat Muizz sebagai seorang yang dipenuhi pelbagai aura positif. Ia tidak hanya memberi kesan pada Nadia ia turut dikongsi bersama orang sekeliling justeru itu ini membuatkan orang merasa mudah selesa apabila bersama Muizz. Pada Muizz pula adalah sifat Nadia yang begitu mengambil berat dan mementingkan keluarganya adalah tarikan utamanya. Secara tidak langsung sifat itu menjadikan dia mudah menerima kehadiran ahli keluarga Muizz dan menjadikan mereka selesa dengan kehadiran Nadia.“Penerimaan keluarga Nadia pada Muizz adalah sangat baik kerana dia berani untuk berjumpa mereka biarpun hanya pada kali kedua pertemuan kami. Keluarga Muizz juga dapat menerima saya takala pertama kali kami bertemu pada bulan Disember yang lalu. Biarpun saya agak berdebar menantikan penerimaan keluarga namun ia bercampur rasa gembira kerana mereka bakal melihat calon pilihan hati saya. Saya bersyukur mereka terus serasi pada pertemuan pertama lantas terjadinya perancangan membawa dia untuk ikut sama ke liburan kami sekeluarga di sekitar Eropah yang lalu.”

REKAAN JAM TANGAN ERNEST BOREL HADIR DALAM SET PASANGAN SEMESTINYA DARIPADA ROYAL COLLECTION YAKNI MODEL GS6155-2590 DAN LS6155-2590. NADIA MENGGAYAKAN BAJU PANAS DAN SKIRT SUEDE BOTTEGA VENETA SERTA KASUT BALLY. MUIZZ PULA SAJAK DALAM PADANAN KEMEJA KULIT BOTTEGA VENETA BERSAMA SELUAR BALLY DAN KASUT GUCCI

Biarpun perhubungan ini dikira masih hijau, saya ingin mengetahui apakah perkara yang mereka lihat dalam membina sebuah perhubungan. “Kami percaya terhadap enam perkara ini sebagai perkara yang perlu diberi perhatian untuk memastikan perhubungan sentiasa kekal sihat. Antaranya adalah kebebasan, persahabatan, kejujuran, percaya, saling memahami juga komunikasi. Untuk itu andai terjadi sebarang isu berbangkit kami pastikan untuk kembali kepada perkara ini untuk menjernihkan keadaan dan membuka peluang untuk keduanya saling memberi ruang untuk memperbaiki apa yang sudah kami miliki. Kadangkala wujud juga tekanan dalam perhubungan ini oleh itu kami sentiasa berpegang dengan pesanan keluarga yang menyatakan andai terjadinya perselisihan faham dan percanggahan, salah seorang dari kami perlu bertenang dan bersifat memaafkan. Jadi kami memilih untuk bergilir-gilir menjalankan tanggungjawab ini. Paling penting adalah untuk memastikan isu ini kekal antara kami berdua dengan tidak melibatkan campur tangan orang luar.”

See also
Blu Inc Media Bersama Samsung Merai Hari Wanita Sedunia

Kematangan kedua mereka apabila berbicara mengenai hubungan ini menampakkan betapa mereka sudah bersedia untuk melangkah setapak lagi dalam perhubungan. “Saya merasakan sudah puas menjadi solo untuk itu saya menetapkan hubungan seterusnya adalah lebih serius dan untuk lebih komited dalam perhubungan.” Sambung Muizz pula, “Sememangnya dari awal lagi niat saya adalah mencari seseorang yang boleh saya habiskan usia saya bersamanya kerana saya percaya dengan chemistry yang kami miliki. Segalanya begitu mudah kali ini dan kami dapat menjadi diri sendiri apabila bersama satu sama lain. Sesudahnya pertemuan bersama keluarga saya yakin untuk membawa hubungan ini ke langkah seterusnya.” Nadia dan Muizz baru sahaja melangsungkan majlis perkahwinannya mereka pada 9 November yang lalu.

Saya turut merisik mengenai kerjaya oleh pelakon yang juga model ini. Nadia yang berlakon dalam filem yang ditayangkan pada bulan April lalu yakni Bu:Kasih Ibu juga rancak berkongsi mengenai pengalaman set penggambaran Ratu Kala Jengking yang masih dalam penggambaran. Biarpun watak yang mencabar dia teruja memegang tanggungjawab berat ini. Sebagai seorang pelakon dia merancang untuk meneruskan karier seninya walaupun sudah berumah tangga kerana cintanya pada dunia seni tidak akan pernah padam.

See also
Mira Filzah, Is The Next Best Thing!

PILIHAN JAM JENAMA ERNEST BOREL DARI YALLY COLLECTION MODEL LGR5690-212BK HADIAH TERBAIK UNTUK SI JELITA. NADIA MENGGAYAKAN BAJU PANAS HITAM OLEH BOTTEGA VENETA MANAKALA MUIZZ MEMAKAI KEMAJA KULIT JUGA DARIPADA BOTTEGA VENETA.

Teks & Penyelaras SHAHRIL HADI HALIM Arahan Seni MAHIRAH NADZLIM Gambar KEENKY YONG/BLUINC STUDIO Solekan & Dandanan AYANG KAMELL