GLAM Weddings: Davika Hoorne Sah Bergelar Isteri Kepada 7 Tahun Teman Lelaki
Dalam suasana romantik yang penuh kehangatan dan elegan, bintang filem terkenal Thailand, Davika Hoorne, kini sah bergelar isteri kepada pelakon serta penulis skrip berbakat besar, Chantavit Dhanasevi atau lebih dikenali sebagai Ter. Berita gembira ini disahkan menerusi muat naik di Instagram miliknya, yang mana pelakon jelita itu berkongsi bahawa dirinya dan pasangan telah secara sah bergelar suami isteri.
Majlis perkahwinan mereka berlangsung dalam suasana tertutup hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan-rakan rapat, menonjolkan sisi peribadi pasangan yang selama ini terkenal dengan sikap sederhana. Walaupun tidak diadakan secara besar-besaran, majlis ini dipenuhi dengan makna mendalam, melambangkan perjalanan panjang tujuh tahun cinta mereka yang kini berlabuh ke fasa baharu kehidupan.
Davika Hoorne memukau dalam gaun pengantin Gucci

Kredit foto: Instagram
Seperti yang dijangka daripada seorang duta jenama mewah antarabangsa, Davika Hoorne tampil mempersona dalam gaun pengantin rekaan Gucci, rumah fesyen Itali yang selama ini menjadi sebahagian daripada identiti fesyen dirinya. Gaun berwarna putih gading dengan potongan moden-klasik itu menampilkan keanggunan minimalis namun sarat keindahan perincian.
Potongan bahu terdedah dengan rekaan skirt labuh beralun lembut memberi kesan dramatik yang elegan, manakala fabrik sutera dan renda halus menyerlahkan keperibadian Davika Hoorne yang lembut, feminin, tetapi teguh dan yakin. Dalam foto yang dikongsi, Davika tampak berseri di sisi suaminya, yang segak mengenakan sut berona krim. Bersama, mereka menjelmakan kesempurnaan yang menggabungkan cinta dan gaya.
Tujuh tahun cinta, Davika Hoorne dan Terchantavit kini dalam satu janji abadi

Kredit foto: Instagram
Hubungan Davika Hoorne dan Ter bermula sejak tahun 2015 selepas bekerjasama dalam filem romantik popular Heart Attack. Dari sekadar rakan sekerja, hubungan mereka berkembang secara perlahan dan tulus tanpa sensasi atau drama. Mereka dikenali sebagai pasangan yang matang, saling menyokong karier masing-masing dan sering berkongsi momen manis di media sosial.
Menurut laporan Overseas Idol, majlis perkahwinan mereka dianggap sebagai “moment long-awaited” oleh peminat di seluruh Asia yang telah lama menantikan pengakhiran bahagia kisah cinta ini. Dalam kapsyen dan visual yang tular di Instagram, aura kasih sayang jelas terpancar di antara keduanya simbol keikhlasan dan keutuhan cinta yang telah diuji masa.

Kredit foto: Instagram
Gucci: Antara fesyen dan simbolisme cinta
Sebagai wajah global Gucci dan Gucci Beauty, pemilihan Davika Hoorne untuk menggayakan gaun pengantin jenama tersebut bukan sekadar soal fesyen, ia adalah refleksi dirinya sebagai wanita moden yang tahu mengimbangi kelembutan dan kekuatan. Gaya itu menandakan cinta dalam bentuk paling estetika: sederhana, jujur dan abadi.

Kredit foto: Instagram
Perkahwinan ini tidak hanya menjadi berita hiburan semata, tetapi turut menjadi inspirasi buat wanita masa kini bahawa cinta sejati tidak perlu berlebihan untuk kelihatan indah. Dalam setiap butiran renda dan senyumannya, Davika membuktikan bahawa keanggunan datang daripada ketulusan hati.
Artikel berkaitan: Kenali 5 Selebriti Thai Terkenal Yang Anda Perlu Tahu
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

