Tan Jianci Duta Terbaharu Rado - Glam Malaysia

Tan Jianci Duta Terbaharu Rado

Rado, jenama jam tangan mewah dari Switzerland yang terkenal dengan rekaan inovatif serta penggunaan bahan berteknologi tinggi, baru-baru ini mengumumkan perlantikan pelakon dan penyanyi popular dari China, Tan Jianci, sebagai duta jenama terbaharunya.
Pemilihan Tan Jianci sebagai wajah baharu Rado dirasakan sangat tepat, memandangkan kedua-duanya memiliki keistimewaan tersendiri yang mampu menarik perhatian di mana sahaja mereka berada.

Sejak memulakan karier lakonannya pada tahun 2008, Tan Jianci berjaya mencipta nama dalam dunia perfileman, televisyen serta persembahan pentas. Namun, bakatnya tidak terhenti di situ sahaja. Dia turut dikenali sebagai penyanyi pop berbakat besar yang mampu bergerak dengan mudah di antara pelbagai disiplin seni. Antara siri televisyen popular yang melonjakkan namanya termasuk Under the Skin dan Lost You Forever, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang bintang lakonan paling berpengaruh di China.

Tidak hanya memikat dalam lakonan, Jianci turut memukau dengan bakatnya dalam nyanyian dan tarian. Dengan setiap projek baharu, popularitinya terus melonjak, menjadikannya bintang serba boleh yang disegani ramai.

See also
True Thinline Colours Jam Tangan Minimal Buat Generasi Baru

Ketua Pegawai Eksekutif Rado, Adrian Bosshard, menyatakan rasa teruja terhadap kerjasama bersama Jianci. Menurutnya, “Tan Jianci dan Rado berkongsi nilai teras yang sama. Seperti Rado, Jianci menunjukkan komitmen luar biasa dalam setiap apa yang dilakukannya. Dia sentiasa mencabar diri untuk meneroka aspek baharu dalam seni dan kerjayanya. Kami menantikan kerjasama erat dan jangka panjang dengan aktor serta penyanyi berbakat besar ini.”

Menariknya, Tan Jianci sudah lama menjadi peminat setia Rado sebelum dilantik sebagai duta. Mengagumi rekaan Rado yang ikonik, dia menyatakan bahawa jam tangan seperti siri Captain Cook dan Rado Anatom mempunyai daya tarikan tersendiri dengan ketahanan serta perinciannya yang luar biasa. Namun, kegemarannya kini adalah model Rado True Square Open Heart dalam rona putih. “Jam ini mempunyai reka bentuk yang halus dan sesuai dipadankan dengan apa jua gaya pakaian,” ujarnya.

Rado True Square Open Heart: Gandingan Keanggunan dan Teknologi

Model Rado True Square Open Heart yang digemari Tan Jianci menampilkan reka bentuk unik dengan bentuk kotak bersudut lembut dan gelang seramik berteknologi tinggi yang ringan serta selesa di pergelangan tangan. Keunikan utama jam ini terletak pada dailnya yang separa telus, membolehkan pemakai melihat pergerakan dalaman kaliber R734 yang menawarkan rizab kuasa sehingga 80 jam.

See also
Perincian Elegen Première Camélia Skeleton Oleh Chanel

Bahagian luaran jam ini diperbuat daripada seramik berteknologi tinggi berwarna putih dengan kemasan emas halus serta 12 indeks berlian yang pasti memukau pandangan. Keupayaan untuk melihat pergerakan dalaman jam ini memberikan pengalaman unik kepada peminat jam tangan, mengingatkan mereka akan betapa berharganya masa.

Dengan rekaan ikonik serta teknologi terkini, Rado True Square Open Heart bukan sekadar jam tangan, tetapi simbol ketepatan masa, inovasi, dan keanggunan. Sama seperti persembahan memukau Tan Jianci di atas pentas, jam tangan ini mengajak anda untuk menikmatinya sepenuh hati.

Artikel Berkaitan: Rekaan Radikal Samuel Ross Buat Jam Tangan Hublot