Satu Butik, Pampangan Semesta Rolex - Glam Malaysia
Satu Butik, Pampangan Semesta Rolex 01

Satu Butik, Pampangan Semesta Rolex

Mengambil lokasi di The Starhill, Cortina Watch membuka semula gerbang butik Rolex lantas menjadikannya butik pertama dengan konstruksi fasad menentangi hamparan peruncitan mewah paling ikonik ibu kota.

Merupakan salah satu rantau metropolitan yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara, Cortina Watch dan Rolex merasmikan pembukaan semula ruang butiknya yang tampil berwajah baharu di Starhill Gallery. Butik seluas 134 meter persegi ini menawarkan perkhidmatan serta kepakaran profesional dalam suasana serba elegan. Lantas, membiaskan rasa harmoni yang memeluk kehangatan cahaya lembut, keramahan serta keintiman nadi jenama unggul arloji ini.

Satu Butik, Pampangan Semesta Rolex 01

Mengambil lokasi di Bukit Bintang, butik ini terletak di tengah-tengah hamparan peruncitan mewah paling ikonik di ibu kota. Tambahan pula, dikelilingi medan membeli-belah yang terkenal juga berpunya kemudahan dalam menelusuri lintasan serta laluan dengan penuh keselesaan. Butik Rolex ini menduduki aras bawah atau ground floor, Starhill Gallery; atau dengan profil mewah barunya The Starhill setelah menjalani proses renovasi dan transformasi. The Starhill nan ikonik dikenali kerana berpunya konsep fasad bangunan yang menampilkan deretan butik-butik mewah berhadapan jalan utama di Bukit Bintang. Langsung, menghasilkan hubungan visual yang memesonakan lalu merayakan hubungannya dengan ibu kota. 

See also
Big Bang e FIFA World Cup Qatar 2022™

Satu Butik, Pampangan Semesta Rolex 04

“Hubungan Cortina Watch dengan Rolex bermula pada tahun 2002 apabila kami melancarkan butik Rolex pertama bersama-sama di Malaysia, di The Starhill. Dua dekad sudah berlalu pergi, dan kini, dengan adanya butik yang telah diperbaharui; kami berhasrat untuk mengagungkan pengalaman buat pelanggan kami pada tahap yang lebih tinggi dari sebelumnya. Ia sentiasa menjadi komitmen kami untuk mempersembahkan pengalaman serba mewah yang terbaik melalui perkongsian hebat serta butik baharu ini. Kami amat berbesar hati bagi memulakan pengembangan ini bersama Rolex disamping menciptakan kejayaan pada masa hadapan,” kata Tay Liam Khoon, Pengarah Urusan Cortina Watch Sdn Bhd.

Satu Butik, Pampangan Semesta Rolex 03

Setiap elemen rekaan dalaman menampilkan estetika Rolex yang elegan dan memancarkan nilai keunggulan mahkotanya yang simbolik. Kecemerlangan, ketepatan dan perhatian terhadap perincian terhasil daripada kalibrasi teliti dari warna dan corak buat pemilihan perabot serta dekorasi. Sumber kehangatan cahaya yang harmoni tampil menyerlahkan keindahan barisan pilihan arloji Rolex, dipaparkan dalam kotak pameran yang berlapis kulit rona kuning air dan trim bingkai berkemasan gangsa.

See also
Selebriti Miliki Cahaya Mata Kembar

Satu Butik, Pampangan Semesta Rolex 02

Dinding aksen aqua zamrud yang menyambut kedatangan tetamu menyerlahkan warisan Rolex yang diperkaya dengan motif gelombang. Lantas, ia merujuk kepada himpunan Oyster yang ikonik merangkap jam tangan kalis air pertama di dunia. Warna hijau pekat ini turut terlihat pada dinding di sekitar ruangan butik, mencipta aksen yang harmoni lagi menyegarkan lirikan pandangan. Dindingnya bercampur tekstur daripada kayu coklat walnut kepada kerikil berwarna kuning air; serta panel stuko buatan tangan adalah referensi buat corak bezel bergalur jam tangan Oyster.

Pautan berkaitan: Persinggahan Baton Nan Ikonik