Pembukaan Butik Perdana Roger Dubuis Di Pavilion Kuala Lumpur
Pencipta mahakarya arloji rumit Roger Dubuis membuka gerbang butik perdananya di Kuala Lumpur.
Mengambil lokasi di Pavilion Kuala Lumpur, Roger Dubuis menyuntik konsep butik Maison yang terkini, menjadikannya yang pertama di Asia Tenggara.
pengarang arloji ZUHAIRIE SAHROM
Mengambil lokasi di pusat beli-belah Pavilion di Kuala Lumpur, butik utamanya itu mempamerkan ketukangan rumah arloji yang tiada tandingan dalam mengolahkan arloji bersusuk rekaan hiper ekspresif.
Saat melangkah ke butik, pengunjung bakal disambut dalam dunia hiper Maison. Lalu dijemput untuk menelusuri kod radikalnya. Artis Malaysia, Jun Ong yang terkenal dengan karya seni yang mengangkat seni cahaya ditugaskan untuk menciptakan instalasi arca bercahaya buat paparan di salah satu dinding butik terbarunya.
Karya seni yang mengukirkan nama Roger Dubuis ini memberi penghormatan buat kreadibilitinya setelah bertahun menguasai kemasan perinciannya yang terlaksana serba kilau. Secara tidak langsung, meraikan kreativiti juga kemahiran ketukangan pembuatan jam yang spektakuler.
Bagi meraikan pembukaan butiknya, seutas jam tangan World Premiere by Roger Dubuis  ditayangkan di butik ini. Lantas, menemukan cara eksklusif buat mereka yang tidak gentar dalam menghargai reka bentuk yang disruptif, berani lagi tersendiri.