Mystery Clock Mini Panthère Nan Memukau - Glam Malaysia
Mystery Clock Mini Panthère Nan Memukau

Mystery Clock Mini Panthère Nan Memukau

Menjulang mamalia kebanggaan rumah arloji jauhari Perancis, Cartier mengemaskini nadi pergerakan barisan Mystery Clock dengan motif Panthère yakni harimau kumbang.

Bak prosa klasik yang diceritakan berulang kali, himpunan jam Mystery Clock nukilan Cartier sudah mengapungkan inspirasi buat para tukang serta artisannya dengan intensiti yang sama sejak awal tahun 1910-an lagi. Misteri susuk rekaan yang dinamik bersandarkan pada interpretasi baru yang berselubung sama paduan material baru.

Tahun ini, transformasi jam Mystery Clock Mini Panthère ini diperhalusi dari segi peranan serta fungsinya. Tampil lebih dramatis lantas digarap halus terperinci, jam miniatur mewah ini diolah dengan ukuran lebar 40mm berketinggiaan 109mm dan panjang hanya 75.6 mm. Estetika seni ketukangan dan alterasi teknikalnya tidak kurang rumit dengan nukilan terdahulu.

Ia memakan masa sehingga 24 bulan untuk dipersiapkan. Langsung, 225 komponen yang melengkapi jam ini dibangunkan, kemudian diproduksi juga dipasang di bengkel Cartier yang mengambil lokasi di La Chaux-de-Fonds, Switzerland.

See also
GLAM Horologi: Magis Rimba

Sekali gus, bengkel ini menjadi pusat penyelidikan serta makmal inovasi yang melahirkan kreasi demi kreasi spektakuler lestari Cartier. Sejak tahun 2001 lagi, kesemua profesi pembuatan jam Cartier berpangkalan di sini dari mengkonsepsikan inspirasi sehingga produksi. Di mana, inovasi teknologi canggih pembuatan jam berdakap mesra bersama seni kraf tangan tradisional garapan para artisannya.

Siri eksklusif edisi terhad ini tampil dalam rona lembut warna kuning, merah jambu dan biru. Beralirkan spektrum geometri, waktu dipaparkan pada laman dail berlapis emas kuning 18k dan perincian plat enamel teknik guilloché. Lingkaran bezel pula bertatahkan butiran intan berlian yang mengelilingi laman dial, lantas memperlihatkan indeks masa jam 3, 6, 9 dan 12 disempurnakan dengan berlian potongan baguette.

Jam ditenagai pergerakan mekanikal manual CAL. 6008 buatan Cartier. Pangkal jamnya pula digarap dari batu obsidian yang memaparkan harimau kumbang kebanggaan rumah arloji ini. Sambil bulunya diolah dari butiran berlian, bertompok batu oniks, matanya pula disempurnakan dari batu zamrud.

Pautan berkaitan: Pameran The Persistence of Memory

See also
PELIKAN: The It Bag Untuk Si Kecil!