Mengadun Seni Bersama Teknologi - Glam Malaysia

Mengadun Seni Bersama Teknologi

Buat kali pertama Montblanc memberi fokus kepada seni teknologi ExoTourbillon pada koleksi jam tangan khas wanita di bawah himpunan Boheme. Selain itu, jam tangan terbaru Montblanc ini turut menjulang tinggi rasa elegan serta sifat sofistikated yang dimiliki oleh wanita moden sekarang.

 

Oleh: Aizat Aidid

 

Jika disebut tentang jam tangan apatah lagi Montblanc mungkin bayangan figura lelaki muncul di minda. Ini kerana jam tangan Montblanc itu sendiri mempunyai biasan yang cukup kuat dan lagak maskulin sering kali memonopoli rekaannya. Mungkin dek kerana itu membuatkan Montblanc mengorak langkah lebih jauh meninggalkan definisi jam tangan khas buat jejaka dengan melancarkan koleksi Boheme. Ia bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia horologi Montblanc. Pertama kali dilancarkan pada dua tahun lepas, jam tangan koleksi Boheme ini adalah untuk menyempurnakan dambaan wanita dalam mencari jam tangan yang bersifat tersendiri dengan sentuhan elegan.

 


Melihat kejayaan koleksi Boheme, Montblanc berani untuk menampilkan satu lagi himpunan jam tangan baru di bawah koleksi yang sama. Jam tangan baru ini diraikan secara global dan kota Beijing dipilih sebagai lokasi kedua untuk meraikannya selepas New York. Kesemua koleksi Boheme dihimpunkan untuk dipertontonkan kepada jemputan eksklusif dalam suasana yang cukup indah. Malam gala itu juga merai tiga wanita Asia yang mampu membiaskan identiti wanita Boheme itu sendiri. Mereka adalah Zhang Ziling, Ratu Cantik Dunia pertama daripada China, Xue Xiaolu, pengarah filem yang disegani di China dan terakhir adalah pelakon asal Singapura iaitu Jeanette Aw.

See also
Sudah Tiba Masa Untuk Upgrade Produk Kecantikan Anda

 

Barisan wanita ini diangkat oleh Montblanc kerana mereka memiliki identiti yang cukup kuat serta mampu membiaskan erti sebenar himpunan Boheme. Selain itu, mereka juga punya nafas glamor dalam cara yang berlainan. Seperti koleksi jam tangan ini juga, wanita-wanita Boheme adalah mereka yang mampu memberikan inspirasi kepada wanita lain untuk menongkah arus kehidupan yang bersifat lebih peribadi. Zhang Ziling sempat berkongsi yang koleksi Boheme oleh Montblanc ini seakan menjadi memberikan kekuatan untuknya menjadi diri sendiri dan mencari makna sebenar stail peribadi.

 


“Mencari sesuatu yang tepat mungkin menjadi misi ramai sekarang. Maka saya sering mewujudkan satu karakter yang tepat dan mampu melahirkan watak sebenar dengan melakonkan apa yang berlaku di persekitaran sekarang. Itu jugalah yang cuba dilakukan oleh Montblanc dengan koleksi Boheme. Melancarkan satu medium yang dapat merai nilai ketepatan,” ujar Xue Xiaolu yang pernah mengarah filem seperti Ocean Heaven dan Book of Love. Jeanette Aw pula menyifatkan koleksi jam tangan Boheme oleh Montblanc ini adalah satu pemikiran yang sentiasa fokus dalam mengejar cita-cita dan tidak pernah malu untuk menzahirkan citarasa peribadi.

See also
Cartier Mereka Semula Tank Française: Model Baharu 2023

 

Melihat koleksi baru Boheme ini, jelas terpancar yang ia adalah koleksi buat wanita yang bijak dalam melaraskan idea fesyen mereka agar menjadi lebih elegan dan sofistikated serta tidak lari daripada godaan permata yang memancarkan sinar mewahnya.

 

“Wanita Boheme tahu apa yang mereka mahukan dalam hidup. Mereka punya visi dan misi yang jitu. Boheme itu sendiri membawa maksud kehidupan yang bebas dan berdikari. Maka Montblanc mahu tafsirkan melalui koleksi jam tangan ini yang wanita Boheme punya kuasa memilih tanpa perlu bergantung pada orang lain. Koleksi ini juga punya kredibiliti dalam seni rekaan yang mengangkat jati diri wanita berkuasa,” sambungnya lagi.