Ruang - Panduan Memilih Warna Kamar Beradu - Glam Malaysia

Ruang – Panduan Memilih Warna Kamar Beradu

Kamar beradu adalah destinasi setiap penghuni bumi memulakan dan mengakhiri setiap hari mendatang. Di sini juga, syurga buat pasangan suami isteri mematri bibit cinta. Oleh itu, sarang cinta ini harus sentiasa tampil indah mempesona bagaikan kayangan agar ikatan kasih yang dijalin semakin utuh. Pemilihan warna untuk kamar beradu juga memainkan peranan penting dalam menyemarakkan mood ketika di dalam kamar beradu.

Unisex
Pastikan pilihan spektrum warna tidak mewakili mana-mana jantina yang keterlaluan. Suami pasti tidak selesa apabila bilik yang didiami terlalu bersifat feminisma. Adunan warna- warna pastel; krim, hijau cerah, kuning cerah dan biru fius antara yang boleh dipertimbangkan buat pasangan suami isteri.

Warna Pekat
Elakkan sama sekali pilihan spektrum warna hangat yakni oren, merah jambu atau merah hangat. Ini hanya mengalirkan tenaga panas keterlaluan yang tidak diperlukan tubuh ketika tidur.

Corak dan tekstur
Bagi kemasan lembut seperti cadar, sarung kusyen, langsir dan kertas dinding pilih jenis bercorak atau bertekstur untuk impak elegan bersahaja. Corak geometri; chevron dan jejalur tidak pernah dimamah usia. Jika tidak yakin, hadirkan perincian piping berpadanan latar polos. Boleh juga cuba cat bertekstur Nippon Momento pada dinding tumpu.

See also
Elemen - Rekaan Optimisme Bulat

Emas dan Perak
Saya cadangkan kertas dinding sarat lakaran motif bunga dalam bersepuh emas mahupun corak geometri berjalin perak untuk impak mewah elegan. Laura Ashley menyediakan barisan kertas dinding ajnas motif dan tekstur untuk kamar beradu bagaikan puteri. Paling tidak, hadirkan aksesori buatan bahan perak, krom atau tembaga seperti lampu meja, bingkai gambar atau kotak aksesori.

Neutral
Simbahan palet semula jadi tidak pernah silap untuk apa jua ruang. Selain menjelmakan ilusi ruang lebih lapang, warna-warna neutral merehatkan mata dari pemandangan sesak. Cipta kesinambungan ruang menerusi  panduan skim warna senada seperti krim atau off white bermula pada pilihan warna dinding, kemasan lembut sehinggalah perabot dan aksesori.

Teks: Nadia Zolkifli