Libur – Kembara Eksplorasi Pulau Metropolis
Lokasi mengangkat tema budaya dan warisan menjadi pilihan untuk kembara buat GLAM Deko. Singapura masih memelihara sisa peninggalan pelbagai bangsa berbeza walaupun menerima arus pemodenan dengan jayanya.
Village Hotel Bugis
Kunjungan kali ini kami diterbangkan oleh rangkaian hotel Far East Hospitality untuk merasai pengalaman menginap di lokasi yang dikelilingi pelbagai tarikan berbeza. Jenama ini menggabungkan beberapa rangkaian lain antaranya Village Hotel, Rendevouz. Lokasi pertama sejurus tiba ke kota Singa ini adalah sebuah hotel yang terletak strategi berdekatan Masjid Sultan yang merupakan binaan ikonik yang sarat dengan pelbagai tarikan berbeza untuk para penduduk tempatan juga buat pelancong. Hotel pertama yang menjadi lokasi penginapan kami adalah Village Hotel Bugis. Semestinya lokasi yang strategik menjadi salah satu kunci mengapa hotel ini menjadi pilihan ramai pelancong. Tidak saya nafikan sementara menunggu proses mendaftar masuk ke bilik penginapan, tidak putus pelancong antarabangsa dan Asia menanti giliran melakukan urusan yang sama. Menarik di hotel ini kehadiran kami dan tetamu lain disambut dengan sebuah gerai kecil yang menghidangkan juadah ringan tempatan seperti teh tarik bersama karipap dan cucur pisang.
Sesudah berehat dan menyegarkan diri di bilik penginapan, kami dibawa melawat ke beberapa perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan buat para tetamu di sini. Secara asasnya kemudahan yang disediakan adalah sama seperti hotel lain namun terdapat beberapa bilik penginapan yang menampilkan gaya tersendiri dan disesuaikan untuk mereka yang hadir berkeluarga. Dengan lokasi yang strategik di sini amat mudah untuk para pengunjung mendapatkan seleksi makanan halal. Jika anda gemar menikmati hidangan di dalam hotel, mereka menawarkan dua restoran yang membawakan seleksi jenis menu berbeza. Salah satu daripadanya merupakan restoran yang sering dipenuhi pengunjung lokal dan antarabangsa, yang dikendalikan oleh Chef selebriti.
Lokasi hotel yang strategik ini menampilkan kawasan persekitaran yang menggabungkan budaya antara tiga kaum berbeza yakni Peranakan, Arab juga India. Dengan hanya berjalan kaki sekitar dua minit, anda bakal menjelajah ke Haji Lane dan Arab Street yang sarat dengan pelbagai kafe unik juga butik artistik yang membawakan ajnas produk gaya hidup, fesyen juga kulinari. Antara akttiviti yang dicadangkan adalah #playlikelocal dan #eatlikelocal yang memberi kami peluang untuk mencuba sendiri seleksi kedai yang terletak sekitar radius hotel ini. Jika sebelum ini anda pernah mendengar nama restoran ZamZam, ia sebenarnya hanyalah beberapa meter sahaja dari lokasi Hotel Village Bugis. Tarikan ternama untuk kawasan di sini semestinya masjid Sultan, Kampung Gelam juga Pusat Kebudayaan Melayu yang terletak berhampiran hotel.