Kemasan Lembut Nadi Dekorasi

Kemasan Lembut Nadi Dekorasi

clikatGambar: Koleksi Clikat dari Acacia

 
Teks: Shahril Hadi Halim
 
Pelbagai elemen boleh menciptakan kesempurnaan pada ruang dan kesemuanya ini perlulah dikoordinasikan secara serentak. Lazimnya, masyarakat kita gemar melaburkan masa, usaha dan wang setiap kali tibanya musim perayaan untuk merubah wajah kediaman. Tambah meriah melihat sanak saudara datang berkunjung dengan kediaman yang ditata segar dan menarik. Antara aspek utama yang sering mendapat pilihan untuk dekorasi kediaman merupakan kemasan lembut atau soft furnishing. Tidak terhad pada pilihan langsir ia turut merangkumi kusyen, alas meja, ambal dan aksesori lain.
 
Kemasan lembut merupakan nadi utama untuk menjadikan kediaman tampil cosy dan mendamaikan. Tidak hanya dapat mencipta mood yang dikehendaki, anda juga mampu menetapkan feel yang ingin diterjemahkan melalui pemilihan kemasan lembut. Sama ada mahukan kesan formal atau santai, perabot dan padanan fabrik yang dipilih menjanjikan hasil dalam gaya warmth, mewah, opulence atau resort.
 
Aspek Perlu Tahu Sebelum Memilih Fabrik
Hakikatnya membuat pilihan untuk fabrik tidak hanya bergantung pada elemen fabrik itu sahaja. Banyak faktor lain yang menyumbang dalam memastikan hasil yang ingin dikecapi tercapai. Pada pendapat saya, adalah lebih baik mengambil kira faktor sedia ada jika anda bercadang untuk membuat perubahan kecil. Berbanding jika ia melibatkan projek yang berskala besar, seperti ubah suai keseluruhan ruang tamu atau membina kediaman dari mula.
 
Pandangan Pakar 
Jika anda bercadang memulakan projek berskala besar ini, sebaiknya minta pandangan pakar seperti pereka hiasan dalaman dan lakukan sedikit penyelidikan. Pencahayaan merupakan perkara utama yang memberi efek penting pada pemilihan fabrik yang dipilih. Jadi tentukan sumber cahaya, pilihan lampu, jumlah watt pada mentol dan arah pencahayaan serta susun letak perabot anda.
 
Pilihan Palet Warna
Perkara kedua adalah pastikan anda telah menyenaraikan palet warna terlebih dahulu. Ini kerana pemilihan fabrik perlu serasi dengan pilihan warna cat yang bakal melatari keseluruhan ruang. Jika anda merancang melakukan projek ubah suai berskala kecil, pastikan penggunaan warna ruang sedia adalah selari dengan pilihan fabrik baru.
 
Lantai dan Siling 
Warna lantai dan siling juga harus diberikan perhatian. Ruang yangbersifat kekal dan bersaiz besar secara tidak langsung ini sememangnya akan memberi kesan kepada hasil yang cuba ditonjolkan. Mungkin secara amnya kebanyakan rumah kekal memilih siling dalam rona putih kurang bermasalah dalam permilihan warna. Untuk itu anda boleh terus membuat pilihan warna yang medasari lantai kediaman. Kini kemasan lantai hadir dalam pelbagai warna, corak, dan material. Jika dahulu ramai yang memilih jubin putih atau marmar, kini pilihan lantai berlamina semakin popular. Ini kerana sifatnya yang mudah dijaga dan tahan lasak, selain hadir dalam corak mengikut kehendak anda seperti kayu dan marmar. Oleh itu lihat kembali warna yang dipilih sama ada cerah, sederhana atau gelap. Kemudian seimbangkan melalui pilihan fabrik yang bakal anda lakukan nanti. Secara dasarnya anda telah meneliti faktor luar yang perlu dipertimbangkan dalam memilih fabrik untuk kediaman anda.
 
Bagaimana Memilih Fabrik Tepat?
Kini anda boleh meneruskan kepada memilih fabrik yang anda kehendaki. Perkara pertama yang perlu diperhalusi adalah jenis fabrik yang anda sukai. Namun ia bergantung untuk jenis kegunaan fabrik tersebut. Tidak dinafikan ada di kalangan kita yang menggemari fabrik linen ataupun sutera namun ia tidaklah praktikal untuk kegunaan seluruh ruang. Untuk memilih jenis fabrik, tiga perkara penting perlu anda pertimbangkan yakni bajet, kegunaan ruang serta gaya hidup anda.
 
Mengambil contoh jika anda memilih langsir dari fabrik sutera sebagai kemasan tingkap yang terdedah secara terus pada sinaran matahari. Ini memungkinkan jangka hayat yang pendek pada langsir anda. Selain dari itu, jika anda mahu menapis terus kemasukan cahaya, pilih fabrik yang lebih tebal dan elakkan menggunakan rona hitam kerana ia bersifat menyerap haba. Jika kediaman anda memiliki anak kecil, saya cadangkan menggunakan fabrik tahan lasak seperti kapas untuk lebih mudah penjagaannya.
 
Jika anda sudah membuat pilihan, minta sampel fabrik dan bawa pulang dahulu sebelum membuat keputusan. Selain untuk melihat padanan warna dengan skema sedia ada, anda perlu meneliti sama ada fabrik ini serasi di bawah pencahayaan yang terdapat di ruang kediaman. Bergantung kepada sumber cahaya yang dibincangkan tadi dan juga keluasan ruang, fabrik sememangnya akan berubah aura saat mendiami ruang yang sebenar.
 
Kombinasi Elemen Aksesori 
Elemen lain yang turut berkait mengenai kemasan lembut adalah ambal yang turut popular di kalangan kita saat menghiasi kediaman. Ia sebaiknya diletakkan di ruang yang mempunyai kadar laluan trafik yang tinggi seperti ruang foyer dan ruang tamu. Patikan jenis fabrik yang tahan lasak untuk memastikan ia kekal lama. Pilihan yang baik adalah warna yang sedikit gelap agar tidak mudah terlihat kotoran. Manakala pilihan rona cerah mungkin lebih sesuai untuk ruang yang tidak terlalu sibuk seperti kamar membaca dan ruang persalinan. Saya tidak gemar pada pilihan ambal sintetik kerana ia mampu menjatuhkan rasa mewah pada keseluruhan ruang. Juga pastikan paten yang anda pilih selari dengan konsep dekorasi, tidak salah untuk cuba lari sedikit namun elakkan kontras keterlaluan.
 
Langkah terakhir untuk menghias ruang adalah melalui aksesori kecil seperti kusyen dan throw. Anda boleh bermain dengan aneka pilihan, warna juga paten. Ini merupakan pelaburan yang paling mudah dan juga murah. Saat mula memiliki kediaman, ini merupakan pelaburan pertama yang saya lakukan. Dan setiap tahun saya menambah satu rangkaian baru untuk perayaan. Dan pada masa-masa tertentu, saya hanya bermain antara rangkaian-rangkaian berbeza yang saya miliki.
 
 

See also
Retorik: Sinergi Seni Visual & Budaya Popular