Kediaman - Urban Kontemporari - Page 4 of 4 - Glam Malaysia

Kediaman – Urban Kontemporari

Binaan dinding dan siling berganda setinggi 24 kaki menjadi paksi rekaan banglo serba moden ini. Mainan palet neutral mewah; hijau, kelabu dan coklat cerah disulami paten chevron dan ira marmar mencipta kediaman berkarakter untuk pasangan muda serta anak mereka.

Pemilik, Nur Fazlin Khalil meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada pereka Azry Fazamy untuk merealisasikan kediaman impian

Banglo tiga tingkat di Bukit Jelutong ini bereksperimentasi gabungan pelbagai jenis material yakni kayu, besi, kaca dan kulit. Kediaman didiami oleh pasangan muda, Nur Fazlin Khalil bersama suami, Amirul Hijjas Ahmad Ridzwan bersama dua anak mereka. Mainan palet neutral segar hijau dan kelabu mendominasi segenap ruang kediaman. Mendapat sentuhan semula oleh pereka, Azry Fazamy, banglo ini mengambil masa enam bulan untuk siap sepenuhnya. “Sebelum mengenali Azry, saya membuat penambahan pelan lantai dapur sebanyak 10 kaki. Malah, kami juga menggunakan khidmat pasukan pereka bentuk dalaman lain yang akhirnya meninggalkan projek separuh jalan. Pentingnya mengambil tahu serba sedikit latar belakang pereka sebelum memulakan projek,” cerita Fazlin membuka bicara.

Reka pelan lantai kediaman dimulakan dengan pembinaan ruang foyer yang dibina santai bergaya. Tempat duduk dibina melekap terus pada dinding beralaskan kusyen corak chevron dan aturan aksesori bekas lilin tembaga. Azry turut membina kabinet pasang siap material kayu cerah berfungsi sebagai sistem unit penyimpanan kegunaan penghuni.

Slide untuk lihat gambar.

4 of 4
Use your ← → (arrow) keys to browse

SIMETRI MODEN

Dapur terbahagi pada dua fungsi; basah dan kering. Azry mengadaptasi garis lurus linear bagi mencipta dapur serba moden dan praktikal. Kabinet dapur dibina menggunakan material berkilat berwarna kelabu cerah. “Pemilik menghuni bersama dua anak mereka yang masih kecil. Saya perlu mengambil kira kegunaan fungsi, praktikaliti dan rekaan mesra kanak-kanak (tidak berbucu tajam). Breakfast table ini memudahkan Fazlin untuk makan bersama anak-anak dan lebih mudah kerana berdekatan dengan sinki,” jelas Azry panjang lebar. Gantungan tumbuhan pakis di tetingkap berfungsi memercik aura segar.

ELEMEN HIJAU

Reka bentuk landskap di hadapan rumah direalisasikan oleh pasukan Panorama Alam. Tanaman jenis renek subur menghijau hidup ditanam dalam ajnas jenis saiz pasu memenuhi ruang berhadapan pintu masuk. Dua kerusi berlengan rotan putih diatur untuk bersenggang santai petang-petang. “Fazlin dan suami tidak mempunyai masa senggang yang begitu banyak. Mereka memerlukan rekaan landskap yang tidak memerlukan komitmen penjagaan yang tinggi. Saya pilih tumbuhan jenis mudah tumbuh dan tidak menjalar agar penyelengaraan mudah dilakukan oleh seisi penghuni,” kata Azry sambil menunjukkan satu lagi ruang duduk-duduk di balkoni bersebelahan ruang tamu yang turut mendapat sentuhannya.

See also
Bicara Deko - Rona Pilihan Dulux 2018

PENYELARAS : SUHANA DESA TEKS : NADIA ZOLKIFLI ARAHAN SENI : AFIQ KHAIRUDIN GAMBAR : WAN IZHAR (ONE DIGITAL SOLUTION)

Arkib GLAM Deko April 2018