Kediaman - Sentuhan Kontemporari Sejati Residence - Page 3 of 8 - Glam Malaysia

Kediaman – Sentuhan Kontemporari Sejati Residence

Warna-warna pop hangat kuning, hijau dan biru menjadi latar spektrum palet kediaman. Kediaman jenis semi-detached dua tingkat, Sejati Residence di Cyberjaya ini disempurnakan oleh firma reka bentuk Mamyhome Interior Design Renovation. “Lokasi yang dekat dengan tempat kerja di KLIA adalah faktor utama saya memilih kediaman ini. Lagi pula, ramai kawan sekerja yang tinggal di kawasan sama menjadikan saya  selesa,” beritahu pemilik yang bekerja sebagai juruterbang. Beliau meletakkan kepercayaan penuh pada Mamyhome untuk menata gaya seluruh ruang kediaman. Mengambil masa hampir tiga bulan untuk disudahkan, kediaman ini tidak melewati sebarang proses renovasi reka pelan asal; hanya penambahan kemasan kayu pada dinding dan binaan ruang dapur kering.

Reka pelan ruang kediaman berkeadaan terbuka tanpa sebarang pembahagi atau dinding pemisah. Ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur kering berkongsi lantai yang sama. “Terdapat beberapa reka pelan lantai berbeza untuk unit-unit kediaman di Sejati Residences, ada yang bersekali courtyard tetapi saya memilih reka bentuk ini kerana berkeadaan lapang langsung tidak menyesakkan mata,” kata pemilik yang mendiami bersama isteri tercinta dan tiga orang anak.

3 of 8
Use your ← → (arrow) keys to browse

Kehadiran aksesori dan perincian berwarna keemasan seperti gantungan lampu candelier, bangku tinggi, kaki lilin, pasu dan dulang membangkit aura mewah moden di kediaman. Mamyhome mengadaptasi garis lurus linear bagi mencipta dapur kering serba moden dan praktikal. Kabinet dapur dibina menggunakan material berkilat berwarna putih. “Pemilik menghuni bersama tiga anak yang masih kecil. Saya perlu mengambil kira kegunaan fungsi dan praktikaliti. Binaan kaunter memberi ruang tambahan buat penghuni untuk menikmati sarapan atau snek bersama anak-anak dan lebih mudah kerana berdekatan dengan sinki,” jelas Amin.

MANIPULASI RUANG

Menuju ke aras atas kediaman yang memayungi kamar-kamar beradu sang penghuni. Kamar beradu utama bernada neutral kelabu dan coklat cerah memperlihatkan satu tindakan reka bentuk bijak daripada Mamyhome yakni binaan dinding pemisah antara ruang wardrobe dan ruang beradu. Mamyhome turut mengadaptasi reka bentuk camouflage pada binaan pintu-pintu yang ada menjadikan ruang lebih lapang dan pandangan tidak semak.  Jelas Amin, “Saiz ruang lantai adalah perkara yang perlu diambil kira dalam reka bentuk. Kami perlu berani bereksperimen dengan kegunaan ruang sedia ada serta menambah fungsi yang lebih baik agar penghuni berasa selesa dan nyaman setiap kali melangkah masuk. Reka bentuk katil berukuran tinggi untuk dua anak bujang penghuni memberi lebih ruang untuk perletakkan meja kerja dan sistem unit penyimpanan di ruang lantai.”

See also
Terokai 7 Menu Beridentitikan Asia Yang Menyelerakan Di Sunway Hotels & Resorts