Kediaman - Sentuhan Harmoni Tropika - Glam Malaysia

Kediaman – Sentuhan Harmoni Tropika

Gema harmoni tropika gabungan perabot antik sentuhan mid century bertemu moden mengalir tegar dalam persembahan ruang kediaman milik Pengarah Kreatif, Zulkifli Sulaiman dalaman sentuhan penuh berseni. 

Bermain latar natural, dominasi putih dan polos membentuk persona ruang kediaman jenis teres satu setengah tingkat yang berlokasi di Bangsar ini. Dikepung hutan konkrit ibu kota, namun masih memiliki privasi landskap hijau dambaan pemiliknya. Memilih untuk menyewa, memberi ruang buat Zul bereksperimen dengan gaya dan cita rasa peribadi tanpa perlu terikat dengan satu konsep sahaja.

“Ini merupakan kediaman kelima yang pernah disewa dalam tempoh 10 tahun. Kenapa saya lebih gemar menyewa? Saya seorang yang mudah bosan dan tidak suka terikat dengan satu-satu konsep sahaja. Sebab itu saya lebih selesa tinggal menyewa dan bebas untuk menukar gaya ruang mengikut mood dan jangka masa yang saya inginkan. Tinggal bujang juga satu bonus agar saya bebas meneroka sesuatu gaya dan paling penting dalam menonjolkan karakter peribadi sendiri,” kongsi Zul yang menetap bersama kucing peliharaan kesayangan, Pablo.

See also
Palet - Trivia Warna Salju Putih

Berbicara bersama pemilik, Zulkifli Sulaiman

Inspirasi atau pengaruh dalam menata hias ruang kediaman

Penataan ruang kediaman ini diilhamkan lewat kembara ke beberapa negara, selain pengalaman menginap di rumah hujung minggu. Saya sering membayangkan persekitaran kediaman seolah-olah berada di Canggu, Bali yang teguh menonjolkan budaya dan resam gaya hidup di sana. Semestinya putih kekal menjadi warna utama diharmonikan dalam suasana natural buat menyuntik mood cosy dan lebih homey.

Faktor memilih lokasi kediaman

Selain faktor kedudukan yang strategik, Bangsar menjadi pilihan kerana senang berulang alik ke tempat kerja. 10 tahun dahulu saya pernah menetap di lokasi yang sama, dan juga pernah mendiami lokasi yang pinggir bandar; Sungai Buloh selama setahun sebelum kembali semula menetap di Bangsar. Di sini segalanya tersedia dengan mudah, terutama dalam mendapat sumber makanan dan  memiliki aset hartanah.

Ruang kegemaran

Semestinya ruang tamu dan ruang makan menjadi ruang kegemaran ketika berada di rumah. Saya gemar merai kunjungan teman dan saudara mara, dan ruang ini menjadi tumpuan selain banyak masa dihabiskan di sini. Saya sendiri gemar memasak dan hujung minggu adalah waktu terbaik buat meluangkan masa bersama teman-teman sambil memasak bersama-sama dan menata hias ruang makan dengan tema dan gaya yang berbeza. Aktiviti rutin yang ternyata sangat menyeronokkan!

See also
Palet - Trivia Warna Biru Segar Firus

Perancangan masa depan

Buat masa ini, saya selesa tinggal di sini untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. Tambahan faktor umur yang semakin meningkat, saya merasakan gaya ini serasi dan memenuhi gaya hidup serta rutin kerjaya saya.

Definisi kediaman impian

Saya mengimpikan rumah tepi pantai di mana hujung minggu adalah masa paling ideal untuk bersantai di rumah sambil menghirup udara segar, menikmati juadah istimewa hasil air tangan sendiri, dan dikongsi dengan teman-teman tersayang yang datang bertandang. Living happily inside with full of food!

1 of 6
Use your ← → (arrow) keys to browse

 

 

 

Variasi reka bentuk dan material perabot menterjemahkan definisi ruang hidup utama bagi kediaman ini. Elemen kayu menghidupkan nafas ruang bergaya tropika bersemi gaya moden sentuhan mid century.