GLAM Deko Kediaman - Organik Industrial - Glam Malaysia

GLAM Deko Kediaman – Organik Industrial

Penyelaras : Suhana Desa
Teks : Nadia Zolkifli
Arahan Seni : Afiq Khairudin
Video : Dennis Kho

 

 

Pereka, Azry Fazamy diberi mandat untuk merealisasikan impian pemilik membina kediaman yang sudah lama dibiar tidak berpenghuni. Kali ini, Azry mahu menghidupkan atmosfera organik yang mana, palet kelam diadun bersama material metal, kayu padu dan kulit sebagai paksi kediaman. Manakala, kehidupan hijau semulajadi turut dibawa masuk ke setiap ruang hidup penghuni. Banglo tiga tingkat ini mengekalkan seni bina bahagian luar.

 

Ruang tamu utama, ruang makan dibina berkongsi lantai yang sama di aras bawah kediaman. Struktur syiling berganda memberi laluan mudah buat udara dan pengcahayaan semulajadi di sekitar kediaman.

 

Jelas Azry, “Kelemahan reka pelan kediaman ini adalah kewujudan ruang-ruang kosong yang tidak praktikal dan tidak dapat digunakan semaksima mungkin. Jadi saya hapuskan ruang-ruang ini termasuk struktur asal dapur dan bilik utiliti bagi memberi lebih ruang sosial yakni ruang tamu utama dan ruang makan.”

 

See also
GLAM APRIL 2018

Warna kelabu kelam dengan kesan kemasan simen mentah dipilih bagi membentuk dinding fokal di ruang tamu. Gril gelangsar besi padu menggantikan fungsi langsir dan tirai bertindak menabir cahaya semulajadi di kala siang.

 

“Gril gelangsar ini cetusan idea Azry kerana saya tidak mahukan langsir sebagai penabir suria kerana kos penyelenggaraan yang tinggi dan berkala. Gril ini secara tidak langsung memberi impak berbeza pada ruang ini. Malah, saya terpegun melihat hasil akhir,” kata pemilik yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada Azry untuk projek ini.

 

Sementelah ruang bawah didedikasikan sebagai ruang sosial, aras dua banglo menempatkan kamar beradu utama dan ruang duduk-duduk. Ruang duduk-duduk antara struktur tambahan yang dilakukan oleh Azry. Titik fokal ruang; lukisan hutan tropika memenuhi panel dinding ruang karya, Nik Mohd Hazri.