Retorik: Komersialisasi Fesyen Global - Glam Malaysia

Retorik: Komersialisasi Fesyen Global

Chanel Paris Fashion WeekGambar: TPGVIP

Dunia fesyen sekarang amat kompleks dan adakalanya merumitkan. Kalau dahulu pelantar medianya hanyalah majalah, akhbar dan katalog, kini jenama fesyen hadir di dalam setiap inci kehidupan kita. Internet nyata mengubah segalanya. Pada zaman 1950-an, alam fesyen hanya melibatkan beberapa jenama dan jalur ceritanya hanya tertumpu di Eropah dan Amerika. Kini semua berbeza walau masih berpusat di sana, sudah ada berpuluh-puluh jenama besar yang menjadi perhatian dan clientele-nya lebih besar sehinggakan semuanya tertumpu di Asia terutamanya di Tanah Besar China.

Dior dan Chanel di antara dua jenama yang masih gah dan segar sehingga ke hari ini. Poiret dan Schiaparelli pula antara jenama dari era sama yang nama mereka sudah hampir dilupakan. Balenciaga dan Lanvin hampir ‘gulung tikar’ pada 1970-an namun kini megah dan kembali relevan. Apa yang lebih mengagumkan, mereka terus agung dan menjadi inspirasi meskipun banyak jenama baru wujud dari hari ke hari. Lebih menarik, setiap satu jenama ini mempunyai kisah mereka sendiri tentang bagaimana mengharungi setiap satu musim fesyen yang hanya bertambah sengit dari tahun ke tahun.

Awal tahun 1990-an kita menyaksikan kebangkitan pereka fesyen Amerika. Calvin Klein, Donna Karan, Vera Wang, Michael Kors, Tommy Hilfinger dan Ralph Lauren antara jenama besar yang berjaya membina empayar fesyen mereka sendiri. Lebih mengagumkan kesemua masih bertapak di Amerika sehingga ke hari ini. Kisah evolusi jenama Ralph Lauren antara yang saya gemari. Kebijaksanaannya mengolah gaya klasik lelaki bermula pada 1967 dengan hanya sebuah toko menjual tali leher. Cintanya kepada seni jahitan busana lelaki diolah pula untuk selera pelanggan wanita yang akhirnya diterima ramai. Siapa tidak pernah dengar jenama Polo Ralph Lauren? Kini, empayar itu mempunyai lebih 15 jenama berbeza dan bernilai lebih AS$3 bilion.

See also
Tiffany & Co. Gala Dinner

Masuk milennium baru tahun 2000, Kota London bagaikan melting pot dengan bakat-bakat baru seni reka fesyen. Apatah lagi, John Galliano di Christian Dior dan Alexander McQueen di Givenchy, kedua-duanya dari kota ini dan rancak mewarnai dunia busana di Paris lantas memberi peluang kepada pereka seperti Matthew Williamson, Peter Pilotto, Giles Deacon dan Mary Katrantzou untuk melakar kegemilangan mereka sendiri.

Secara peribadi, Christopher Kane adalah pereka yang paling saya gemari. Dia bertanggungjawab mengembalikan trend fluorescent pada 2006 dengan koleksi bandage dress dan rona-rona neon. Mungkin kerana keberaniannya bermain silhouette dan pelbagai fabrik, mula diberi kepercayaan oleh Donatella Versace untuk menyelia jenama Versus sejak 2009. Paling membanggakan, Kering Group bersetuju untuk menjadi pelabur utama jenama itu lantas menjadikan namanya sebaris Stella McCartney dan Alexander McQueen pada awal tahun ini.

Sesetengah umum berpendapat lebih mudah untuk jenama lama kekal bertapak dan memonopoli pasaran, namun bukti menunjukkan ada jenama baru yang berjaya bersaing sama tinggi, bahkan ada juga jenama lama yang gulung tikar sama seperti jenama baru. Kebanyakan masalah dihadapi oleh jenama lama adalah pengurusan yang tidak efektif dan terlalu mengikut gaya arkib sendiri tanpa mempercayai kekuatan inovasi. Chanel merupakan contoh terbaik.

See also
Datin X: Pinjam Duit Abang Ipar Untuk Beli Beg Tangan

Pengurusannya kini masih kekal private company dan Karl Lagerfeld sebagai pengarah kreatif bijak mempertontonkan apa yang cool dan memenuhi selera setiap generasi pelanggannya. Meski muda dan yang tua, kesemua mereka pasti ada sesuatu yang diingini dari setiap koleksi jenama ini. Paling menarik, koleksinya sentiasa segar dan tidak lapuk dimakan zaman. Maka tidak hairanlah mengapa peragaan vintaj ini sentiasa menjadi rebutan peminat fesyen.

Ungaro pula sebaliknya. Jenama yang dahulu gah menghasilkan busana indah dijual kepada usahawan internet, Usim Abdullah pada 2005. Pada masa itu, Ungaro lebih dikenali sebagai jenama minyak wangi berbanding koleksi busana yang tidak mendapat perhatian umum. Jenama ini kembali menarik perhatian tatkala Lindsay Lohan dilantik bekerjasama dengan pengarah kreatifnya, Estrella Archs. Usim berpendapat kehadiran Lindsay yang penuh kontroversi akan dapat mengembalikan kegemilangan jenama ini. Ya, jenama ini terus menjadi perbualan ramai namun hanya atas segala kisah negatifnya. Koleksi Lindsay dikritik hebat dan akhirnya dipecat pada 2010, diganti pula oleh Giles Deacon. Sehingga ke hari ini, selain daripada menghiasi ruang karpet merah diperaga selebriti, hala tuju jenama ini masih menjadi tanda tanya.

See also
"Datuk Sheila Majid adalah sumber inspirasi dalam mengorak langkah sebagai anak seni." - Nadhira

Apa yang dapat disimpulkan, perniagaan fesyen bukanlah mudah untuk dijayakan. Hanya bergantung kepada seni kreatif rekaan tanpa hala tuju bisnes yang bijak juga pasti merugikan. Ketajaman akal berniaga seiiring dengan rekaan yang sentiasa segar dan relevan komponen paling penting untuk memastikan kejayaan sesebuah empayar fesyen. Apatah lagi dalam proses globalisasi sekarang yang memperjuangkan commercialism, penting untuk setiap pereka mendalami selok-belok perniagaan agar tidak ketinggalan zaman dan ditipu.

Oleh: Arman Shahril

ARMAN SHAHRIL BERKELULUSAN ACCA DARI UNITED KINGDOM DAN BERPENGALAMAN LEBIH LIMA TAHUN DALAM BIDANG KEWANGAN DAN AUDIT SEBELUM MEMASUKI INDUSTRI FASHION RETAIL (DAGANGAN) PADA 2007. KINI, ARMAN BERSAMA RAKAN KARIBNYA MEMILIH KERJAYA DENGAN MENULIS BLOG DI duniafashyon.com.

Dipetik dari GLAM Oktober 2013