Korner Mak Datin: Puan Sri Sorok Cucu Kerana Lahir Tidak Berbapa

Korner Mak Datin: Puan Sri Sorok Cucu Kerana Lahir Tidak Berbapa

Datin X___

*Seperti yang diceritakan oleh Nadia kepada Datin Julia.
 
Panggilan telefon awal pagi itu betul-betul mengejutkan aku. Terkesima mendengar suara kawan baik terketar-ketar merayu bantuan di hujung talian. Dirasuk simpati tak terbatas aku terus mengatakan ya, bersetuju menyelesaikan masalah yang membelenggu. Sejurus gagang telefon ku letak, baru terfikir bagaimana dengan suamiku? Andai dia membantah apa langkahku? Berputar-putar akalku mencari jalan memujuk suami. Hati tak putus berharap agar Tuhan melembutkan hatinya. Moga sahaja dia tidak membantah dan semuanya berjalan lancar.
 
Malangnya, berkali-kali menghubungi suami, telefonnya tidak berjawab. Kegusaranku bertambah. Andai terus-terusan tidak berjawab, rosak binasalah rancanganku. Melirik jarum jam yang pantas berputar, aku terus mendail ke kampung. Mendengar suara halus emak di hujung talian meredakan debaran yang tadinya begitu kencang. Mulanya, emak terdiam seketika mendengar cerita dan rencanaku. Barangkali, hatinya bersarang keraguan. Usai aku bercerita, istighfar emak kedengaran panjang sekali. Lantas katanya, “Niatmu baik nak. Teruskanlah.”
 
Aku menarik nafas lega. Satu perkara selesai, fikiranku. Suamiku, suamiku, mana dia? Tanpa berlengah aku mendail nombornya. Dalam debar aku menanti penuh harap. Jawablah bang, jawablah! Detik hati berkali-kali. Syukur, akhirnya suara garau suami memecah debaran penantian. Memahami sikap suami yang cukup egois, kuterangkan satu-persatu dengan berhati-hati tentang rencanaku dan persetujuanku untuk membantu teman yang dalam kesusahan. “Tunggu abang balik!” katanya tegas. Kecut perutku mendengar sepatah katanya. Berjela aku melaporkan cerita, tiga perkataan yang diucap? Soalku kecewa.
 
Kali ini aku tidak peduli. Tiga puluh tahun mendampinginya penuh setia, belum pernah sekali aku membantah kata. Apa sahaja kehendak suami, semuanya ku turuti asal tidak melanggar syarak. Entah kenapa, kali ini aku nekad. Andai kata dia tidak bersetuju dengan keputusanku, aku tetap tidak akan berganjak. Keputusanku muktamad. Kalau dahulu aku sahaja yang mengangguk bagai belatuk, kini giliran suamiku pula menjadi pak turut. Aku tidak peduli!
 
Sepanjang hari menanti kepulangan suami, aku hanya mundar-mandir tidak keruan. Duduk salah, berdiri salah. Sekejap aku menyapu, sekejap lagi aku mengelap habuk atas kabinet. Namun, semua kerja rumah yang kulakukan tidak menentu. Jasadku di situ tetapi fikiranku entah ke mana. Kucuba duduk menonton televisyen namun butir rancangan TV satupun tidak kufahami. Aku seperti tidur dalam jaga. Mataku sekejap melirik ke jam dinding dan sekejap melirik ke pintu. Tidak sabar rasanya menanti suami pulang.
 
Jenuh menunggu akhirnya suamiku terjongol depan pintu. “Siaplah, nanti lambat nak jemput Tan Sri dan Puan Sri,” katanya lembut. Aku agak terkejut namun tidak berani membantah terus berdandan sekadarnya. Dalam perjalanan menjemput Tan Sri dan Puan Sri baru kutahu, suamiku sudah maklum duduk perkara. Tan Sri sendiri mengucapkan terima kasih kepadanya kerana sudi membantu mereka. Rupa-rupanya, selepas Puan Sri menelefonku dan mendengar persetujuanku membantunya, dia terus mengkhabarkan berita gembira itu kepada suaminya. Patut pun, aku tidak dapat menghubungi suamiku kerana dia tersangkut di talian dengan Tan Sri. Belum sempat aku bercerita suamiku sudah tahu. Mudahnya Tuhan mengatur segala.
 
Dari rumah Tan Sri kami terus menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Hampir setengah jam menunggu, kelihatan Raina longlai menolak troli keluar dari pintu ketibaan luar negara. Puan Sri terus menerpa ke arahnya. Memeluk erat Raina sambil bercucuran air mata. Kami merapati mereka dan bersalaman dengan Raina. Raina Nampak tambah berisi dan lesu sekali. Barangkali hatinya sarat bersarang duka lantaran dibuang kekasih setelah berbadan dua. Suamiku menolak troli Raina yang hanya berisi dua beg sederhana. Kami menuju ke kereta tanpa sepatah kata. Masing-masing hanyut dalam khayalan episod baru yang bakal bermula.
 
Perjalanan malam itu menjadi bisu dan sepi. Semua melayan perasaan sendiri. Hanya lagu-lagu dari Klasik FM yang menemani kami. Kukerling suami yang sedang memandu. Tumpuannya hanya di jalan raya. Aku sendiri yang lazimnya mudah lena setiap kali pulang ke Utara langsung tidak mengantuk. Kutoleh ke belakang. Kepala Raina terjelopok di bahu Puan Sri sedang Puan Sri sendiri tidak henti-henti menyeka air mata. Kujeling Tan Sri yang sedang melempar pandangan jauh ke luar jendela kereta. Wajahnya penuh kesal dan kecewa  namun tidak terucap di bibir kata. Kulirik jam tangan. “Pukul dua pagi, kasihan mak. Tentu tak lelap mata menunggu kami,” fikirku.
 
Fikiranku merawang jauh. Masih basah dalam ingatanku keletah Raina tatkala kecil. Manja dan lucu. Dia memang yang tercantik di antara tiga dara Puan Sri. Kakak sulungnya, Rina berwajah bulat seperti Tan Sri. Manis orangnya tetapi pesek hidungnya. Manakala Rita, kakak kedua cantik juga tetapi agak gemuk pendek. Raina dianugerahi kesempurnaan sejati. Wajah bujur sirihnya amat menawan. Bulu mata lentik dan hidung mancungnya selalu menjadi pujian. Tubuh tinggi lampainya juga menjadi kebanggaan.
 
Raina menjadi anak kesayangan Tan Sri dan Puan Sri. Sambutan hari lahirnya yang ke-17 diadakan secara besar-besaran di hotel mewah. Pendek kata, kalah majlis kenduri kahwin. Kebetulan pula, Raina geliga otaknya. Dia mendapat 10A dalam peperiksaan SPM. Wah, bertambah sayanglah ayah dan ibunya! Sewaktu Raina mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Arkansas, Amerika Syarikat tajaan MARA, semua kawan-kawan Puan Sri heboh bercerita. Kata mereka, macam anak dia seorang yang dapat belajar ke luar negara. Habis Puan Sri canang serata pelosok anaknya pandai dan belajar ke luar negara.
 
Sambung mereka lagi, “apa jadi pada dua lagi anak daranya? Bila masuk kolej swasta senyap pula,” umpat mereka. Sekarang ni, sibuk telefon sana-sini tanya anak orang lain dapat berapa, sambung belajar kat mana. Berlagak betul!” kata mereka tidak puas hati. Aku yang memang faham perangai Puan Sri, almaklum kawan baik hanya tersengeh mendengar komen teman-teman lain. Lumrah manusia, berhasad dengki dan kata-mengata. Tidak ada apa yang hendak dihairankan.
 
Sayang sekali, Raina yang dianugerahi kecantikan dan kecerdikan tersasar dalam membuat pertimbangan. Dia hanyut dalam cinta berlainan bangsa. Dia kalah dalam melayari bahtera cinta. Kehidupan bebas bersama lelaki Amerika mengalpakan dirinya tentang Tuhan, tentang Islam dan tentang adat resam anak Melayu. Cinta telah menodai harga dirinya. Dia lupa maruah anak dara hanya senipis kulit bawang. Tanpa kawalan iman, benang itu boleh putus dan kulit bawang itu boleh koyak.
 
Pun begitu, Raina masih patut bersyukur. Dalam keadaannya yang lupa Tuhan, Tuhan masih menyanyanginya. Tuhan masih membuka hati kedua ibubapa untuk menyelesaikan masalahnya yang ditinggal kekasih akibat berbadan dua. Tuhan masih menemukan orang seperti aku yang sanggup membantu menutup aib keluarga. Raina harus berterima kasih pada Tuhan kerana masih menunjukkan jalan pulang. Apa akan jadi kalau Tuhan melupakan Raina sebagaimana Raina melupakan Tuhan? Apa akan jadi kalau Raina terus-terusan disesatkan di persimpangan?
 
Aku tidak dapat menggambarkan bagaimana reaksi kenalan Puan Sri andai rahsia Raina ketahuan. Pasti mereka terbahak-bahak mentertawakan Puan Sri. Barangkali juga mereka bertepuk tangan memadankan Puan Sri. Mungkin juga berbulan-bulan cerita aib Puan Sri menjadi dagangan gosip hangat. Puan Sri tentu tidak lagi boleh menjaja cerita tentang kepandaian Raina atau kecantikan Raina. Dia kini bagai ayam kalah sabung. Tajinya sudah tidak beracun. Paruhnya sudah hilang bias. Malah, kepaknya sudah tidak bakal terbang tinggi.
 
Bunyi hentakan kereta melanggar sesuatu mengejutkan aku dari lamunan. Suamiku terlanggar lopak rupanya. Kuusap halus bahunya memberi isyarat pandu perlahan. Jalan masuk ke kampungku memang banyak berlopak. Sudah begitu, sempit pula kerana kiri kanannya sawah. Keadaan sekeliling juga gelap kerana tiada lampu jalan. Hanya sorot lampu kereta menerangi jalan. Kereta-kereta lain pun tiada yang lalu-lalang kerana masih terlalu awal. Kami terhinggut-hinggut ke kiri dan ke kanan setiap kali kereta mengelak lopak.
 
Tepat jam lima pagi kami sampai di depan tangga rumah emak. Sorot lampu beranda yang agak malap menyukarkan kami memanjat anak tangga. Aku mengetuk pintu perlahan sambil mengucap salam. Berkeriut daun pintu terkuak dan di situ berdiri emak yang sudah tua namun ceria wajahnya. Wajah inilah yang telah mengabdi pada tanah bendang demi memberi aku makan. Kini, wajah ini jugalah yang akan mengabdi sekali lagi untuk meringankan beban yang aku bawa menghadapnya.
 
Aku tahu, apapun beban yang kubawa kehadapan emak, tidak akan pernah ditolaknya. Apa sahaja bantuan yang kuminta daripada emak, tidak sesekali dikecewakan. Itulah emak. Hatinya seharum kasturi. Dalam suka dan duka sentiasa bersedia mewangikan kehidupan anak-anak. Ada waktunya, aku sendiri tidak tahu, apakah hatiku seharum kasturi emak? Apakah aku juga mampu terus berjasa pada anak-anak pada usia tua rentaku nanti?
 
Kucium lembut tangan emak dan kudakap erat tubuh renta itu yang tidak pernah berhenti berjasa padaku. Rasa sebak menyuntik batinku dan aku basah dalam pelukan emak. Seperti lazimnya, emak mengucup ubun-ubunku. Mulutnya tidak henti berhamdalah melihat kami selamat tiba ke terataknya. Aku dan suami memaut erat bahu emak yang tidak terhitung dan tidak terbalas jasanya. Waima kuhimpun segunung intan permata tidak senilai kasih sayang emak padaku.
 
Kami duduk berteleku menghadap emak. Kukenalkan Tan Sri dan Puan Sri, kawan karib yang selalu kuceritakan pada emak setiap kali pulang ke kampung. Kutunjukkan Raina yang kuanggap bagai anak sendiri pada emak. Raina hanya tunduk membisu. Mungkin malu pada emak kerana berkenalan dalam keadaan dia berbadan dua tanpa suami yang sah. Dengan lembut, kuterangkan sekali lagi pada emak tentang rencanaku seperti yang telah kuceritakan dalam telefon siang tadi.
 
Dalam sebak aku berbicara, “Kami ingin menitipkan Raina yang kini mengandung enam bulan pada emak. Jagalah Raina seperti cucu emak sendiri sampai Raina selamat melahirkan. Raina akan kami jemput sebaik sahaja dia pulih kembali. Anak yang lahir itu nanti akan aku ‘pungut’. Aku telah berjanji pada Tan Sri, Puan Sri dan Raina akan mengasihi anak itu bagai anakku sendiri. Aku berjanji akan menjadi seperti emak yang terus mewangikan kehidupan anak-anak tanpa bosan.” Emak mengangguk tanda faham. Matanya teduh berkaca menatapku. Kutahu emak merestuiku.
 
Peristiwa besar itu akan menjadi rahsia besar pada anak itu dan orang lain. Malah, asal usul anak itu juga akan menjadi rahsia abadi padanya. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Itu janji yang terpacul dari mulutku. Janji yang disaksikan Tuhan dan malaikatNya. Janji yang disaksikan emak. Janji yang disaksikan bendang dan lumpur. Janji yang disaksikan suara azan subuh sayup membisik ke telinga lalu jatuh ke batin. Kami berjemaah subuh berimamkan suamiku dalam suasana syahdu. Sejadahku basah dek air mata. Terima kasih Tuhan. Mudahnya kau mengurus segala. Namun, kusedar episod ini hanya baru bermula.
 
*Dipetik dari GLAM Ogos 2012
 
 

See also
KLFWRTW DAY 5: Rizman Julang Piala Outstanding Designer!