Forbes 30 Under 30 Asia, Nor ‘Phoenix’ Diana Tercalon
Ahli gusti wanita Malaysia, Nor ‘Phoenix’ Diana yang pernah tular suatu ketika dahulu kini telah disenaraikan dalam Forbes 30 Under 30 Asia untuk tahun kelima. Ini berikutan kemenangan dikecapi Nor Diana apabila mengondol gelaran wanita pertama yang berhijab memenangi kejohanan Gusti Pro Malaysia Wrestlecon (MyPW) Julai lalu sekali gus terpilih di bawah Kategori Sukan dan Hiburan.
Senarai itu menampilkan 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia dan semuanya berumur bawah 30 tahun. Forbes `30 Under 30 Asia’ Kelas 2020 menyenaraikan pemimpin cemerlang dan inovatif dengan 30 individu dipilih bagi setiap daripada 10 kategori.
Kategori lain termasuk Seni (Seni dan Gaya, Makanan dan Minuman); Kewangan dan Modal Teroka; Media, Pemasaran dan Pengiklanan; Runcit & E-Dagang; Teknologi Perusahaan; Industri, Pembuatan dan Tenaga; Penjagaan Kesihatan dan Sains; Usahawan Sosial dan Teknologi Pengguna.
Antara yang tersenarai pada tahun ini termasuk kumpulan muzik K-pop wanita Twice dan pelakon wanita Park So-dam, daripada Korea Selatan, dikenali menerusi filem Parasite, yang telah memenangi anugerah Oscar tahun ini.
Credit photo on the top: Instagram @nordianapw | Sumber: Berita Harian