Mimifly, Sophia Liana & Aliana Azizi: Beyond Bars and Beats

Mimifly, Sophia Liana & Aliana Azizi: Beyond Bars and Beats

Dalam dunia muzik yang terus berevolusi, tiga figura wanita ini — Mimifly, Sophia Liana dan Aliana Azizi tampil mencorak landskap muzik lebih segar dan ketulusan dalam berkarya.

Mimifly: Jujur dan bebas bercerita

Segalanya bermula ketika Mimifly berusia empat belas tahun. “Sebenarnya yang betul-betul buat saya jatuh cinta dengan muzik ialah bila saya tengok Eve,” katanya mengimbau kenangan awal itu. Muzik video Gangster Lovin’ nyanyian Eve dan Alicia Keys membuka matanya terhadap dunia hip hop yang penuh tenaga dan gaya. Dari situ, dia mula mengikuti Eve, Gwen Stefani dan Lauryn Hill, barisan wanita yang menjadi inspirasinya untuk berani bersuara melalui muzik. “Hip hop memang menyeronokkan, saya suka bagaimana vokal boleh disampaikan melalui penceritaan yang jujur dan tulus,” ujarnya lagi.

Bagi Mimifly, rap adalah sebuah kebebasan untuk bercerita tanpa terikat kepada melodi. “Bila kita rap, kita tak perlu terlalu fikir tentang melodi. Fokusnya ialah pada cerita,” katanya. Dia menyukai cara rap memberi ruang untuk bermain dengan suku kata, menulis dengan jujur, dan menyalurkan idea fikirannya tanpa batas. Dunia hip hop baginya seperti kanvas yang luas, penuh warna dan idea yang bebas diteroka.

Perjalanannya mula berkembang apabila dia menyertai One Nation Emcee, bersama tiga rakan dari Sabah. Dari mereka, Mimifly belajar memahami rap dari sisi puisi dan budaya. “Cara mereka bercakap pun berbeza, dan cara mereka menulis puisi sangat menyentuh hati saya,” kongsinya. Dari situ, dia mula mengenali Tupac dan memahami rap sebagai seni yang lahir dari kebebasan berfikir. “Saya belajar daripada mereka untuk dengar apa yang mereka suka, dan semakin banyak saya dengar rap, saya mula temui bunyi dan gaya tersendiri.”

Namun perjalanan sebagai artis bukan mudah. “Saya ambil masa bertahun-tahun untuk sampai ke tahap ini, melalui kesusahan dan proses memahami diri,” katanya jujur. Dari Anak Kampung dan Raja Gelek hingga ke Superfly, Mimifly terus berevolusi. “Saya sentiasa mencipta semula diri saya berulang kali… saya warnakan rambut merah saya, dan itu membezakan saya sebagai Mimifly daripada Mimi biasa.” Setiap fasa kehidupannya membawa pengalaman baharu untuk diterjemahkan dalam muzik. “Ia tentang hidup dan mengumpul pengalaman supaya boleh diterjemah menjadi muzik yang ikhlas dan setulus mungkin.”

Apabila menghasilkan Angkat, dia menilai dirinya semula dimana bukan untuk memenuhi kehendak pasaran, tetapi untuk jujur kepada diri sendiri. “Untuk jadi artis, kita perlu suka apa yang kita nyanyikan dan persembahkan sebelum orang lain menyukainya.” Dia pernah membawakan lagu yang tidak disukainya, dan menyedari betapa ia meletihkan hidup kerana tiada keikhlasan dalam seni. Kini, sebagai artis bebas, Mimifly rasa lebih puas. “Ini mendorong saya untuk terus mencipta, jadi lebih kreatif, dan kekal dalam momen yang saya alami sekarang.”

See also
Mimpikita Kini Bukan Lagi Sekadar "Mimpi"

Kejayaan terbaharunya datang dalam bentuk yang tidak dijangka iaitu lagu raya bertajuk Serumpun. “Saya gembira orang menerima lagu itu dan menikmatinya, dan saya sangat bersyukur akhirnya ada lagu raya selepas 17 tahun dalam industri ini.” Bagi Mimifly, kejayaan bukan soal menjadi nombor satu. “Jangan kejar untuk jadi paling viral, paling popular kerana ini bukan tentang destinasi tetapi tentang satu perjalanan.”

Kini Mimifly berada di fasa paling tenang dalam hidupnya. Dia mahu muziknya menjadi ruang untuk menyebar mesej ketenangan, keaslian dan keberanian emosi. “Saya suka sebarkan mesej tentang ketenangan, positif, dan keaslian. Saya tak sembunyikan sisi kemarahan atau dark feminine energy kerana itu semua sebahagian daripada diri saya.”

Sophia Liana: Antara rentak dan suara

Bermula daripada minat mendalam terhadap muzik hip hop sejak kecil, Sophia Liana membesar dikelilingi oleh bunyi rentak dan lirik mendalam. “Saya ada abang-abang, jadi masa kecil memang selalu dengar lagu hip hop. Lagu pertama yang saya ingat ialah Cleanin’ Out My Closet oleh Eminem. Ibu saya siap cetak lirik lagu tu supaya saya boleh hafal,” ceritanya sambil ketawa kecil. Dari situ, cintanya terhadap hip hop mula tumbuh dan ketika di kolej, minat itu semakin mendalam apabila dia menemui rapper wanita seperti Missy Elliott, Lauryn Hill dan Nicki Minaj. “Saya tahu suara saya bukan jenis balada, jadi saya rasa rap adalah ruang terbaik untuk saya ekspresikan diri,” katanya.

Ketika mula menceburi industri, dunia rap masih dikuasai lelaki. Namun, Sophia tidak gentar. Baginya, wanita juga mampu berdiri sama tinggi dalam genre yang dianggap “ganas” itu. “Dulu orang anggap rap kasar dan tak manis untuk perempuan. Tapi sekarang pendengar lebih terbuka, sebab rap pun boleh jadi satu bentuk puisi berirama,” jelasnya. Bersama kumpulan De Fam, Sophia memperkenalkan gaya rap yang segar dan feminin, membuktikan wanita juga mampu memberi “bars” yang kuat dan berisi mesej.

Untuk menguasai sebutan dan alunan rap dengan betul, Sophia banyak berlatih dengan lagu-lagu underground dan seperti karya Jay-Z dan Kanye West yang lama. “Saya akan pasang lagu susah dan hafal sampai lancar. Dari situ saya belajar flow dan sebutan yang betul,” katanya. Namun, perjalanan dari penari kepada penyanyi rap bukan sekadar latihan vokal ia juga ujian mental dan emosi. “Bila daripada kumpulan ke solo, memang lain. Kadang satu berjaya, satu lagi tak. Tapi yang penting, kena terus belajar benda baru dan kekal relevan.”

See also
Upacara Pembukaan Semula COACH KLCC Diraikan Bersama Rakan Selebriti

Sophia percaya untuk bertahan lama, artis perlu tahu menyesuaikan diri dan memperkukuh jenama peribadi. “Branding sangat penting. Kalau tak tahu siapa pasaran kita, kita akan rasa tersekat,” katanya jujur. Baginya, menjadi diri sendiri adalah kunci. “Kita boleh ambil inspirasi daripada artis lain, tapi jangan tiru. Kena cari identiti sendiri.” Dalam dunia muzik yang laju berubah, dia menekankan pentingnya menulis lagu yang menyentuh hati pendengar, bukan sekadar untuk kepuasan diri.

Bagi Sophia, mencipta sesuatu yang baru tidak pernah mudah. Lagu terbaharunya, Sus, menampilkan elemen dangdut yang jarang diteroka dalam hip hop tempatan. “Saya cuba gabungkan bunyi dangdut dengan urban sound supaya orang luar genre pun boleh dengar. Kadang telinga orang belum biasa, tapi kalau pandai branding dan pasarkan dengan betul, ia boleh berjaya,” katanya. Eksperimen bunyi ini adalah sebahagian daripada matlamatnya untuk memperkenalkan hip hop kepada pendengar yang lebih luas.

Antara pencapaian paling bermakna baginya termasuk Dansa Dan Sing dan lagu raya bersama De Fam yang bertajuk Alamak Raya Lagi. “Bahagian rap itu saya tulis sendiri. Perlahan-lahan, saya rasa penulisan saya makin matang,” ujarnya. Kini, dia turut mengintai peluang kolaborasi di Indonesia dan baru menyiapkan runut bunyi untuk sebuah filem tempatan. Namun, di sebalik kejayaan itu, tekanan tetap ada. “Kadang-kadang kita terperangkap dengan tekanan nak viral cepat. Tapi saya belajar untuk tak paksa kreativiti. Kalau ilham datang, baru saya menulis.”

Aliana Azizi: Cinta dan emosi menjadi lagu

Sejak kecil, dunia muzik sudah sebati dalam diri Aliana Azizi. “Saya dah lama menyanyi, dari kecil lagi ibu saya hantar ke kelas vokal,” katanya tersenyum. Namun, hanya beberapa tahun kebelakangan ini Aliana mula menulis dan menghasilkan muziknya sendiri. Bukan penyanyi rap sepenuhnya, dia lebih selesa dengan gaya melodic rap iaitu gabungan nyanyian dan rentak rap yang lembut. “Saya suka gaya yang ada melodi dan rap, tapi bukan hardcore rap. Bila saya buat lagu, saya lebih banyak menyanyi sambil mainkan alunan rap ringan,” jelasnya.

Penglibatan awalnya bermula apabila dia bekerjasama dengan rapper wanita, Bubu Natassia, untuk sebuah album bersama. “Saya ada empat lagu dalam album tu. Dia rap lebih banyak, saya pula lebih kepada nyanyian. Dari situ saya mula kenal ramai rapper lain,” katanya. Tidak lama kemudian, Aliana dijemput menyertai projek remix bersama beberapa artis lain. “Saya cakap saya bukan rapper, tapi mereka suruh saya buat cara sendiri. Tak sangka orang suka bahagian saya mereka kata saya ada bars sendiri,” ujarnya. Dari situlah namanya mula dikenali dan membuka laluan ke dunia muzik moden yang lebih luas.

See also
Miliki Rambut Sihat Bersinar Dengan Pewarna Rambut L'Oréal Professionnel iNOA Bebas Amonia

Walaupun masih baru dalam industri, Aliana tidak mahu sekadar mengejar populariti. “Saya nak buat muzik yang jujur dengan diri saya. Saya tak kejar lagu yang viral,” katanya. Bagi Aliana, muzik yang baik lahir daripada keikhlasan dan emosi sebenar. “Bila orang kata mereka faham lagu saya, itu dah cukup buat saya rasa dihargai,” tambahnya.

Tahun ini menjadi titik penting apabila dia dijemput membuat persembahan solo di acara JDT di Johor. “Itu kali pertama saya tampil solo. Masa tu saya belum ada lagu sendiri, cuma lagu kolaborasi. Tapi bila mereka tanya, saya terus cakap ya,” ujarnya. Pengalaman itu juga mengajarnya tentang cabaran dimana ia bukan hanya glamor semata-mata. “Bila naik atas pentas semua nampak sempurna tetapi di belakang pentas memang kelam-kabut dan persiapan yang mengambil masa berbulan-bulan bagaimanapun semua itu akhirnya berbaloi.”

Salah satu lagu paling dekat di hatinya ialah Miss Me When I’m Gone, diinspirasikan oleh kisah cinta pertama. “Saya percaya cinta yang tulus masih wujud. Dalam dunia sekarang ramai wanita nak berdikari, tapi saya percaya cinta yang ikhlas masih ada,” katanya. Setiap lagu yang dihasilkan membawa mesej berbeza — cinta, kehilangan, dan kekuatan diri. “Saya jenis yang emosional, jadi saya lebih suka lagu yang ada makna mendalam daripada sekadar lagu untuk trend,” jelasnya.

Inspirasi muziknya datang daripada dua artis ini iaitu Alyph dan Chris Brown. “Saya suka Alyph sebab dia jujur dan boleh relate dengan muzik dia. Bila jumpa dia di Johor, saya terus fangirl,” luahnya. “Untuk antarabangsa, saya minat Chris Brown sebab muzik R&B dia dan dia boleh menari. Saya memang mengikuti perjalanan dia sejak album pertama.”

Mempunyai personaliti yang lembut, wanita berusia 28 tahun ini banyak dipengaruhi oleh ibunya. “Mak saya bekas pramugari. Dia sangat jaga penampilan diri. Dari kecil saya tengok dia nampak yakin dan cantik, dan itu banyak membentuk siapa saya hari ini,” katanya. Gaya fesyennya juga terinspirasi daripada ibu bapanya. “Kalau tengok gambar lama mereka, gaya 90-an mereka memang saya suka nampak effortless tapi bergaya.”

Baca kisah penuh Mimifly, Sophia Liana & Aliana Azizi dengan mendapatkan majalah GLAM isu November 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.