Inarah Sofiya, Emilie Daceey & Rasyiqah Johan: Driven to Inspire
Tiga wanita cantik, Inarah Sofiya, Emilie Daceey dan Rasyiqah Johan membuktikan bahawa menjadi influencer bukan sekadar populariti tetapi tentang memberi impak positif kepada masyarakat.
Di era media sosial, menjadi seorang influencer bukan sekadar mengejar glamor. Ia memerlukan keberanian, kreativiti, dan keaslian dan bagi beberapa wanita muda seperti Inarah Sofiya, Emilie Daceey dan Rasyiqah Johan, platform digital bukan hanya menjadi pentas untuk menonjolkan diri, tetapi juga ruang untuk berkongsi pengalaman, membina komuniti, dan memberi inspirasi kepada orang lain. Setiap satu daripada mereka membawa cerita unik yang menghubungkan personaliti, kerjaya, dan aspirasi mereka dengan cara yang realistik dan bermakna.
Inarah Sofiya

Inarah Sofiya memulakan perjalanan digitalnya dengan hobi kecil yang perlahan-lahan berkembang menjadi kerjaya. “Apa yang bermula sebagai hobi perlahan-lahan bertukar menjadi kerjaya. Hidup saya memang banyak berubah; lebih ramai mata memerhati, tetapi saya juga menjadi lebih berhati-hati dengan apa yang saya kongsikan, supaya ia dapat memberi inspirasi dan nilai kepada orang lain,” jelasnya. Bagi Inarah, media sosial bukan sekadar hiburan, tetapi platform untuk membina hubungan yang lebih bermakna. “Saya mahu orang rasa dilihat, bukan sekadar terhibur.”
Di sebalik wajahnya yang selalu muncul di depan kamera, Inarah tidak hanya terlibat sebagai influencer. Dia aktif dalam pengurusan kreatif, termasuk creative direction dan perancangan projek. “Saya suka membuat moodboard, menghasilkan idea kempen, dan bekerjasama dalam konsep yang dapat menghidupkan visi sesebuah jenama,” katanya. Selain itu, dia telah menyukai water coloring dan doodling selama dua tahun sebagai hobi yang kini menjadi sebahagian daripada proses kreatifnya, dan sedang merancang untuk membina perniagaan sendiri dalam bidang ini.
Di sebalik penampilan yang kemas, Inarah juga menonjolkan sisi santai dan bersahaja. “Orang selalu nampak sisi yang kemas, tetapi saya juga ada sisi kelakar. Saya suka bercerita, terutamanya dengan kawan-kawan dan keluarga,” ujarnya. Realisme dan kejujuran menjadi asas personalitinya. “Tidak semua benda perlu kelihatan sempurna. Influencer boleh menjadi contoh dengan jujur tentang ketidaksempurnaan dan meraikan realiti supaya orang lain tidak tertekan untuk menjadi ‘sempurna’.” Keberanian Inarah turut terserlah dalam keputusan besar yang pernah dia ambil iaitu meninggalkan kerja 9–5 untuk mengejar dunia penciptaan kandungan dan membina perniagaan sendiri. “Ia memang menakutkan kerana tiada laluan tetap, tetapi saya belajar untuk percaya pada diri sendiri dan berani mengambil risiko. Saya banyak belajar tentang diri saya melalui proses ini,” jelasnya.

Bagi Inarah, kecantikan sebenar adalah keyakinan. “Bagi saya, kecantikan adalah keyakinan. Saya sendiri suka kulit tanned, dan saya rasa wanita Asia Tenggara sepatutnya meraikan warna kulit kita yang cantik,” katanya. Berkongsi petua kecantikan daripada ibunya, “Kecantikan bermula dengan tidur yang cukup dan hidrasi. Tiada produk yang boleh menggantikan rehat dan air. Saya juga tidak pernah lap muka dengan tuala, cuma guna facial tissue kerana lebih bersih.”
Dalam fesyen, Inarah memilih gaya yang versatil, selari dengan personalitinya. Dia suka menggabungkan streetwear santai dengan elemen feminin, manakala inspirasi fesyen datang daripada ikon seperti Hailey Bieber, Isa Sung, Ruby Lyn dan Koleen Diaz, serta rakan-rakan rapat seperti Khadija dan Sherry. Baginya, sepasang kasut yang baik mampu mengubah keseluruhan penampilan, sama ada heels untuk elegan atau sneakers untuk gaya santai.
Pencapaian yang paling membanggakan bagi Inarah adalah komuniti yang dibinanya bersama rakan-rakan melalui @pwincesssdiaries. “Apabila saya lihat kembali, saya sebenarnya bangga dengan komuniti yang saya bina bersama Sherry Amin dan Khadija Meor. Ia sangat istimewa apabila kita ada ruang untuk orang yang berfikiran sama bersatu. Saya juga bangga dengan peluang yang tidak pernah saya jangka, termasuk kolaborasi smoothie dengan Murray’s Smoothies dan bekerjasama dengan jenama tempatan dan antarabangsa yang hebat. Tapi yang paling menyentuh hati adalah apabila pengikut mempercayai saya dengan soalan atau cadangan mereka, ia mengingatkan saya mengapa saya bermula.”
Emilie Daceey

Perjalanan Emilie Daceey sebagai seorang influencer bermula bukan kerana glamor, tetapi daripada pengalaman peribadi yang penuh cabaran. “Saya bermula dengan fitness kerana ketika itu saya sangat underweight dan bergelut dengan hubungan saya dengan makanan. Dengan berkongsi pengalaman, saya mahu memberi harapan kepada mereka yang melalui cabaran sama, bahawa mereka juga boleh mengatasinya,” katanya. Apa yang bermula sekadar catatan rutin harian, akhirnya berkembang menjadi sebuah kerjaya yang penuh keyakinan. Dunia influencer membukakan pintu yang Emilie sendiri tidak pernah bayangkan. “Ia membuatkan saya lebih yakin dan mengajar saya untuk percaya pada suara saya sendiri. Saya dapat peluang bekerjasama dengan jenama yang saya kagumi, bertemu orang hebat, dan mengembara ke tempat baharu. Tapi ia juga datang dengan tanggungjawab dimana orang betul-betul mendengar apa yang saya kongsikan,” jelasnya.
Di sebalik dunia glamor sosial media, Emilie memikul misi yang lebih besar. Dengan latar belakang dalam kewartawanan dan hak asasi manusia, dia kini bekerja sebagai Case Assistant di sebuah NGO yang memperjuangkan usaha membanteras pemerdagangan manusia. “Setiap fail yang saya buka mewakili kisah seseorang: tentang perjuangan, kelangsungan hidup, dan harapan. Duduk bersama mangsa, mendengar cerita mereka, dan melihat langkah pertama mereka ke arah pemulihan adalah pengalaman yang benar-benar mengubah hidup saya,” katanya. Kerja itu tidak mudah, dan ada hari yang terasa terlalu berat. “Walaupun hanya panggilan susulan, mengatur tempat perlindungan, atau sekadar hadir mendengar, semua itu boleh memberi perbezaan dalam hidup seseorang,” ujarnya. Emilie percaya media sosial perlu lebih daripada sekadar hiburan. “Saya percaya platform ini bukan hanya tentang estetika, tapi juga harus membawa tujuan. Sebab itu selain berkongsi gaya hidup dan fesyen, saya juga bercakap tentang Gaza, pemerdagangan manusia, dan hak asasi kerana isu-isu ini perlu diberi perhatian,” jelasnya.

Bercakap tentang kecantikan, menurut Emilie, kecantikan bukan sekadar kulit cerah atau tubuh sempurna. “Kecantikan sebenar adalah tentang menjadi kuat, sihat, dan yakin dengan diri sendiri. Ia tentang menjaga tubuh melalui fitness, melihat makanan sebagai bahan bakar, dan mencintai diri melebihi standard tidak realistik,” katanya. Dalam dunia fesyen pula, Emilie gemar memadankan gaya classy dengan sentuhan fun. “Saya suka main dengan warna neutral kerana ia timeless, tapi kadang-kadang saya selitkan leopard print untuk karakter. Saya juga gemarkan dress flowy yang feminin,” katanya. Nasihat ibunya juga menjadi pegangan dalam gaya dan penampilan Emilie dimana, “Lebih baik overdressed daripada underdressed.” Inspirasi fesyennya datang daripada Alexandra Saint Mleux dan Jasmine Tookes, dan bagi Emilie, aksesori lengkap seperti set barang kemas adalah kunci untuk melengkapkan penampilan.
Disoal tentang momen paling membanggakan, bagi Emilie adalah dapat muncul dalam kolum Profil GLAM serta dapat menyokong mangsa melalui kerja NGO. “Diiktiraf dalam dunia fesyen sambil memberi impak dalam hak asasi, keseimbangan itu benar-benar membuat saya bangga dengan jalan yang saya pilih,” katanya. Jika diberi peluang kembali ke usia 15 tahun, nasihat Emilie ringkas tapi penuh makna, “Kekal tabah dan jangan berhenti berusaha. Abaikan suara luar yang cuba melemahkan, dan fokus pada apa yang betul untuk diri sendiri. Perjalanan ini milik kamu, jadi percayalah pada diri dan terus mara ke depan.”
Rasyiqah Johan

Rasyiqah Johan memulakan perjalanan media sosialnya selepas menyertai Dewi Remaja 2022, tetapi semakin meningkat naik apabila dia mula menghasilkan kandungan bersama adik-beradiknya. “Kami membesar bersama, terutama di TikTok, dan yang paling istimewa, kami dapat lakukan semuanya mengikut masa dan cara sendiri sambil bekerja bersama-sama,” jelasnya. Di sebalik kerjayanya sebagai influencer, Rasyiqah bukan sekadar wajah cantik di skrin telefon. Dia juga seorang bakat komersial dan model fesyen serta kecantikan, sambil menuntut Ijazah Psikologi dan menghulurkan masa sebagai pelatih di The Blind Association KL, membantu komuniti orang buta.
Rasyiqah sedar bahawa mempunyai pengikut datang bersama tanggungjawab. “Saya sentiasa cuba menggunakan platform ini sebaik mungkin untuk menyebarkan isu-isu semasa, terutamanya tentang apa yang berlaku di Palestin. Mempunyai pengikut datang bersama tanggungjawab dan bukan hanya untuk berkongsi kandungan fesyen dan kecantikan, tetapi juga untuk menimbulkan kesedaran tentang perkara yang penting,” katanya yang menggambarkan dirinya sebagai lembut tutur kata, lucu, dan peramah.
Bagi Rasyiqah, kecantikan sebenar adalah menerima diri seadanya. “Kecantikan adalah menerima diri, termasuk kekurangan kita kerana itulah yang menjadikan kita sempurna. Ia juga terpancar melalui cara kita membawa diri dan melayan orang lain. Bagaimana kita membuat orang rasa dihargai itu sangat penting.” Dia percaya influencer boleh mengubah naratif kecantikan dengan menampilkan sisi yang lebih realistik. “Dengan menunjukkan kulit sebenar, jujur tentang rutin atau rawatan yang kita lakukan, dan tidak berpura-pura, kita boleh bantu orang lebih mudah menerima diri sendiri. Kecantikan datang dalam pelbagai bentuk, dan keyakinan dalam kulit sendiri akan membuat orang lain lebih mudah relate.” Inspirasi kecantikan Rasyiqah datang daripada ibunya. “Ibu selalu beri kami minum jus kunyit setiap pagi ketika perut kosong. Ia sangat baik untuk kulit berseri dan tubuh sihat. Dan pada akhirnya, ibu juga selalu pesan untuk tidak bergosip dan fokus pada diri sendiri. Percayalah, ia buat kita berseri dengan cara yang berbeza.”

Dalam fesyen, Rasyiqah memilih gaya feminin, elegan, dan timeless, dengan inspirasi daripada ikon seperti Pia Wurtzbach, Jasmine Tookes, Sandra Shehab, dan Canel Kahraman (@canelhevan). Dia menekankan kepentingan rambut sebagai aksesori utama. “Rambut adalah mahkota kita dan boleh mengubah keseluruhan penampilan. Rambut yang dijaga rapi buat seseorang nampak lebih yakin walaupun pakaian simple. Untuk lengkapkan penampilan, sunglasses, subang, dan beg tangan juga sentiasa jadi penyelamat untuk nampak lebih polished dan kemas.” Gaya peribadinya selari dengan mesej jenama yang diketengahkan, diolah melalui konsep sisterhood bersama adik-beradiknya, sambil dia turut menyelitkan elemen bahasa Mandarin untuk menarik lebih ramai penonton.
Keputusan paling besar dalam hidup Rasyiqah ialah berpindah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur bersama ibu dan adik-beradik. Dari langkah berani itu, pencapaian paling membanggakan bagi Rasyiqah bukan sekadar terpampang di papan iklan, tetapi kerana dapat berdiri di atas kaki sendiri sambil terus fokus untuk menjadi versi terbaik diri sendiri. “Saya bangga kerana dapat menjaga ibu dan menjalani hidup mengikut masa sendiri serta cara sendiri,” jelasnya. Jika diberi peluang untuk menasihati diri sendiri ketika berumur 15 tahun, Rasyiqah berkata, “Jangan overthinking kerana ia hanya membuang potensi. Jauhkan diri daripada kawan yang toksik, dan jangan terburu-buru — semuanya akan datang pada masanya. Percayalah kepada Tuhan, Dia tahu yang terbaik.”
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

