The A.I.S.H.A Experience, Sebuah Melodi Perjalanan Aisha Retno
Bintang yang semakin menyinar, Aisha Retno, terus melakar langkah gemilang dalam perjalanan muziknya yang semakin matang dan berani.
Dikenali dengan vokal yang penuh jiwa dan gaya penulisan lagu yang menyentuh hati, Aisha kini bersedia untuk membuka lembaran baru yang lebih segar dan penuh kejutan. Selepas melalui fasa perkembangan seni yang signifikan, termasuk kejayaan di Java Jazz Festival serta kemenangan lagu ciptaan sendiri “Sutera” (bersama MFMF) yang meraih tempat kedua dan persembahan terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-38, Aisha kini teruja untuk memperkenalkan karya-karya terbaru serta perancangan eksklusif untuk lebih mendekati para peminat melalui persembahan pentas secara langsung.
Konsert sulung Aisha Retno

Dalam sidang media yang berlangsung penuh meriah di Hyatt Centric, Kuala Lumpur, Aisha mengumumkan konsert istimewa bertajuk “The A.I.S.H.A Experience” yang bakal berlangsung pada hari Sabtu, 20 September 2025, jam 8 malam di Jio Space, Petaling Jaya. Konsert ini dijangka menjadi malam yang penuh emosi dan energi, menampilkan lagu-lagu baharu serta hits kegemaran peminat dalam suasana persembahan yang intim dan dinamik.
Aisha Retno mula mencuri perhatian sejak dinobatkan sebagai Juara Rookie dalam Vokal Mania (TV3) dan seterusnya meraih tempat ketiga dalam Big Stage Musim 4 (Astro) pada tahun 2022. Nama Aisha terus melonjak dengan lagu Inggeris pertamanya, “W.H.U.T.” (Wanna Hold U Tight) yang menjadi kegemaran ramai. Tahun ini, Aisha memperkenalkan sisi baharu dalam muziknya – gabungan unik pop, R&B, elemen goth-rock dan soul, dengan naratif penceritaan yang lebih mendalam dan jujur dalam album terbarunya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Lagu “Terbang”, yang dikeluarkan awal tahun ini, menjadi petunjuk kepada arah muzik baharu Aisha yang lebih matang dan bereksperimen. “Tak Adil”, satu lagi karya penuh emosi, terus memperkukuh posisinya sebagai penyanyi serba boleh, mencerminkan tenaga baharu dan semangat yang membara dalam seni muziknya. Kerjasama rentas sempadan dengan komposer terkemuka dari Indonesia juga sedang dirancang, mengukuhkan lagi kehadiran Aisha dalam peta muzik serantau.
“Tahun lepas benar-benar mengajar saya banyak perkara dari segi kreativiti, ketahanan diri dan evolusi sebagai anak seni,” kongsi Aisha dalam sidang media. “Saya dah curahkan seluruh jiwa saya dalam karya-karya baharu ini, dan saya rasa ia mencerminkan siapa saya sekarang – lebih berani, lebih bereksperimen, dan lebih dekat dengan muzik saya sendiri. Walaupun perjalanan persembahan pentas ada cabarannya, saya sangat teruja nak berkongsi lagu-lagu ini dan berhubung dengan peminat dengan cara yang lebih dekat dan bermakna. Saya tak sabar mereka dengar apa yang saya dah siapkan.”
Aisha turut mempersembahkan beberapa petikan lagu seperti Tak Adil, Jeda, Orbit, Missing Piece (Lengkapilah Kita) dan Titik Temu, mempamerkan kemahiran muziknya yang luar biasa dan emosi yang tulus. Dalam sesi soal jawab bersama media, Aisha kekal tenang dan yakin, menjawab dengan penuh kematangan, membuktikan betapa dia kini berada di fasa seni yang lebih kuat dan bersedia menakluk pentas lebih besar.

Artikel Berkaitan: 5 Gaya Fesyen Aisha Retno Pilihan GLAM
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

