The SpeSHALS Galaxy of Shalma Ainaa
Shalma Ainaa hari ini adalah bukti kepada semangat juang seorang wanita yang bermula sebagai individu yang meminati fesyen, kemudian berkembang menjadi seorang usahawan berpengaruh dengan membina kejayaan jenama SHALS.
pengarah kreatif AIZAT AIDID konsultan kreatif CHEAH WEI CHUN pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar AARON LEE/LENSWORKS PRODUCTION solekan KHIR KHALID dandanan JUNO KO penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN teks MAYA KUSUMA busana & aksesori BURBERRY
Setibanya pasukan GLAM di studio penggambaran pada jam 8.30 pagi, selang beberapa minit kemudian, Shalma Ainaa dan pembantu peribadinya jalan masuk ke dalam studio memegang kamera DJI miliknya sambil membuat VLog dan menyapa kami semua. Gelak ketawanya menjadikan suasana pagi lebih ceria dengan kehadirannya. Isu fesyen bulan ini, kami dengan bangganya membawakan Shalma Ainaa sebagai bintang utama kerana bukan sahaja gaya uniknya dalam dunia fesyen, tetapi juga kerana kejayaannya dalam mengasaskan jenama fesyen peribadi sendiri, SHALS. Shalma bukan sekadar seorang usahawan, tetapi juga seorang personaliti televisyen yang mengacarakan pelbagai program dan acara. Sebagai pengasas SHALS, dia telah membawa jenama ini ke tahap yang lebih tinggi, menonjolkan bukan sahaja gaya, tetapi juga nilai keyakinan dan keselesaan yang diutamakan dalam setiap koleksinya.
The SpeSHALS Shalma Ainaa
Berkongsi kisah perjalanan SHALS yang ditubuhkan sejak 14 tahun lalu, Shalma menyatakan, “Kami mahu pelanggan kami berasa istimewa setiap kali memakai baju SHALS. Slogan kami adalah ‘You Are SpeSHALS.’ Setiap perkara yang dilakukan, kami mahu pelanggan merasakan bahawa mereka dihargai.” SHALS bermula sebagai perniagaan keluarga kerana ibunya yang pandai menjahit, dan nilai perniagaan yang diajar sejak kecil. “Ibu saya memang suka menjahit, dia yang buat baju raya kami setiap tahun. Ibu juga sangat business-minded, dari kecil lagi dia dah ajar kami untuk berniaga jual gula-gula dan macam-macam lagi,” kenangnya yang sudah mula berniaga sejak di bangku sekolah. Selain itu, Shalma memberitahu sudah berminat dalam dunia fesyen sejak kecil, namun dia mengikut nasihat ayahnya untuk memberi tumpuan pada aspek perniagaan, yang membawanya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Fashion Marketing Management di Raffles Design Institute dan kemudiannya melanjutkan ke peringat ijazah di Middlesex University, London.
Melihat perjalanan jenama SHALS, cabaran yang dihadapi Shalma kini jauh lebih besar berbanding dahulu. “Sekarang banyak jenama baru muncul dan persaingan semakin sengit. Sewaktu mula menapak tak ada peluang untuk menjual secara dalam talian, jadi kami tak tahu potensi yang ada. Namun sekarang, cabaran sebenar adalah untuk memastikan jenama kita tetap dikenali, dan menonjol di tengah-tengah persaingan yang sangat ramai,” katanya. Bagi Shalma, cabaran yang paling utama adalah untuk terus berinovasi dan berkembang, sambil menjaga identiti jenama yang telah dibangunkan.
Meskipun berhadapan dengan cabaran yang sentiasa berubah dalam dunia fesyen, Shalma terus memegang teguh prinsip jenamanya. “Kami mahu orang berasa yakin dengan apa yang mereka pakai. Bila sesuatu item itu selesa, secara automatik kita akan berasa lebih yakin.” SHALS memberi perhatian lebih pada bagaimana pakaian itu memberi perasaan istimewa kepada setiap individu yang memakainya. Itulah yang membezakan SHALS dengan jenama lain, yang memberikan lebih dari sekadar fesyen, tetapi juga rasa percaya diri.”
Sebagai usahawan, Shalma tidak hanya fokus pada rekaan, tetapi juga memahami perubahan perilaku pelanggan dan trend pasaran. Menurutnya, pasaran berubah setiap tahun, terutamanya selepas Covid-19 dimana lebih ramai yang mempunyai kesedaran dalam berbelanja bagi mengelakkan pembaziran. Dari segi pembelian pelanggan SHALS juga terdapat perubahan bergantung pada fasa kehidupan mereka, “Kalau mereka dah berkahwin dan sudah ada anak, cara mereka membeli pun dah tidak macam dulu.” Dalam pada itu, misi mereka adalah untuk menarik generasi baru untuk membeli agar jenama ini kekal relevan. Namun, Shalma percaya kunci kejayaan adalah tetap setia pada identiti SHALS dan terus berinovasi dengan kreativiti serta strategi pemasaran yang tepat.
Menurut Shalma, momen bersejarah sepanjang perjalanan perniagaannya adalah ketika SHALS pertama kali mempersembahkan koleksinya di pertunjukan Kuala Lumpur Fashion Week pada tahun 2024. “Sebelum ini, SHALS tak pernah ada koleksi besar sangat kerana kami banyak fokus kepada himpunan Hari Raya dan aksesori. Kami tak pernah betul-betul mendefinisikan diri kami sebagai jenama pereka. Jadi, saya rasa KLFW itu adalah dorongan yang kami perlukan,” katanya dengan penuh rasa syukur. Koleksi SHALS di KLFW itu akhirnya menjadi cerminan sebenar jenama mereka. Pertunjukan tersebut juga memberikan Shalma satu kepuasan selepas melalui pelbagai halangan dan rintangan sebelumnya. “Koleksi sampai seminggu sebelum acara, undangan semua dah keluar, banyak tekanan. Tetapi apabila saya melihat koleksi itu, saya rasa inilah SHALS. Jadi, apa pun yang datang selepas itu, saya anggap sebagai rezeki dan bonus,” jelasnya. Saya juga tertarik dengan kata-kata Shalma untuk sentiasa ingat siapa diri kita, “Tak perlu cipta sesuatu yang luar biasa tapi penghujungnya itu bukan diri kamu. Bagi saya, untuk menjadi kreatif adalah sangat penting untuk stay true to yourself. Orang suka, orang tak suka itu belakang cerita yang penting kamu gembira dan kamu suka apa yang kamu lakukan.”
Bekerjasama dengan pereka fesyen yang hebat pastinya menjadi impian semua pereka. Shalma berkongsi beberapa pereka fesyen antarabangsa yang dikagumi antaranya ialah Raf Simons, Pengarah Kreatif Bersama Prada, kerana pendekatannya yang minimalis dalam rekaan menswear. “Saya suka Raf Simmons sebab dia buat himpunan lelaki, very minimal,” katanya. Jacquemus pula memberi inspirasi kepadanya, terutamanya dalam cara beliau memasarkan jenama dengan inovatif. Shalma turut mengagumi Matthieu Blazy, bekas Pengarah Kreatif Bottega Veneta yang kini di Chanel, kerana berjaya menggabungkan elemen klasik dan moden dalam rekaannya. “Dia pandai bawa yang lama dan kolaborasi dengan yang baru namun pada masa yang sama dia tak tukar sangat,” ujarnya. Bagi Shalma, Phoebe Philo, bekas Pengarah Kreatif Celine, juga merupakan sumber inspirasi kerana rekaannya yang minimalis dan chic. “Dia lah OG,” ujarnya yang merujuk kepada pengaruh besar Phoebe dalam dunia fesyen wanita.
Ketika penggambaran bermula, wanita cantik berdarah kacukan Melayu dan India ini terserlah gaya dan caranya yang bersahaja dan tidak kekok berada di hadapan kamera kerana kerjayanya sebagai seorang pengacara. Bercerita lanjut tentang kariernya sebagai pengacara, Shalma mendedahkan sesuatu yang tidak banyak diketahui ramai. “Sebenarnya saya tak pernah tahu pun saya ada minat dalam mengacara. Tapi saya sangat berterima kasih kepada Paknil atau Datuk Aznil Haji Nawawi, yang membuka peluang kepada saya untuk terlibat dalam dunia penyiaran. Dia yang mencungkil bakat saya ketika berada di London. Saya datang ke acara career fair itu dengan niat hanya untuk menghantar resume kawan saya dan pergi tengok Paknil beri ceramah sebab pelajar Malaysia masa zaman Akademi Fantasia teruja dapat jumpa Paknil. Semasa meet and greet, tiba-tiba dia tunjuk saya dan berkata ‘You, pergi audition.’ Saya pergi ke ujibakat tersebut dan beritahu apa yang saya tengah buat pada masa itu,” kongsinya, mengimbau kenangan manis yang menjadi titik permulaan dalam kerjayanya sebagai pengacara.
Rezeki tidak pernah salah alamat, Shalma menjelaskan bahawa mengacara bukan sesuatu yang dirancang awal, tetapi ia membuka jalan untuknya. “Selepas pulang ke Malaysia, saya sudah bersedia untuk bekerja dalam bidang yang saya pelajari. Pada masa itu, saya tidak ada perancangan untuk mengembangkan jenama SHALS, tetapi saya ada impian yang ditanam dalam hati. Balik dari London saya mahu tambah ilmu baru, lepas itu dapat undangan On Air di Astro yang pertama selama enam bulan. Saya fikir kenapa tidak? Sebab saya pun tak terkejar-kejar nak kerja dan tambah lagi dapat belajar perkara baru,” ujarnya yang kemudian memulakan karier sebagai pengacara untuk program HLive.
Shalma turut mengakui bahawa pengalaman mengacara banyak membentuk keyakinannya. “Sebenarnya, saya seorang yang agak pemalu. Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi pengacara, tetapi pengalaman itu mengubah diri dan membawa saya keluar dari zon selesa. Dari situ saya belajar tentang pengacaraan, penyampaian vokal, dan banyak lagi yang dspat meningkatkan keyakinan diri,” kata Shalma.
Berkongsi tentang perancangan masa depan, Shalma mahu terus mengembangkan kerjaya dan kehidupan peribadinya. “Lima tahun akan datang, saya ingin memastikan perniagaan lebih stabil dan berjaya memberi saya kebebasan masa. Saya mahu lebih fokus kepada keluarga dan impian memiliki rumah sendiri. Selain itu, saya juga ingin terus aktif mengacara dan mengembangkan SHALS, tetapi tidak mahu terlalu tertekan. Saya rasa keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi sangat penting. Saya mahu menikmati hidup, masak untuk keluarga, dan melancong ke mana-mana yang saya impikan,” katanya, menggambarkan impian dan cita-citanya. Dalam pada itu, Shalma juga menambah, “Saya sangat berterima kasih kerana dapat mengejar apa yang saya cintai. Walaupun penat, saya tahu bukan semua orang berpeluang melakukan sesuatu yang mereka benar-benar minati. Saya rasa sangat bersyukur atas segala yang saya capai setakat ini,” luahnya dengan penuh makna.
Apabila ditanya tentang momen dalam hidup yang ingin diputar kembali, Shalma ingin memanjangkan pengalamannya semasa belajar di London. “Saya rasa masa saya belajar di London sebab zaman itu zaman yang carefree,” katanya sambil mengimbau dirinya yang memotong gaya rambut seperti Justin Bieber. “Saya belajar degree setahun saja tapi kalau boleh saya nak panjangkan lagi, expose kan diri lagi ataupun sambung belajar lagi. Sebenarnya sampai sekarang pun saya masih ada niat nak sambung belajar seperti kos-kos pendek,” kongsinya yang mempunyai impian untuk belajar di Central Saints Martin dalam bidang fesyen atau bisnes.
Dari gelak ketawanya, kita dapat lihat Shalma sebagai seorang yang sentiasa positif. Menurutnya, sifat positif itu datang dari pengalaman hidupnya yang membentuk dirinya menjadi siapa dia hari ini. “Setiap cabaran yang saya lalui, dari zaman sekolah hingga universiti, mengajar saya untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza. Saya anggap segala yang berlaku ada hikmahnya, dan itu membuat saya lebih kuat,” ujarnya. Tambahnya lagi, setiap perjuangan yang dilalui bukanlah sesuatu yang sia-sia, malah ia membantu membina semangatnya. “Dulu bila saya jatuh, memang sukar untuk bangkit, tapi sekarang saya tahu, setiap kali jatuh, saya akan bangun lagi dengan lebih kuat,” jelasnya.
Beralih kepada kisah perkahwinannya dengan suami tercinta, Wan Imar Izzat yang sudah hampir sedekad, saya tertanya-tanya bagaimana mereka mengekalkan keharmonian rumah tangga yang pasti ada pasang surutnya. Ditanya mengenai kunci kejayaan dalam perkahwinannya mereka, Shalma berkongsi dengan rendah hati, “Saya rasa yang paling penting dalam hubungan kami adalah selalu inginkan yang terbaik buat satu sama lain dan membantu antara sesama sendiri untuk menjadi versi terbaik diri kami.” Selain itu, perkara-perkara kecil yang dilakukan oleh pasangan juga memberikan impak besar dalam mengekalkan sesebuah hubungan selain menginginkan perkara yang sama dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri…
Baca kisah penuh Shalma Ainaa dengan mendapatkan majalah GLAM isu Mac 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.