Iman Opie Living Life In Motion
Sebelum Disember 2024 melabuhkan tirai, GLAM Next isu bulan ini menampilkan seorang gadis pencipta kandungan, Iman Opie yang ceria dan sering mencuri tumpuan orang ramai tentang perkara yang dilakukannya.
Seterusnya menerusi temu bual ini, Iman berkongsi pelbagai cerita menarik tentang kehidupan peribadi serta pengalaman bercuti di luar negara dengan orang tersayang yang tidak dapat dilupakan. Selain itu, ketahui tips penjagaan kulit, pilihan barang solekan kegemarannya sehingga perancangannya untuk masa akan datang!
1- Kalau Iman hanya boleh hasilkan satu topik kandungan untuk sepanjang hidup, apakah ia?
Untuk saya, gaya hidup. Kadang-kadang saya nak buat tentang solekan, kadang-kadang tentang penjagaan kulit, dan ada masanya saya rasa nak buat kesemuanya sekali.
2- Iman juga sering melancong ke luar negara, kongsikan memori yang paling best sekali?
Baru-baru ini, saya pergi ke Greece. Saya melawat sebuah pekan kecil, Corfu selama empat hari bersama kawan baik dan adik saya, hanya kami bertiga. Kami jumpa sebuah kafe pantai di tepi tebing, dan terdapat papan terjun di situ untuk terjun ke dalam laut. Airnya biru dan jernih, memang cantik. Saya memang sukakan laut dan aktiviti berenang, jadi pengalaman itu sangat menyeronokkan. Kami habiskan sepanjang hari di situ, terjun dan berenang.
3- Ada tak satu tempat yang Iman pernah pergi yang mengubah sudut pandangan tentang kehidupan?
Saya rasa semasa saya belajar di universiti di sebuah kampung kecil, Durham di United Kingdom. Ia mengubah perspektif saya dari segi pertama kali tinggal di tempat lain selain daripada rumah. Jadi, pertama kali berjauhan dengan keluarga merupakan pengalaman yang berbeza sebab di Malaysia, kita tinggal di bandar-bandar seperti KL dan Selangor tapi di sana semua seperti bangunan-bangunan lama dan komunitinya sangat kecil. Saya pergi ke universiti, ke pasar, dan kemana-mana sahaja dengan berjalan kaki. Komuniti mereka sangat kecil sehinggakan semua orang kenal antara satu sama lain. Sudut pandangan saya berubah dari segi terdapat komuniti kecil berbanding di KL dan mengenali semua orang di sana.
4- Bagaimana Iman menjaga kulit semasa melancong ke luar negara dan terdedah kepada cuaca yang berbeza-beza?
Saya selalu breakout apabila melancong ke luar negara. Ianya tidak dapat dielakkan tapi saya selalu bawa bersama calming gel atau krim daripada Dr. Jart sebab kulit saya akan meradang jadi produk itu membantu untuk mengurangkan kemerahan tersebut. Selain itu, saya mula menggunakan spray hypochlorous acid yang bertindak seperti sanitizer tapi untuk wajah. Dekat dalam kapal terbang banyak bakteria, jadi ia boleh digunakan pada bila-bila masa dan dimana saja.
5- 3 barang make-up yang Iman tak boleh hidup tanpanya?
Nombor satu semestinya lipbalm. Saya memang paling suka lipbalm, dekat beg saya sekarang mungkin ada enam atau tujuh lipbalm sebab saya tak tahu mana satu nak pilih, jadi saya bawa semua. Yang kedua adalah penjepit bulu mata. Saya tak boleh keluar rumah selagi saya tidak jepit bulu mata sebab itu yang buatkan saya lebih ‘hidup’. Dan yang terakhir, pemerah pipi. Saya juga ada banyak pilihan pemerah pipi di rumah.
6- Kongsikan minyak wangi kegemaran Iman untuk pemakaian harian?
Selama 2 tahun ini, saya pakai minyak wangi daripada Glossier. Ia bukan jenama minyak wangi tapi mereka ada mengeluarkan satu minyak wangi yang dipanggil Glossier You. Sejak itu saya tak pernah tukar minyak wangi lain. Saya tak suka minyak wangi yang mempunyai bauan seperti floral-ly sweet. Saya sukakan yang ini sebab baunya yang segar tapi bukan seperti pakaian basuhan tapi powdery. Saya selalu akan cari bahan-bahan dalam minyak wangi seperti iris, sandalwood atau pepper.
7- Selain mencipta kandungan, apakah bakat terpendam Iman yang lain?
Saya tak rasa saya ada bakat terpendam seperti menyanyi atau menari tapi saya gemar baking dan memasak. Semasa di universiti, kalau saya tak nak lengahkan masa untuk belajar, saya akan bake atau masak sesuatu. Saya suka buat soft cookies dan kawan-kawan saya sering meminta saya membuatnya. Tapi semenjak balik Malaysia, masih belum sempat lagi nak buat.
8- Iman baru sahaja menamatkan pengajian dalam jurusan Business and Management, apakah perancangan Iman seterusnya?
Buat masa sekarang, saya masih dalam fasa transisi. Sejak kecil, saya ada perancangan nak buat ini, nak belajar ini dan nak jadi ini tapi tidak content creating, jadi sekarang saya merasakan ia sudah menjadi satu peluang buat saya. Keputusan untuk memutuskan saya pilih apa untuk perancangan seterusnya, sama ada mencuba sesuatu yang baru dalam industri ini atau kembali ke perancangan asal saya iaitu bekerja dalam bidang korporat, saya masih lagi memikirkannya dan belum buat pilihan.
Artikel Berkaitan: GLAM Next: Iman Opie Charting Her Territories