Tom Pelphrey & Kaley Cuoco Berkongsi Momen Bahagia Sambut Anak Pertama - Glam Malaysia
Tom Pelphrey & Kaley Cuoco Berkongsi Momen Bahagia Sambut Anak Pertama

Tom Pelphrey & Kaley Cuoco Berkongsi Momen Bahagia Sambut Anak Pertama

Pada usia 40 tahun, Tom Pelphrey akhirnya bergelar bapa kepada seorang puteri hasil perkongsian hidupnya dengan aktres Big Bang Theory, Kaley Cuoco.

Tom Pelphrey berkongsi khabar gembira itu bersama pengikutnya di Instagram dengan memuat naik beberapa keping foto yang merakamkan detik-detik pertama mereka bergelar ibu bapa. Pelakon siri popular Ozark itu menulis mesej ringkas penuh bermakna di ruangan kapsyen yang dimulakan dengan kata pujangga daripada pensyair tersohor, Rumi. “You are the Soul of the Universe. And your name is Love.”

Foto: Instagram

Dia menambah, “Hati saya dilimpahi dengan rasa cinta dan kesyukuran atas keajaiban (miracle) ini. Saya amat menyanjungi kekuatan dan keberanian teman sejiwa dan rakan karib saya @kaleycuoco. Kamu sememangnya luar biasa.”

Matilde Carmine Richie Pelphrey ‘Cahaya Baru’ Dalam Hidup Tom Pelphrey & Kaley Cuoco

Aktres The Flight Attendant, Kaley Cuoco turut berkongsi beberapa keping foto puteri mereka yang diberi nama Matilde Carmine Richie Pelphrey. Dia menggelar anak sulungnya yang dilahirkan pada 30 Mac 2023 itu sebagai ‘cahaya baru’ dalam kehidupan mereka.

“Memperkenalkan Matilde Carmine Richie Pelphrey, cahaya baru dalam hidup kami! Kami amat teruja dan bersyukur dengan keajaiban kecil (little miracle) ini. @tommypelphrey Saya tidak menyangka boleh mencintai kamu dengan lebih banyak lagi, namun itulah yang berlaku.”

Bintang berusia 37 tahun itu turut merakamkan penghargaan buat mereka yang membantu pada saat-saat awalnya bergelar ibu. “Terima kasih kepada doktor, jururawat, keluarga dan rakan-rakan yang telah banyak menghulur bantuan kepada kami sejak beberapa hari lalu. Kami amat bersyukur.”

Tahun lalu Kaley Cuoco mendedahkan bahawa pertemuan pertamanya dengan Tom Pelphrey sewaktu tayangan perdana musim terakhir Ozark pada April 2022 sebagai “cinta pandang pertama yang sejati.” Mereka membuat penampilan umum pertama sebagai pasangan kekasih di acara Hollywood Walk of Fame pada bulan Mei dan mengumumkan kehamilan melalui media sosial pada bulan Oktober.

 

Foto: Getty Images

Baca: Puteri Sulung Priyanka Chopra & Nick Jonas Diperkenalkan Kepada Dunia