Tip Bersahur Untuk Kekal Cergas Sepanjang Hari
Bulan Ramadan kini menjelang lagi! Umat Islam semestinya sibuk menjalankan ibadah puasa di bulan yang penuh rahmat ini. Namun, bagaimana cara untuk kita kekal aktif dan cergas walau sedang berpuasa? GLAM himpunkan tip bersahur untuk kekal cergas sepanjang hari!
Berpuasa merupakan perbuatan menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Ianya juga merupakan kewajipan buat para umat Islam di bulan Ramadan atau dikenali sebagai bulan yang mulia. Sahur dan berbuka pula menjadi sinonim dalam berpuasa. Seperti yang kita tahu, disunatkan untuk kita bersahur kerana ia mampu untuk menguatkan ketahanan tubuh badan. Dalam pada itu, terdapat juga tip-tip bersahur di bulan Ramadan yang boleh diikuti supaya badan sentiasa kekal cergas sepanjang hari.
Ini Tip Bersahur Yang Efektif Untuk Kekal Cergas
1. Pengambilan Karbohidrat Yang Kompleks
Untuk ketahanan badan yang kekal aktif tanpa makan di siang hari, pengambilan karbohidrat pada waktu sahur adalah yang paling efektif sekali. Ini kerana karbohidrat mengambil masa yang paling lama untuk dicernakan. Karbohidrat perlu diuraikan sebelum bertukar menjadi glukosa yang mana ianya merupakan sumber tenaga buat tubuh badan manusia. Karbohidrat terdiri daripada kanji dan antara contoh makanan yang mengandungi karbohidrat adalah seperti nasi, oat, bijirin dan lain-lain lagi. Oleh itu, pengambilan karbohidrat yang kompleks pada waktu sahur dapat membantu dalam meningkatkan ketahanan dan rasa cergas walau sedang berpuasa.
2. Elakkan Minuman Berkafein
Minuman berkafein seperti kopi, teh, koko atau kola, sudah semestinya tidak disarankan diambil ketika bersahur. Ini kerana ianya bersifat diuretik dan proses pencernaannya mengambil masa yang singkat untuk dicerna. Lebih cepat cecair dalam badan tercena, lebih kerap lah buang air kecil. Ini menyebabkan badan akan lebih cepat terhidrasi dan cecair dalam badan akan lebih cepat berkurangan ketika berpuasa. Kesannya, boleh mengakibatkan sakit seperti pening kepala, pitam ataupun pengsan!
3. Melewatkan Waktu Bersahur
Melambatkan waktu bersahur sebelum azan waktu subuh merupakan salah satu tip untuk mengekalkan ketahanan ketika berpuasa. Melewatkan proses bersahur membantu kurangkan rasa lapar dan dahaga. Tiada masalah buat mereka yang ingin bersahur awal, namun kebarangkalian untuk terasa lapar lebih awal ketika puasa juga tinggi. Apabila berasa lapar, badan pasti mula berasa tidak bermaya. Tahukah anda, melewatkan waktu sahur juga adalah merupakan amalan sunat buat umat Islam?
4. Kurma Ketika Bersahur
Buat mereka yang terlewat dan hampir terlepas waktu sahur, pengambilan buah kurma sebanyak tiga biji amat digalakkan. Bukan sahaja mudah dan cepat, namun rasanya yang manis dan kaya dengan serat menjadikan kurma pilihan yang tepat untuk bersahur. Hal ini kerana kurma mengandungi glukosa dan fruktosa yang menjadi sumber tenaga dalam badan. Selain itu, turut diperkatakan merendam 7 biji kurma dengan air semalaman dan meminumnya ketika sahur, juga mampu memberikan tenaga dan rasa cergas sepanjang hari!