Taraji P. Henson Hampir Ragut Nyawa Sendiri Ketika Pandemik Covid-19 - Glam Malaysia

Taraji P. Henson Hampir Ragut Nyawa Sendiri Ketika Pandemik Covid-19

Virus yang sedang melanda seluruh dunia ini telah mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan manusia, dari sudut kewangan sehinggalah kesihatan mental.

Selebriti juga tidak terkecuali mengalaminya, seperti apa yang dikongsikan oleh pelakon Taraji P. Henson dalam siri terbarunya di Facebook Watch, Peace of Mind with Taraji. Ketika mengendalikan program itu bersama pakar psikologi, Dr. LaShonda Green serta pengacara bersama, Tracie Jade, Henson berkongsi dia hampir mengambil nyawanya sendiri disebabkan Covid-19.

“Saya berada dalam dunia yang gelap. Selama beberapa hari, saya tidak boleh bangun dari katil, saya langsung tak peduli. Saya tidak menjadi diri sendiri. Kemudian, saya mula terfikir untuk mengakhiri hidup saya. Ia berlaku dua malam berturut-turut,” kongsinya. Henson menambah, dia terfikir dia boleh menamatkan riwayat hidupnya bila-bila masa. Mujurlah dia mengambil keputusan untuk menghubungi rakan-rakannya.

“Saya bercakap dengan salah seorang rakan dan saya tahu, saya bijak kerana mengatakan, ‘Saya harus berkongsi perkara ini’. Kerana sebahagian daripada diri saya berasa malu. Saya berfikir, ‘Saya tidak mahu mereka menganggap saya gila. Saya tidak mahu mereka terlalu risaukan saya sehingga perlu datang menemani saya.’”

See also
GLAM It-Girl: Tasnim Shah

Henson menjelaskan bagaimana memendam perasaan membuatkan idea untuk membunuh diri itu berputik dalam fikirannya. “Pada mulanya, saya berasa seperti tidak mahu lagi berada di dunia ini. Kemudian saya mula terfikir untuk bangun dan ambil pistol. Sebab itulah sebaik sahaja saya bangun tidur keesokan hari, saya terus luahkannya kepada rakan.”

Tambahnya, “Kerana saya rasa lama-kelamaan ia akan menguasai saya dan ia akan mula bertukar menjadi rancangan, sebab sekuat itulah minda saya. Fikiran kita… Ia sangat berkuasa.”

Foto: WMagazine.com

Baca: Dalam Diam Kim Kardashian Meminati Dr. Pimple Popper