Tahniah! Amylea Azizan Kini Milik Abang Bomba
Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan mengesahkan dia telah pun bergelar isteri kepada anggota bomba dari Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad atau lebih dikenali sebagai Ash.
Dengan sekali lafaz, pasangan itu selamat disatukan dalam satu majlis tertutup di kediaman keluarga Amylea di Sungai Petani, Kedah. Tarikh pernikahan tidak didedahkan namun mereka bakal diraikan dalam satu majlis resepsi pada 27 Januari tahun hadapan.
Pelantun lagu Miris itu menerima mas kahwin senaskhah al-Quran, telekung dan hantaran bernilai RM8,888. Angka ini dikatakan sebagai lambang cinta infiniti antara pasangan mempelai.
Menerusi foto yang dikongsi di media sosial, kedua-duanya kelihatan segak dan anggun dalam busana nikah rona putih suci daripada Teruntum Putih by Redzuan Alias.
Bersyukur kini memegang status isteri, Amylea berkata dia tidak menyangka perkenalan singkat dengan suaminya diakhiri dengan penyatuan indah di jenjang pelamin.
“Sebenarnya, saya belum bersedia mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Perkenalan saya dengan suami bermula di media sosial sejak beberapa bulan lalu.
“Bila selesa berkawan, suami terus melamar saya. Suami buat keputusan selepas mendapat petanda baik daripada solat istikharah dan terus berjumpa keluarga saya. Alhamdulillah, saya tidak pernah setenang ini sejak dia hadir dalam hidup saya,” katanya.
Walau sudah bergelar suami isteri, mereka terpaksa melalui perhubungan jarak jauh buat masa ini kerana Ash perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota bomba di Singapura.
Lagu Cinta Amylea Buat Suami
Dalam keterujaan berkongsi berita perkahwinannya, Amylea turut mengumumkan pelancaran lagu baru berjudul Panji Putih Buat Pangeran.
“I waited for you all my life. Thank you for binging peace into my heart. As a gift, a song specially written for you,” tulisnya di Instagram.
Menurut penyanyi berusia 37 tahun ini, lagu itu dicipta sebagai tanda cinta mereka hingga akhir hayat dan dapat didengari anak cucu mereka suatu hari nanti.
“Lagu ini berkisar kedegilan hati saya yang merasakan hidup ini seperti sudah berakhir. Panji Putih itu diibaratkan seperti saya mengalah (bendera putih). Pangeran pula tanda Ash sebagai orang barisan hadapan yang kerjanya saya hormat dan pandang tinggi.
“Ash meminati perkara-perkara tradisional dan saya gabungkan cita rasa kami dengan menghasilkan lagu ini dalam genre keroncong moden,” ujarnya.
Panji Putih Buat Pangeran akan menemui peminat pada penghujung Disember 2023.
Foto: Instagram
Baca: Butiran Perkahwinan Putera Mateen & Fakta Menarik Bakal Isteri, Anisha Rosnah