Shila Amzah Umum Hamil Anak Kedua
Tahun 2024 bakal melakar momen paling bahagia buat Shila Amzah dan Ubai.
Apa tidaknya, pasangan yang baru lima bulan bergelar suami isteri itu bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi. Khabar gembira itu dikongsi Shila dan Ubai menerusi satu hantaran di Instagram.
Menurut pemilik nama Nurshahila Amir Hamzah, dia tidak berniat mahu merahsiakan berita kehamilannya. Sebaliknya dia hanya mahu memastikan kandungannya stabil terlebih dahulu.
“Ada sebab kenapa kami baru beritahu sekarang. Kami nak pastikan proses kehamilan berjalan lancar. Doakan semoga kandungan saya selamat dan dipermudahkan segalanya.”
Pelantun lagu Memori Tercipta itu turut memuat naik video sedang melakukan imbasan ultra bunyi di sebuah klinik. Bagaimanapun dia tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai kehamilannya termasuk usia kandungan.
Lembaran Baru Buat Shila Amzah & Ubai
Berita kehamilan ini bagaikan penawar kepada duka yang dialami pasangan itu pada tahun lalu. Sebelum mengumumkan khabar gembira itu bersama netizen, Ubai sempat berkongsi pahit manis yang dilalui sepanjang 2023 termasuk kehilangan insan tersayang.
“Tahun 2023 meninggalkan peristiwa manis dan sedih yang banyak mengajar kami berdua. Pada tahun ini juga kami mengambil keputusan berkahwin. Tahun lalu juga arwah adik saya pergi sebelum majlis pertunangan kami, diikuti pemergian arwah mak beberapa hari sebelum kami bernikah.
“Selesai cerita kami di tahun 2023 dan pada tahun 2024 ini kami ingin membukanya dengan satu perkhabaran (pengumuman kehamilan),” katanya.
Shila dan Ubai disatukan sebagai suami isteri pada 4 Ogos tahun lalu. Ini merupakan perkahwinan kedua buat Shila selepas rumah tangga yang dibina bersama Haris Edraki Elias berakhir dengan perceraian pada 2022.
Hasil perkahwinan selama empat tahun dengan bekas suami, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Seth Uwais yang kini berusia lima tahun.
Foto: HMetro