Use your ← → (arrow) keys to browse
Anugerah Golden Globe 2022 yang diadakan pada 10 Januari berlangsung dalam suasana sepi.
Tiada majlis gah seperti tahun-tahun sebelumnya, sebaliknya senarai pemenang Golden Globe Ke-79 diumumkan oleh Hollywood Foreign Press Association (HFPA) dalam satu majlis tertutup.
Keputusan itu dibuat disebabkan kontroversi perkauman yang menyelubungi HFPA sejak setahun lalu sehingga acara itu diboikot barisan selebriti Hollywood. Malah NBC selaku penyiar rasmi turut menarik diri dan enggan menyiarkan majlis anugerah itu secara langsung.
Selain memberi pengiktirafan kepada pemenang, Golden Globe turut memberi fokus pada kedermawanan HFPA kala organisasi itu membuat perubahan besar secara keseluruhan.
Foto: Everett Collection/NYPost
Ketika berlangsungnya acara, Naib Presiden Kanan Biro Hollywood NAACP, Kyle Bowser melancarkan Reimagine Coalition, inisiatif selama lima tahun untuk meningkatkan kepelbagaian, ekuiti dan inklusiviti dalam industri hiburan global.
Menurut HFPA, setiap tahun kedua-dua organisasi itu “akan menjalin kolaborasi, membiayai, dan menyokong satu siri inisiatif dengan matlamat untuk untuk memastikan kejelasan pelbagai projek yang melibatkan artis berbilang kaum dan etnik; meningkatkan perwakilan meluas dalam industri; serta membina laluan kepada penyertaan artis muda dan wartawan dari pelbagai warna kulit.”