Ketahui 5 Perbezaan Senaman Pilates & Yoga

Senaman Pilates atau Yoga? Ketahui 5 Perbezaannya!

Senaman yoga dan pilates masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, bergantung kepada keperluan dan matlamat kecergasan anda.

Pilates dan yoga sering dianggap serupa kerana kedua-duanya melibatkan pergerakan badan yang lembut dan memberi manfaat kepada kesihatan fizikal serta mental. Namun, sebenarnya terdapat beberapa perbezaan utama antara kedua-dua senaman ini. Jika anda mahukan senaman yang lebih menenangkan, yoga adalah pilihan terbaik. Jika anda mahu fokus kepada kekuatan otot dan postur, cuba Pilates! Ketahui mana yang lebih sesuai untuk anda dan mungkin boleh cuba kedua-duanya dan lihat mana yang lebih serasi!

Asal usul yoga & pilates

Kredit foto: Auromere

Yoga berasal dari India dan telah diamalkan selama ribuan tahun. Ia bukan sekadar senaman, tetapi juga merangkumi elemen meditasi, kawalan pernafasan (pranayama), dan keseimbangan minda serta badan. Pilates pula dicipta oleh Joseph Pilates pada awal abad ke-20. Ia lebih berfokus kepada kekuatan teras badan (core strength), postur, dan fleksibiliti.

See also
Santuari Yoga Atilia Haron

Fokus senaman

Yoga menekankan keseimbangan antara minda dan badan melalui pergerakan perlahan, regangan, serta pernafasan yang terkawal. Ia membantu meningkatkan fleksibiliti, mengurangkan stres, dan memperbaiki keseimbangan badan. Pilates lebih tertumpu pada menguatkan otot teras, memperbaiki postur, dan membina kekuatan tanpa meningkatkan saiz otot secara berlebihan. Ia sering digunakan dalam pemulihan kecederaan.

Teknik pernafasan

Kredit foto: Health

Dalam yoga, pernafasan dilakukan secara mendalam dan perlahan melalui hidung (pranayama) untuk menenangkan minda dan meningkatkan fokus. Sementara pilates, pernafasan lebih tersusun dengan teknik lateral breathing di mana udara disedut melalui hidung dan dilepaskan melalui mulut sambil mengaktifkan otot teras.

Peralatan yang digunakan

Yoga biasanya hanya memerlukan yoga mat dan boleh dilakukan di mana-mana. Kadangkala, aksesori tambahan seperti blok yoga atau tali digunakan untuk membantu dalam beberapa pose. Pilates boleh dilakukan menggunakan mat seperti yoga, tetapi ada juga versi yang menggunakan mesin khas seperti Reformer untuk meningkatkan keberkesanan senaman.

Manfaat kesihatan

Kredit foto: Manduka EU

Yoga dan Pilates baik untuk kesihatan kerana membantu badan lebih fleksibel, menguatkan otot, dan memperbaiki postur. Yoga lebih fokus pada pernafasan dan meditasi untuk mengurangkan stres, manakala Pilates lebih menekankan kekuatan teras. Kedua-duanya juga melancarkan peredaran darah, menyokong kesihatan jantung, serta membantu mengawal berat badan. Selain itu, ia meningkatkan keseimbangan, memberi lebih tenaga, dan membantu tidur lebih lena. Amalkan secara konsisten untuk badan yang lebih sihat dan bertenaga!

See also
Sejenak Bersama Adriana Adnan

Artikel Berkaitan: Apa Yang Perlu Dimakan Sebelum Bersenam