R’Bonney Gabriel, Dinobat Miss Universe dan Ada Kontroversi?
R’Bonney Gabriel, Ratu Cantik US dinobat sebagai Miss Universe ke-71 di New Orleans, negaranya sendiri! Apa pula kontroversi yang timbul selepas itu?
Semalam berlangsungnya finale Miss Universe, menyaksikan R’Bonney Gabriel, wakil Amerika Syarikat, diangkat sebagai Miss Universe ke-71. Manakala Amanda Dudamel dari Venezuela dinobat sebagai naib juara dan Adreina Martinez, wakil Republik Dominican, muncul sebagai naib juara kedua.
Siapakah R’Bonney Gabriel?
R’Bonney Gabriel mengalahkan peserta daripada 83 buah negara yang lain dan menjadi wanita asal Filipino-Amerika pertama yang memenangi takhta ini. Dia juga merupakan seorang pereka fesyen yang memiliki jenamanya sendiri (yang mengetengahkan kelestarian), model juga guru jahitan. Pernah aktif sebagai pemain bola tampar di waktu sekolah, dia juga merupakan siswazah daripada University of North Texas.
Pada malam pertandingan akhir Miss Universe, Gabriel ditanya tentang bagaimana dia ingin menunjukkan Miss Universe sebagai satu organisasi yang berkuasa serta progresif di mata dunia jika dia memenangi takhta ini. Jawab Gabriel,
Saya akan menggunakan platform ini dan menjadi seorang pemimpin transformasi.
Dia yang turut menekankan bagaimana jenama fesyennya yang dibina, memfokus kepada material kitar semula serta mengajar komuniti yang juga mangsa pemerdagangan manusia dan keganasan rumah tangga. Padanya, adalah sangat penting untuk melabur pada orang lain dan komuniti dan menggunakan bakat unik yang ada di dalam diri untuk melakukan perubahan.
Walaubagaimanapun, kemenangan Gabriel tidak disenangi para peserta yang lain dan ada yang menyatakan ini satu kemenangan yang tidak adil dan menggangap adanya unsur “favoritism”.
Timbul Kontroversi Sejurus Dinobat Miss Universe
Para peserta yang lain mengesyaki bahawa terdapat sebuah syarikat kecantikan, NIZUC Spa, yang telah menyumbang sejumlah wang. Ini kerana kurang daripada 24 jam setelah dinobat sebagai Miss Universe, Gabriel telah diambil untuk menyertai kempen jenama ini.
Pentas akhir Miss Universe ini berlangsung di New Orleans bagi menghormati mendiang Cheslie Kryst, yang pernah dinobat sebagai Miss USA di pentas yang sama pada tahun 2019. Mendiang yang meninggal dunia kerana bunuh diri pada Januari tahun lalu beberapa minggu sebelum menyertai pertandingan Miss Universe ke-70.
Pautan Berkaitan: Remaja Berhijab Sertai Pertandingan Ratu Cantik Miss Minnesota USA