Rai Hidangan Mesra Muslim Pertama oleh TIEN by PUTIEN
Sidang editorial GLAM meluangkan masa berkunjung ke TIEN by PUTIEN untuk menikmati hidangan lazat masakan Fujian mesra Muslim pertama daripada jenama ini.
Bertempat di pusat beli-belah KLCC, restoran popular PUTIEN membuka cawangan pertamanya, TIEN by PUTIEN, yang menyajikan menu mesra Muslim pertama jenama ini. Buat pengetahuan anda semua, restoran induknya iaitu PUTIEN sudah diusahakan semenjak tahun 2000 dan sehingga kini memiliki lebih daripada 100 cawangan di seluruh Asia. Kami menjadi teruja kerana akhirnya dapat mencuba menu restoran yang sama seperti sedia ada namun dicipta khas menggunakan bahan mesra Muslim.
Naik ke tingkat 4, setibanya kami di sana, kami seolah terpegun dengan seni hiasan dalaman restoran ini. Memberi rasa selesa dengan ruang yang luas, cukup nyaman membuatkan sesiapa sahaja yang berkunjung dapat menikmati hidangan dengan tenang. Terbahagi kepada beberapa bahagian, kami memilih untuk menikmati hidangan di ruang peribadi.
Kami di bawa ke sebuah bilik di mana bilik ini sesuai buat anda yang mahukan suasana yang lebih privasi atau jua hadir dalam kumpulan yang besar sehingga mampu memuatkan 12 orang pada satu masa. Bukan itu sahaja, di bilik ini, anda turut berpeluang untuk menjenguk keindahan kota Kuala Lumpur menerusi tingkap yang luas sambil menikmati makanan restoran ini.
Kami mencuba beberapa hidangan mewah dan popular oleh TIEN by PUTIEN. Antaranya seperti, TIEN Sweet & Sour Chicken with Lychees, TIEN Lor Mee Campur Cendawan Merah, TIEN Oyster Goreng dan bermacam lagi. Sememangnya setiap hidangan yang disajikan punya keunikannya yang tersendiri dan yang paling penting, setiap bahan yang digunakan di setiap hidangan kami rasa memiliki tahap kesegaran dan kualiti yang tinggi.
Kami juga berpeluang untuk merasai minuman signatur mereka seperti Homemade Sweet Corn Juice yang disajikan hangat tanpa ais dan gula, jus Barley & Winter Melon serta hidangan pemanis mulut yang cukup enak serta dipersetujui oleh tim GLAM yang hadir merasainya. Antara pemanis mulut yang kami cuba adalah Krim Labu Ais Krim, Jeli Serai serta Loquat Sejuk Jeli Herba.
<video>