Puteri Eugenie Berkongsi Foto & Inspirasi Nama Putera Kedua - Glam Malaysia
Puteri Eugenie Berkongsi Foto & Inspirasi Nama Putera Kedua

Puteri Eugenie Berkongsi Foto & Inspirasi Nama Putera Kedua

Dua tahun bergelar ibu, Puteri Eugenie kini dikurniakan seorang lagi putera pada 30 Mei lalu.

Khabar gembira itu dikongsikan bersama peminat Diraja menerusi satu hantaran di Instagram. Ini merupakan cahaya mata kedua Putera Eugenie bersama suaminya, Jack Brooksbank. “Saya dan Jack ingin mengumumkan bahawa kami telah selamat menimang anak lelaki, Ernest George Ronnie Brooksbank pada 8.49 pagi seberat 7.1 paun. Dia dinamakan sempena nama moyangnya George, datuknya George dan datuk saya Ronald,” tulis puteri berusia 33 tahun itu.

Foto: Instagram

Sepupu kepada Putera William dan Putera Harry itu mengumumkan kehamilan keduanya Januari lalu dengan memuat naik sekeping foto istimewa. Foto itu memperlihatkan anak lelakinya yang berusia lebih setahun sedang memeluk dan mengucup perutnya. “Kami amat teruja untuk berkongsi bahawa kami sedang menanti kehadiran ahli keluarga baru pada musim panas ini,” tulisnya.

Puteri Eugenie

Foto: Instagram

Cahaya Mata Pertama Puteri Eugenie & Jack Brooksbank

Pasangan itu dikurniakan putera pertama, August Philip Hawke Brooksbank pada Februari 2021. “Yang Amat Mulia Puteri Eugenie telah selamat melahirkan anak lelaki pada hari ini, 9 Februari 2021 seberat 3.66 kilogram. Ratu, Duke of Edinburgh, Duke of York, Sarah, Duchess of York, serta Tuan dan Puan George Brooksbank telah pun dimaklumkan dan teruja mendengar khabar ini,” menurut kenyataan Istana Buckingham ketika itu.

See also
Kate Middleton Bakal Mencipta Sejarah Diraja

Pasangan tersebut berkongsi foto pertama August pada hari yang sama di Instagram dengan hanya mendedahkan foto jemari anak lelaki mereka. Dua minggu kemudian, cucu mendiang Ratu Elizabeth II itu mendedahkan wajah dan nama anaknya kepada dunia.

Foto: Today

“Kami ingin memperkenalkan anak kami kepada anda. Terima kasih atas segala ucapan dan doa daripada anda semua. Hati kami dipenuhi rasa cinta dengan kehadiran insan comel ini. Kami tidak mampu meluahkannya dengan kata-kata. Kami teruja kerana dapat berkongsi foto ini dengan anda,” tulisnya. Puteri Eugenie dan Jack mendirikan rumah tangga pada Oktober 2018 selepas sembilan bulan mengikat tali pertunangan.

 

Foto: Getty Images

Baca: Suami Puteri Eugenie, Jack Brooksbank Menikmati Percutian Atas Bot Bersama Tiga Wanita