Penyatuan Shuib & Watie Hanifiah Mendapat Tajaan Hampir RM2 Juta - Glam Malaysia
Penyatuan Shuib & Watie Hanifiah Mendapat Tajaan Hampir RM2 Juta

Penyatuan Shuib & Watie Hanifiah Mendapat Tajaan Hampir RM2 Juta

Hampir dua tahun memegang status duda, Shuib bakal melangsungkan perkahwinan keduanya dengan Watie Hanifiah pada 23 Jun ini.

Pasangan itu akan diijabkabulkan di Putra Glass House, Putra Height dan hanya dihadiri sekitar 600 tetamu termasuk ahli keluarga serta kenalan rapat. Penyatuan Shuib dan bakal isteri bakal berlangsung secara sederhana tanpa majlis resepsi. Bagaimanapun ia akan dimeriahkan dengan acara khatam Al-Quran dan majlis berinai.

shuib

Foto: Ohbulan!

“Tidak ada majlis resepsi kerana ini adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Majlis ini kami adakan secara sederhana saja, tapi saya nak pelamin pada majlis akad nikah. Jadi dapatlah bergambar bersama keluarga. Watie anak dara dan ini perkahwinan pertamanya. Jadi saya nak ia menjadi satu kenangan indah buat dirinya juga. Kami nak raikan semua orang terutama keluarga,” jelas Shuib.

Shuib Panjatkan Rasa Kesyukuran

Pelakon, pelawak dan penyampai radio itu turut mengumumkan bahawa perkahwinannya mendapat tajaan bernilai RM1.7 juta yang merangkumi lokasi majlis, makanan dan barang kemas. “Penajaan melibatkan majlis khatam Al-Quran, berinai dan akad nikah. Nilainya sekitar RM1.7 juta termasuklah barang kemas. Namun bukan semuanya ditaja sebab saya ada keluarkan kos sendiri juga.” Bapa kepada empat cahaya mata itu sempat meluahkan rasa bersyukur kerana akan kembali bergelar suami selepas hampir dua tahun memegang status solo.

“Saya bersyukur tetapi dalam masa sama berdebar kerana jodoh telah tiba dan Allah pertemukan saya dengan wanita yang tepat. Watie seorang wanita yang baik dan ikhlas sukakan anak-anak saya. Perkara itu yang membuka hati saya kepadanya.”

Penyatuan mereka akan ditayangkan dalam siri mini Walimatulurus Shuib dan Watie yang merakamkan detik manis dan perjalanan cinta pasangan itu. Program tiga episod itu akan menemui penonton secara eksklusif bermula 24 Jun, 9 malam di Astro Ria.

See also
Raikan Cinta Bersama Tiffany & Co.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan dalam satu majlis tertutup pada 6 Mei lalu. Shuib pernah bergelar suami kepada Siti Sarah namun perkahwinan mereka berakhir pada 2021 selepas penyanyi popular itu meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19. Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahita Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan.

Foto: Instagram

 

Foto: Kosmo Digital

Baca: Siti Sarah Selamat Disemadikan, Ini Antara Doa Rakan Selebriti Mengiringi Pemergiannya