Lapangan Terbang Terbaik Dunia Dengan Pengalaman Eksklusif
lapangan terbang terbaik

7 Lapangan Terbang Paling Mengagumkan Di Dunia

Sebahagian besar daripada kita percaya bahawa pengalaman travel itu bermula sebaik sahaja kapal terbang berlepas. Namun, ramai yang mula mengubah pendapat selepas menjejakkan kaki di lapangan terbang yang bukan lagi sekadar terminal, tetapi bagaikan kota kecil yang hidup penuh karakter, seni, teknologi dan hospitaliti yang membuat kita terfikir, “Perlukah aku pergi ke hotel, jika transit pun sudah rasa seakan percutian?”

Ada lapangan terbang yang membuatkan kita lupa bahawa kita sedang menunggu. Menunggu penerbangan pun terasa seperti terapi dengan ditemani air terjun buatan, taman hijau, lounge berlatar pemandangan Alps, atau kilang bir (bagi yang bukan Muslim) benar-benar di dalam terminal. Malah, ada penumpang yang sengaja pilih transit lebih lama, hanya untuk menikmati ruang eksklusif, spa, butik jenama mewah dan suasana seperti sebuah resort lima bintang.

Menariknya, Malaysia juga tidak ketinggalan. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semakin mendapat perhatian global. Tidak sempurna, tetapi ia sedang berubah dengan peningkatan digital, sistem transit lebih cekap, dan suasana yang semakin segar. KLIA mungkin belum setanding Changi, tetapi ia sedang bergerak ke arah itu.

See also
Ayuh Kenali YAM Che' Puan Mahkota Khaleeda Binti Bustamam

Lapangan terbang yang bukan sekadar titik berlepas

1. Lapangan Terbang Changi, Singapura

lapangan terbang terbaik dunia

Kalau ada lapangan terbang yang membuatkan pengembara lupa mereka berada di lapangan terbang, itulah Changi. Dengan Rain Vortex iaitu air terjun dalaman tertinggi di dunia, taman tropika, hotel kapsul dan pawagam percuma, ia terasa seperti gabungan resort, taman botani dan pusat beli-belah mewah. Tidak hairan Changi sering dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik dunia.

2. Hamad International Airport, Doha

Terasa seperti melangkah ke galeri seni kontemporari. Di tengah terminal, berdiri arca Lamp Bear yang ikonik. Lapangan terbang ini penuh dengan sentuhan kemewahan Arab moden dengan spa, butik eksklusif, lounge senyap, dan ruang transit yang terasa tenang tetapi mewah. Elegan tanpa keterlaluan.

3. Munich Airport, Jerman

Ini mungkin lapangan terbang paling “luar biasa” di dunia kerana ia ada kilang birnya sendiri (Airbräu). Suasananya tenang, bersih dan tersusun seperti hampir semua perkara buatan Jerman. Mesra pengguna, mudah difahami dan layanan yang profesional tetapi hangat.

See also
HIMPUN - Proudly Made by Malaysians

4. Incheon International Airport, Korea Selatan

lapangan terbang terbaik

Jika Jerman terkenal dengan sistem tersusun, Korea Selatan terkenal dengan budaya dan teknologi. Di sini, anda boleh lihat robot pembantu, ruang seni, malah persembahan budaya tradisional. Airport Incheon adalah yang menjaga jiwa dan masa anda, yang mana cantik, cekap dan mesra.

5. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Malaysia

KLIA sedang berkembang menjadi hab serantau yang lebih moden dan strategik. Ia mungkin tidak seheboh Changi atau Doha, tetapi KLIA mempunyai kelebihan tersendiri iaitu layanan mesra, terminal yang lapang, suasana hijau semula jadi dan sistem transit yang semakin baik. KLIA bukan sempurna, tetapi ia punya potensi besar.

6. Dubai International Airport, Emiriah Arab Bersatu

lapangan terbang terbaik

Lapangan terbang ini ibarat pusat beli-belah mewah yang ada pesawat. Terkenal dengan pembelian bebas cukai, lounge eksklusif, dan transit yang selesa, Dubai tetap menjadi pilihan ramai pelancong.

7. Zurich Airport, Switzerland

Jika anda mencari ketenangan sebelum penerbangan, Zurich Airport adalah jawapannya. Tidak terlalu sibuk, tidak terlalu gah, tetapi cukup elegan dan terkawal. Lounge di sini mempunyai pemandangan Alps yang tenang, minimum, dan cukup cantik menenangkan.

See also
Jade Pavilion Sedia Menu Mesra Muslim Istimewa Untuk Anda

Kadang-kadang, pengalaman kembara paling menarik bukanlah di luar terminal tetapi bermula di dalamnya. Lapangan terbang hari ini bukan sekadar pintu masuk, tetapi cerminan masa depan perjalanan: lebih manusiawi, lebih selesa, lebih memberi inspirasi.

Dan mungkin, satu hari nanti, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga akan berada di puncak senarai ini.

Artikel berkaitan: 10 Cara Bijak Elak Kulit Muka Kering Ketika Bercuti di Negara Musim Sejuk

Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.