Kenali No Na, Girl Group Indonesia Pertama Naungan 88rising
Kumpulan “no na” yang terdiri daripada empat ahli — Baila, Esther, Christy dan Shazfa secara rasmi diperkenalkan oleh 88rising pada 29 April 2025.
Mereka membuat debut global pertama mereka pada 2 Mei 2025 dengan single bahasa Inggeris bertajuk “Shoot”. Visual dan muzik mereka dipenuhi elemen budaya Indonesia dengan latar belakang sawah padi, pantai, air terjun dan iringan gamelan yang menggabungkan irama moden. Jom kenali lebih dekat siapakah no na cantik dan berbakat ini:
1. Nona Baila
Ketua vokalis no na, Baila Fauri berasal dari Jakarta, mula dikenali selepas menjuarai Indonesian Idol Junior 2014 (top 6) dan pernah mengeluarkan lagu solo seperti See You Kobe, 3 Dots, dan Eye 2 Eye.
2. Nona Esther
Esther Geraldine, sub-vokalis no na ini mula dikenali melalui Indonesian Idol musim ke‑10. Esther juga pernah menerbitkan single Rarity dan berkolaborasi dengan Dipha Barus serta Afgan dalam lagu Keep It Hush.
3. Nona Christy
Christy Gardena sebagai vokalis utama merupakan gadis dari Lombok adalah penari balet profesional dan pernah menjuarai tempat ketiga di International Dance Asia Competition 2019 (kategori duo). Christy juga popular di TikTok sebelum akaunnya dipadamkan.
4. Nona Shaz
Shazfa Adesya berperanan sebagai rapper dan penulis lirik menamatkan pengajian dalam Public Relations & Advertising di University of New South Wales (UNSW), Australia, dan tersenarai dalam Dean’s List 2022. Selain itu, Shazfa aktif sebagai penari dan pencipta kandungan di media sosial.
Lagu Shoot, debut global pertama no na

Lagu debut “Shoot” merupakan lagu bergenre pop‑dance moden, diinspirasikan oleh budaya tempatan melalui pengenalan gamelan dan visual semula jadi. MV lagu ini rasmi dilancarkan bersama single pada 2 Mei 2025 dan telah mencuri tumpuan ramai dengan elemen budaya Indonesia yang kuat. Lagu ini juga dipercayai dihasilkan bersama kumpulan The Stereotypes.
88rising, label yang menaungi no na, terkenal dengan idea baharu dalam mempromosikan bakat Asia ke pentas global. no na merupakan projek pertama mereka yang membentuk girl group daripada Indonesia selepas melahirkan artis solo seperti Rich Brian, NIKI, dan Stephanie Poetri. Proses pembentukan no na dilakukan secara dalaman dengan penekanan pada kepelbagaian asal usul budaya dan potensi global setiap anggota.
Kemunculan no na dianggap sebagai simbol bakal lahirnya gelombang baru bakat muda Indonesia yang bersedia menembusi pasaran antarabangsa. Dengan perpaduan budaya tempatan dan muzik moden, penampilan mereka juga menjadi lambang identiti Indonesia di pentas global. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang mereka, anda boleh mengikuti perkembangan aktif mereka di Instagram rasmi @nonawav atau akaun 88rising untuk berita terkini.
Dengan profil anggota yang berbeza, dari penyanyi solo hingga pelajar universiti berprestasi dan lagu debut yang memperkenalkan identiti visual dan muzik Indonesia kepada dunia, no na layak menjadi tumpuan utama peminat K‑pop dan pop Asia Tenggara.
Artikel Berkaitan: 4 Gaya Fesyen Alyssa Daguisé Pilihan GLAM
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

