Kenali Michelle Keegan, Bintang Siri Hit Fool Me Once
Nama Michelle Keegan meniti bibir peminat selepas tayangan siri baru Netflix, Fool Me Once.
Siri ini menyusuri kehidupan Maya Stern (lakonan Michelle Keegan), bekas tentera yang berduka atas kematian suaminya Joe (Richard Armitage). Plot bertukar misteri apabila dia ternampak mendiang suaminya berbual dengan anaknya menerusi rakaman kamera.
Penonton meluahkan rasa kagum dengan kejutan yang dipersembahkan pada penghujung cerita. Begitu juga dengan bakat lakonan aktres Britain ini.
Ayuh kenali Michelle Keegan dengan lebih lanjut
Bukan Bakat Baharu
Pelanggan Netflix Britain pastinya sudah tidak asing lagi dengan pelakon berusia 36 tahun ini. Nama Michelle dikenali selepas membintangi opera terkenal, Coronation Street selama enam tahun dari tahun 2008. Dia meninggalkan siri itu pada 2014 selepas wataknya, Tina McIntyre dibunuh. Menurut Planet Radio, dia menewaskan 900 calon yang menghadiri uji bakat untuk watak itu.
Foto: ITV
Peranan Penting Selepas Coronation Street
Tahun-tahun seterusnya menyaksikan kerjaya aktres ini terus mekar. Selepas Ordinary Lies, Drunk History dan Plebs, Michelle ditawarkan watak sebagai Lans Koperal Georgie Lane dalam Our Girl musim kedua. Michelle kembali pada musim ketiga yang dibahagikan kepada dua bahagian pada 2017 dan 2018 namun meninggalkan siri itu pada 2020. Dedahnya kepada Evening Standard, keputusan itu diambil kerana dia mahu mencuba watak berbeza.
Menamatkan Zaman Bujang Pada 2015
Pada 2012, Michelle mula menjalin hubungan romantis dengan aktor The Only Way Is Essex, Mark Wright. Mereka bertemu buat kali pertama ketika menjadi tetamu belakang pentas The X Factor setahun sebelumnya. Jelas Mark, dia mengambil masa yang lama untuk berjaya menawan hati Michelle. Mereka mengikat tali pertunangan di Dubai pada 2013 dan disatukan sebagai suami isteri di pekan Bury St. Edmunds, United Kingdom dua tahun kemudian.
Berjiwa Murni
Michelle sering memberi sokongan kepada badan amal termasuk British Heart Foundation. Dia menggunakan suara dan pengaruhnya sebagai selebriti untuk meningkatkan kesedaran dan membantu menarik lebih banyak penderma. Dia juga dinamakan sebagai penaung Royal Manchester Children’s Hospital Charity yang menurutnya salah satu hospital terbaik di United Kingdom.
Memiliki Jenama Fesyen Sendiri
Dikenali sebagai ikon fesyen, justeru tidak menghairankan jika dia mempunyai rangkaian pakaian sendiri yang direka eksklusif buat Very.com. Koleksi terbarunya dilancarkan pada Januari 2024.
Foto: X
Baca: Kenali Tom Blyth Dari The Hunger Games: The Ballad Of Songbirds & Snakes