Hyun Bin Berkongsi Keterujaan Menjadi Bapa
Setahun mendirikan rumah tangga, Hyun Bin akhirnya terbuka bercakap mengenai kehidupan peribadi dan keluarga kecilnya.
Dalam satu wawancara bersama Dazed Korea baru-baru ini, Hyun Bin berbicara tentang kejayaan dua filem terbaru yang dibintanginya, Confidential Assignment 2: International (2022) dan The Point Men (2023).
“Saya rasa ia adalah perkara yang mengujakan. Sebagai seorang aktor, tiada apa yang lebih menggembirakan saya daripada menyiapkan bukan hanya satu, tetapi dua filem tanpa sebarang masalah dan mempersembahkannya kepada penonton,” katanya.
Selain bercakap mengenai perkembangan kerjaya, Hyun Bin turut berkongsi tentang isteri, Son Ye Jin dan putera sulungnya, Alkong selepas wartawan memaklumkan matanya kelihatan lebih bersinar seolah memancarkan kebahagiaan kebelakangan ini.
“Dengan perubahan dalam hidup saya baru-baru ini, semuanya telah berubah. Saya mula melihat perkara yang tidak dapat saya lihat sebelum ini dan mendengar perkara yang tidak dapat saya dengar sebelum ini. Saya lebih banyak membuat pertimbangan dan menjadi lebih berhati-hati. Saya gembira. Apabila pulang ke rumah selepas habis kerja, terasa seperti hidup telah lengkap. Perasaan ini tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata.”
Akhir tahun lalu, Son Ye Jin berkongsi foto pertama Alkong yang dilahirkan pada 27 November 2022 namun belum bersedia untuk mendedahkan wajahnya.
“Tahun ini amat istimewa buat saya. Seperti yang anda tahu, saya dan suami dikurniakan seorang anak lelaki yang amat berharga buat kami. Dan saya belajar bahawa ia memerlukan banyak kasih sayang, penjagaan dan bantuan untuk melahirkan seorang bayi ke dunia ini.
“Saya bimbangkan keadaan bayi saya kerana dia dilahirkan lebih awal dari tarikh jangkaan. Tapi itu membolehkan saya membuat pertimbangan untuk bersalin secara normal, dan akhirnya saya selamat melahirkan tanpa perlu menjalani pembedahan.
“Setelah memiliki anak sendiri, saya akhirnya berasa diri ini telah dewasa. Setelah bertemu insan yang saya sayangi melebihi diri sendiri, saya berasa tidak berdaya namun pada masa sama lebih kuat berbanding sebelum ini. Saya mampu lakukan apa sahaja dan segala-galanya.”
Hyun Bin dan Son Ye Jin bergelar suami isteri dalam satu majlis intim mewah yang menelan belanja sekitar RM600,000 di Sheraton Grand Walkerhill Hotel, Seoul pada 31 Mac 2022 selepas dua tahun menjalin cinta.
Foto: Twitter