GLAM Skop: Kuasa Nepotisme Dalam Pasaran Mewah - Glam Malaysia

GLAM Skop: Kuasa Nepotisme Dalam Pasaran Mewah

NEPOTISME BUKAN ISTILAH BAHARU NAMUN KEWUJUDANNYA HANYA MENCURI PERHATIAN DUNIA BEBERAPA TAHUN KEBELAKANGAN INI. DEK KEMUNCULAN ‘NEPO BABY’ YANG BAGAI CENDAWAN TUMBUH SELEPAS HUJAN, POPULARITINYA TURUT MENJADI BUALAN. BAGAIMANA IA MEMAINKAN PERANAN DALAM INDUSTRI FESYEN HARI INI?

Tahun demi tahun fenomena nepotisme semakin hangat diperkatakan di media sosial, terutama selepas tanda pagar #nepotismbaby menjadi sohor dan meraih 10 juta tontonan di TikTok tahun lalu. Istilah ini merujuk kepada golongan yang mendapat kelebihan daripada latar belakang keluarga untuk mencapai cita-cita dengan cara mudah. Walaupun mengundang kritikan ramai kerana dianggap tidak adil, ia semakin berleluasa dalam hampir semua sektor kerjaya termasuk industri fesyen global.

Dalam dunia yang semakin galak dan berkembang dari segenap segi, nepotisme dilihat sebagai satu perkara biasa atau lebih tepat sudah dijangka. Dahulu seseorang perlu merangkak dari bawah untuk mencipta nama di persada antarabangsa tetapi kini jalan pintas sudah tersedia. Pengaruh ibu bapa popular menjadi batu loncatan buat ‘nepo baby’ atau anak orang terkenal mendominasi sektor glamor. Bagai dibentang karpet merah, apa yang perlu mereka lakukan hanyalah menyambung legasi tanpa terlalu bersusah payah menitis keringat.

Sama seperti Hollywood, industri fesyen hari ini mengambil pendekatan ‘mesra keluarga’ untuk beroperasi. Supermodel 90-an melahirkan ikon fesyen kelas-A, pemilik empayar pula membuka jalan bagi anak-anak mereka bergelar peneraju peniagaan mahupun pereka fesyen. Lihat sahaja pentas peragaan hari ini. Jika dahulu ia dibanjiri barisan selebriti berwajah jelita dan tampan, kini ‘nepo baby’ menjadi pilihan. Perniagaan fesyen juga mula diwariskan kepada anak sendiri walaupun mungkin kurang berpengalaman.

Nepotisme

Naratif Berubah Seiring Peredaran Zaman

Nepotisme mempunyai kuasa amat besar dan mencorak dunia peragaan hari ini. Pada zaman kegemilangan supermodel tiga dekad lalu, daya tarikan model bukan sahaja pada kaki panjang dan bibir mungil seksi tetapi kepercayaan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi seperti mereka. Misalnya Cindy Crawford, salah seorang ‘Original Supermodels’ tersohor. Bakatnya dicungkil jurugambar ketika menjual jagung kala bekerja sambilan sempena cuti sekolah. Dia berhenti kolej pada semester pertama dan tanpa menunggu lama wajahnya terpampang di kulit majalah Vogue.

See also
Kenyataan Politik Semasa Minggu Fesyen New York

Kisah ‘Cindy-rella’ ini menceminkan aspirasi sempurna buat gadis muda. Seorang penjual jagung yang sekelip mata mencipta nama di persada global. Justeru gadis-gadis ini mula memasang impian dan cita-cita. Bersama-sama media, mereka berpegang dan menyebar naratif ini; sesiapa sahaja dari apa jua latar belakang boleh menggapai kejayaan dengan sedikit tuah. Namun dengan dominasi platform sosial, media tradisional hilang kawalan mengangkat naratif aspirasi serupa. Kini lebih ramai terpesona dengan idea mempertahankan ketidaksamaan, tidak lagi pada kisah memberi inspirasi. Naratif ‘rags to runways’ digantikan dengan realiti menyedihkan iaitu jika mahu berjaya dalam dunia peragaan, anda tidak boleh sekadar menjadi Cindy Crawford, anda perlu menjadi anaknya.

‘Nepo Baby’ Rebutan Jenama Mewah

Kebanyakan model terkenal hari ini dilahirkan dalam kemasyhuran. Kendall Jenner dikenali menerusi rancangan realiti keluarganya, Keeping Up With The Kardashians. Lily-Rose Depp, Iris Law dan Esther McGregor pula mempunyai nama belakang tersohor – bapa mereka adalah aktor Johnny Depp, Jude Law dan Ewan McGregor. Barisan model berjaya lain seperti Kaia Gerber, Georgia May Jagger, Lila Moss serta adik-beradik Gigi dan Bella Hadid semuanya merupakan anak model ternama.

Tiada siapa boleh menyangkal latar belakang keluarga yang glamor membuka pintu luas untuk anak-anak menceburi bidang fesyen. ‘Nepo baby’ yang belum mencapai tahap profesional di pentas peragaan biasanya akan ditawarkan peranan yang menjadi idaman ramai – duta jenama mewah. Perjalanan kerjaya Lily-Rose Depp di pentas peragaan menjadi bualan sehingga kini. Bergelar model Chanel seawal usia 16 tahun,  dia dikenali kerana menjadi kegemaran Karl Lagerfeld. Malah Lily-Rose sering dipilih memperaga pada acara pembukaan dan penutup pertunjukan Chanel walaupun ketika itu masih bergelar pelajar sekolah. Hakikatnya hari ini sukar untuk menamakan jenama mewah yang langsung tidak menggunakan khidmat ‘nepo baby’. Perhatikan kempen-kempen rumah fesyen mewah sekarang ini. Iris Law dipilih sebagai wajah Versace, Leni Klum kini bergelar model Dior, Esther McGregor menjalin kerjasama dengan Miu Miu, dan Hailey Bieber membintangi kempen Saint Laurent.

See also
Nama Anak Puteri Eugenie Membawa Makna Tersendiri

‘Nepo baby’ lelaki juga mempunyai keistimewaan sama walaupun bilangan mereka tidak seramai wanita. Paris Brosnan, anak aktor Pierce Brosnan merupakan model Ralph Lauran dan Balmain, malah pernah menghiasi kulit majalah GQ Korea bersama abangnya Dylan. James Turlington, anak saudara supermodel Christy Turlington pernah bekerjasama dengan Ralph Lauren manakala Mingus Reedus, anak Helena Christensen kini model Versace.

Bagaimanapun tidak adil jika kejayaan ‘nepo baby’ di pentas peragaan hanya diukur pada nama keluarga. Mereka mungkin tidak bermula dari bawah namun dedikasi masing-masing tidak boleh dinafikan. Bak kata pepatah, ‘Alah bisa tegal biasa’. Jika pada awal kemunculan ada antara mereka yang digelar ‘kayu’, kini usaha keras membuktikan mereka bukan sekadar menjual rupa. Malah setengahnya mengatasi kejayaan dan kemasyhuran yang diraih ibu bapa atau keluarga.

Misalnya adik-beradik Hadid yang popularitinya jauh meninggalkan apa yang dicapai ibu mereka, Yolanda. Sejak kecil mereka dibentuk untuk menjadi supermodel malah segala pemakanan mereka dikawal. Gigi menceburi dunia peragaan seawal usia empat tahun dengan membintangi kempen Guess. Berkat kejayaan Gigi dan Bella termasuk adik bongsu Anwar, kini kakak mereka Alana Hadid turut bergelar model pentas peragaan. Baru-baru ini pada usia 38 tahun dia membuat kemunculan sulung di Minggu Fesyen Copenhagen untuk koleksi Musim Bunga/Panas 2024 Munthe.

Ada sebab kukuh mengapa mereka ini menjadi rebutan jenama mewah. Selain berwajah jelita dan tampan, ‘nepo baby’ memberi lebih jaminan menerusi ibu bapa. “Jenama fesyen sentiasa mahu mengambil langkah selamat. Fesyen adalah komuniti dan industri homogen, jadi dengan memilih anak-anak orang terkenal, mereka boleh menjamin komitmen dan tingkah laku yang baik. Ini kerana ‘nepo babies’ tahu, mereka bukan sahaja mewakili diri sendiri tetapi juga ibu bapa mereka,” kata Hikmat Mohammed, editor fesyen WWD.

See also
Bintang Terkenal Jin BTS Membawa Obor Olimpik Paris 2024

Pewaris Empayar Fesyen Nepotisme bukan hanya popular di pentas peragaan tetapi juga meluas ke dunia perniagaan fesyen. Kejayaan beberapa nama tersohor dalam rekaan fesyen tidak akan tercapai tanpa kelebihan yang diturunkan kepada mereka. Stella McCartney dilihat sebagai pilihan buruk ketika dilantik sebagai pengarah kreatif jenama Chloe, menggantikan Karl Lagerfeld pada 1997. Mengapa tidak, pemilihannya dikatakan berkait rapat dengan kemasyhuran bapanya Paul McCartney, penyanyi dan penulis lagu pujaan ramai.

Justeru ada sebab kukuh mengapa ia menjadi pertikaian ramai termasuk Karl Lagerfeld sendiri. “Saya rasa mereka sepatutnya memilih nama besar untuk jawatan ini. Ya, memang nama besar yang dipilih itu – tetapi dalam industri muzik, bukan fesyen,” katanya. Ketika itu, Stella hanya berusia 26 tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian dalam rekaan fesyen. Sekali gus dianggap mentah dan tidak berpengalaman.

Oleh kerana industri fesyen didominasi keluarga yang memiliki empayar, amalan ini bukan sahaja dilihat biasa tetapi juga sudah dijangka. Contohnya, David Lauren dilantik sebagai Ketua Pegawai Inovasi di syarikat bapanya, Ralph Lauren. Marta Ortega yang merupakan anak perempuan pengasas Zara, Amancio Ortega menerajui Inditex, syarikat induk Zara. Tidak lupa juga ‘nepo baby’ lain yang mewarisi perniagaan keluarga – Missoni, Fendi, Maramotti (Max Mara) dan Della Valle (Tod’s).

Apabila kita mula memberi perhatian penuh pada nepotisme, jelas dilihat ia sebenarnya ada di mana-mana. Ketua editor majalah fesyen Vogue, Anna Wintour adalah anak kepada editor akhbar Charles Wintour. Anak perempuan Anna, Bee Shaffer bekerja sebagai penulis Teen Vogue sebelum menceburi bidang penerbitan filem. Tiada yang mustahil dengan adanya ‘pas istimewa’ dan kenalan daripada keluarga ternama.

Tahun-tahun mendatang akan menyaksikan lebih ramai ‘nepo baby’ membanjiri pelbagai sudut dunia fesyen terutama di pentas peragaan. Trend ini diramal tidak akan perlahan malah akan terus mendominasi industri fesyen global dari semasa ke semasa.

 

Teks: Siti Syahidah Karim Bux

Grafik: Amirul Arifin