GLAM Profil: Ratu Cantik Pauline Amelinckx Dan Nicole Borromeo
Pauline Amelinckx

GLAM Profil: Ratu Cantik Pauline Amelinckx Dan Nicole Borromeo

Pentas ratu cantik pasti akan hangat dengan juita asal Filipina. Mereka ini adalah pendahulu di asia dan kekal menjadi negara paling maju dalam hal perwakilan ke pertandingan ratu cantik. Bagi Pauline Amelinckx dan Nicole Borromeo, pentas ratu cantik bukan hanya tentang kejelitaan semata-mata, ia lebih berfalsafah dan perlu menjadi simbol positif kepada wanita sejagat.

pengarah kreatf AIZAT AIDID pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar DOC MARLON penata gaya MIKEE ANDREI solekan LEI PONCE dibantu oleh MARIE KHRISSY SKY (PAULINE AMELINCKX) DAN JIM RYAN ROS (NICOLE BORROMEO) dandanan JECK AGUILAR (PAULINE AMELINCKX) DAN KURT ANDREI (NICOLE BORROMEO)

Ketika kami sedang berbincang tentang ruang profil bagi isu istimewa ini, satu cadangan dilontarkan daripada Datin Azliza. Beliau mencadangkan untuk merakam ratu cantik asal Filipina. Tak sempurnalah jika ke Filipina jika tidak menemubual ratu cantik mereka. Negara ini adalah jagoan besar di pentas ratu cantik. Cadangan itu disambut meriah oleh kami semua. Terus saya susun satu persatu rancangan untuk mendapatkan ratu cantik asal negara ini.

Pastinya saya perlu dapatkan gadis-gadis di Aces and Queens. Ini adalah satu rumah yang menjadi pilihan ramai gadis yang mahu bergelar ratu cantik. Bukan sahaja daripada Filipina, malahan juita luar juga sanggup terbang untuk berguru dengan Aces and Queens. Setiap tahun Aces and Queens pasti akan menang besar di pertandingan-pertandingan yang mereka masuk. Gadis-gadis mereka cukup sempurna daripada raut wajah yang cantik, stail yang memikat juga otak yang diasah agar menepati kriteria juri.

Lantas pesanan yang dikirimkan melalui Instagram dijawab oleh Aces and Queens. Mereka tidak mahu melepaskan peluang ini. Dua ratu cantik yang menang di pertandingan antarabangsa ditaruhkan buat ruangan profil bersama GLAM. Pertama adalah Pauline Amelinckx, yang merupakan gadis senior dalam lapangan ratu cantik. Kedua pula adalah Nicole Borromeo yang masuk pertandingan dan terus meraih tempat pertama. Nyata kedua-dua juita ini membawa fikiran yang unik serta moden kepada landskap pertandingan ratu cantik.

Pauline Amelinckx, Pemenang Tempat Kedua Miss Supranational 2023

 Pauline Amelinckx

Dia adalah insan yang pertama tiba di studio. “Panggil sahaja saya Paupau,” ujarnya dengan nada yang cukup lembut. Pauline Amelinckx atau lebih senang dengan panggilan Paupau adalah dikira veteran di dalam arena ratu cantik ini. Perjalanan dia sebagai ratu cantik sudah bermula sejak bergelar pelajar di universiti lagi. “Saya ini adalah seorang yang cukup pemalu. Tetapi disebabkan ada rakan-rakan yang menyokong, lalu saya gagahkan juga menyertai pertandingan ratu cantik di tempat saya belajar. Berkat pertolongan rakan-rakan, gadis yang pemalu ini dapat tempat pertama. Ini telah membuka ruang kepada saya untuk mencuba lagi. Kerana saya cukup sukakan melakukan yang terbaik di atas pentas,” cerita Pauline tentang bagaimana dia bermula menceburi dunia ratu cantik. Sejak daripada itu, Pauline tidak jemu mencuba menyertai pertandingan ratu cantik setiap tahun. Bermula dengan di universiti, kemudiannya ke perbandaran, wilayah dan terakhir ke pentas nasional. “Saya mendapat motivasi yang mana setiap pertandingan akan mempunyai pengalaman yang tersendiri serta a stronger Paupau is waiting!” ujarnya lagi.

See also
Meerqeen Sertai Anna Jobling Dalam Senarai Tercantik & Terkacak TC Candler

Nyata semangatnya cukup kuat. Tiada apa yang mampu menghalang Pauline untuk merangkul kejayaan. Gadis berumur 28 tahun ini telah mencuba nasib sebanyak tiga kali di pentas Miss Universe Philippines. Semuanya beroleh kejayaan dengan mendapat tempat lima teratas. Walaupun dia tahu yang dia bukanlah pilihan ideal untuk menang mahkota utama. Tetapi semangat juangnya itu mencuri hati peminat pertandingan ratu cantik. “Pada 2022 adalah tahun paling sukar buat saya. Kerana waktu itu adalah masa saya menerima kritikan paling dahsyat berkaitan bentuk badan. Tetapi ketika pusingan akhir di pentas Miss Universe Philippines 2022, saya ditanya tentang keputusan yang mengubah hidup dan saya menjawab tentang menyertai pertandingan ini semula walaupun dikritik tentang bentuk badan. It was a moment of vulnerability. Saya mengambil ruang ini untuk melihat pada kelemahan itu mampu memperkasakan saya. Jelas sekali, apabila kita berkongsi kisah perit ia mampu menolong orang lain juga,” kata Pauline yang akhirnya dilantik menjadi wakil Filipina ke Miss Supranational 2023.

Atas cerita inilah membuatkan Pauline untuk belajar mencintai diri. Biarpun dihujani dengan kritikan oleh peminat ratu cantik serta orang asing perihal bentuk badannya. “Sampaikan saya terpedaya dengan kritikan orang bahawa badan saya tidak cantik dan saya perlu mengubahnya. Atau melakukan prosedur agar badan ini menepati selera orang ramai. Saya sedar dan terus cuba untuk mengendahkan komen tetapi ia memberi perasaan yang gusar. Akhirnya saya percaya yang semua orang mempunyai pandangan mereka. Tetapi sebenarnya tiada peraturan ukuran badan untuk menjadi ratu cantik yang memberi impak.” Maka apa Pauline buat adalah menukar pemikirannya sendiri dan berdiri tegas bahawa pandangan orang lain tentang dirinya bukanlah satu penghalang. “Badan yang sihat, kuat dan otak yang bahagia adalah lebih penting daripada pandangan orang lain. Cinta pada diri bukanlah satu penghujung dan ia perlu kekal setiap hari.”

Bergelar ratu cantik juga turut menyumbang kepada perkembangan diri Pauline. Sedar dari kecil dia seorang yang pemalu, tetapi kerana menyertai pertandingan ratu cantik dia mula keluar daripada kepompong. Katanya mungkin dia tidak akan mendapat semua ini jika hanya berada pada zon selamat. Keyakinan diri yang dimiliki kini dapat diguna pakai buat aspek kehidupan yang lain. Menyertai pertandingan ini membuka peluang kepada Pauline untuk mencuba menjadi pengacara. Ia adalah satu kerjaya yang amat disukai olehnya. Perjalanan ini juga membawanya untuk berhubung dengan lebih ramai orang, ratu cantik serta para insan kreatif yang kini boleh dianggap sebagai keluarga buatnya. “Saya tidak boleh bayangkan apa akan jadi dengan kehidupan saya jika tidak menjadi sebahagian daripada ini,” kata Pauline lagi.

See also
Selak Rahsia Cantik Si Ratu Wenanita Angang

“Platform dan pertandingan ratu cantik ini mampu menjangkau dengan amat luas. Seperti dengan kehidupan sebenar, ia mempunyai pelbagai halangan dan kami berusaha untuk menjadi lebih baik. Memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan diri. Tiada dua jalan yang sama, tetapi akan ada persamaannya,” kongsi Pauline apabila ditanya tentang bagaimana ratu cantik memperkasakan wanita. Sambungnya lagi “Apabila berkongsi perjalanan, kesusahan dan kegembiraan, kita boleh menolong orang yang mempunyai situasi seperti kami. Saya juga merasakan platform ini mampu memberi harapan. Hope that someone who doesn’t really fit the traditional norms, can still make a difference. Harapan kepada orang yang tidak mampu menyayangi diri dek kerana kritikan bentuk badan masih boleh berbuat sesuatu yang bagus. Apabila berkongsi tentang perjalanan, ia mencipta hala tuju yang bersifat inklusif. Itu sendiri sudah mampu memperkasakan wanita. Mencintai diri mereka dan terus mengejar cita-cita walaupun sudah dua atau tiga kali mencuba,” kata Pauline menokhtahi bual bicara kami.

Nicole Borromeo, Pemenang Tempat Keempat Miss International 2023

 Pauline Amelinckx

Nicole Borromeo kulitnya putih mulus, rambutnya tebal dan sihat serta senyumannya memikat sekali. Setiap kata yang terpacul daripada bibir mungil itu cukup halus bunyinya. Sememangnya, Nicole adalah calon terbaik ke pentas Miss International. Lagi-lagi, pertandingan ratu cantik ini berlangsung di Jepun, negara yang tinggi adabnya. “Setelah memenangi mahkota tempat keempat di Miss International 2023, visi saya adalah untuk melangkah lebih jauh daripada apa yang ada. Mahu membawa lebih ramai untuk menghargai tradisi, budaya dan kepelbagaian. Selain itu saya juga mahu memupuk perpaduan dan persefahaman antarabangsa dalam dunia yang mampan di mana lebih banyak peluang boleh diakses buat semua,” Nicole membuka bicaranya. Gadis asal Cebu City ini juga berkongsi yang dia menyertai pertandingan ratu cantik kerana mahu mencipta gerakan yang memberi impak serta memperluaskan mesej positif.

Nicole cukup berkobar apabila bercerita tentang seni dan budaya. “Sejak dimahkotakan beberapa bulan yang lepas, saya bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada Sinulog Festival yang pertama di Jepun pada awal tahun ini. Acara ini menjadi lebih sukses dengan sokongan komuniti Filipina yang tinggal di Jepun. Saya berpeluang berkenalan dengan mereka sewaktu pertandingan Miss International 2023. Apatah lagi, saya adalah bekas ratu cantik buat Sinulog Festival yang mewakili Cebu. Maka acara ini cukup signifikan buat saya secara peribadi,” kongsi Nicole. Tambahnya lagi festival ini memberikan penekanan kepada hubungan yang terjalin antara budaya Jepun dan Filipina. Serta bagi Nicole juga acara sebegini membuatkan kita lebih menghargai tradisi, mengajar tentang kemewahan budaya Filipina dan selangkah maju dalam mewujudkan persefahaman global, perpaduan dan apresiasi.

See also
GLAM PROFIL: Z FOR ZAMAERA!

Sebagai pemenang ratu dalam usia yang muda, Nicole merasakan pengajaran yang melekat dihatinya dan bakal dijadikan pegangang hidup adalah nilai komitmen. “Integriti adalah satu komitmen yang memberi aspirasi kepada saya dan juga janji yang saya berikan kepada organisasi serta komuniti yang saya berkhidmat. Ia mengajar untuk menjadi lebih berdisiplin dan tegas dalam bersemuka dengan halangan, untuk menghormati tanggungjawab saya, dan untuk menegakkan amanah yang diberikan kepada saya,” ujar Nicole yang menang tempat pertama buat pertandingan Binibining Pilipinas 2022, yakni satu pertandingan ratu cantik paling berprestij di Filipina. Selain itu, baginya menjadi ratu cantik itu perlu bijak menyampaikan mesej dengan lebih artikulasi dan jelas. “Saya belajar untuk mempersembahkan idea, berhubung dengan orang dengan mempunyai visi yang sama. Membentuk saya menjadi seseorang yang mampu memupuk persefahaman dan kerjasama juga memberi inspirasi. Skil ini menjadi kompas dalam mengajar saya membuat keputusan dengan lebih fokus,” kongsi Nicole.

“Menjadi ratu cantik telah membawa transformasi kepada saya dan perubahan yang cukup mendalam. Ia telah menanamkan kesedaran dalam membuat pilihan seperti apa yang perlu dihadam dan bagaimana menguruskan masa. Mahkota yang diberikan itu menjadi satu peringatan untuk menjadi seorang wanita yang ideal yang berhak menyarungkannya. Maka saya mahu membawa simbol itu dengan sempurna,” kata Nicole tentang kontribusi bergelar ratu cantik kepada pertumbuhan peribadinya. “Ada masa kita akan merasa ragu-ragu, maka mahkota itu akan menjadi satu simbol bukan sahaja pada kejayaan peribadi malah berpotensi untuk memberi impak positif kepada kehidupan. Ia membuatkan saya melihat daripada luar dan membayangkan kehidupan yang boleh saya sentuh, pintu yang boleh saya buka, dan legasi positif yang berkekalan yang boleh saya tinggalkan. Ia adalah satu ombak berterusan untuk menjadi lebih baik daripada saya sebelum ini. Saya menyedari bahawa orang menjadikan saya sebagai sumber harapan dan inspirasi.”

Kami beralih bicara tentang standard kecantikan di pentas ratu cantik sekarang. Apa pandangan Nicole tentang pertandingan ratu cantik lebih bersifat inklusif? “Standard kecantikan bertunjangkan kepelbagaian dan tidak mempunyai satu definisi yang pencil. Kami sebagai ratu cantik mempunyai kuasa dalam mendefinisikan semula norma dan mencipta perubahan yang menginspirasi. Serta perlu memberi penekanan dalam rupa kecantikan yang pelbagai. Perlulah pastikan yang pentas itu menjadi refleksi kecantikan yang bermacam rupa yang wujud di muka bumi ini,” ujar Nicole. Dia turut mahu mengajak semua untuk terus mempromosikan kecintaan pada diri dan menerima setiap kisah unik, kesusahan dan kejayaan yang mencipta naratif kepada wanita.