Bukan Sekadar Raksasa, Frankenstein Netflix Sentuh Hati Dengan Keindahan Tragik
Jika anda mencari sebuah filem yang melangkaui sekadar kisah seram, Frankenstein versi baharu di Netflix wajib ada dalam senarai tontonan anda. Adaptasi ini bukan hanya menghidupkan kembali mitos klasik Mary Shelley, tetapi menyingkap sisi paling halus dalam diri manusia iaitu kesepian, rasa bersalah, dan keinginan untuk diterima. Dalam sentuhan magis pengarah tersohor Guillermo del Toro, kisah ini muncul sebagai renungan tentang jiwa, bukannya sekadar sosok raksasa.
Apa yang membuatnya menonjol ialah bagaimana del Toro menyulam estetika gelap dan keindahan tragik ke dalam naratifnya. Ia bukan tentang sains dan ciptaan semata, tetapi tentang hati manusia yang remuk, yang ingin difahami dan disayangi. Penonton bukan hanya menyaksikan makhluk itu, kita turut merasakan penderitaannya.
Dibintangi dua nama besar Hollywood, Oscar Isaac sebagai Victor Frankenstein dan Jacob Elordi sebagai ciptaannya, filem ini sarat dengan lakonan yang menggugah jiwa. Pengkritik filem antarabangsa memuji keserasian mereka; Elordi memaparkan sisi lembut dan bijaksana makhluknya, sementara Isaac membawa kedegilan Victor dengan intense yang cukup menguji kesabaran. Seperti yang dicatat oleh The Hollywood Reporter, filem ini “melangkaui batas genre, bukan sekadar seram, tetapi tragedi romantik yang menarik perhatian.
Mengapa Frankenstein Netflix jadi sebuah fenomena
Apa yang menjadikan Frankenstein Netflix begitu menarik ialah keberanian del Toro memberi ruang kepada “makhluk” untuk bersuara. Kita tidak lagi memandangnya sebagai simbol ketakutan, tetapi sebagai refleksi kepada sisi gelap manusia sendiri. Tema kemanusiaan yang diolah dengan lembut ini membuatkan filem terasa lebih peribadi dan mungkin, lebih jujur.
Dari sudut visual, filem ini bagaikan puisi gelap yang hidup. Pengarah yang terkenal dengan dunia magis dan surealisme itu sekali lagi menunjukkan sentuhan artistiknya menerusi pencahayaan suram, set gothic dan reka bentuk ciptaan yang menakutkan namun indah. Setiap frame terasa seperti lukisan yang dirangka dengan penuh emosi.

Kredit foto: Netflix
Pelancaran Frankenstein Netflix juga memainkan peranan besar. Selepas tayangan terhad di festival dan pawagam antarabangsa, kehadirannya di platform global memberi peluang kepada penonton seluruh dunia termasuk di Malaysia untuk menyelami semula kisah ini dengan cara yang lebih personal. Ulasan positif dan sambutan hangat di media sosial menjadikannya bukan sekadar filem, tetapi satu perbualan budaya.
Dekat di hati penonton Malaysia

Kredit foto: Netflix
Walaupun kisah asalnya berakar daripada sastera Inggeris abad ke-19, temanya kekal sejagat, pencarian makna hidup, rasa bersalah, dan kerinduan terhadap kasih sayang. Inilah sebabnya mengapa Frankenstein Netflix mudah menyentuh hati penonton tempatan. Ia membawa emosi yang tulus, tidak terikat kepada budaya atau masa.
Selain itu, kemudahan menontonnya di Netflix menjadikan ia pilihan ideal untuk malam santai di rumah. Dengan kualiti produksi yang setanding filem layar perak, Frankenstein Netflix menawarkan pengalaman menonton yang memuaskan baik untuk penggemar panggung seni mahupun pencinta kisah tragik yang romantis.
Dan bagi mereka yang masih ragu, pujian bertalu-talu daripada pengkritik ternama sudah cukup menjadi jaminan. Filem ini bukan sekadar adaptasi baru, tetapi satu karya yang menghidupkan semula jiwa klasik dengan cara yang segar dan berperasaan.

Kredit foto: Netflix
Secara keseluruhan, Frankenstein Netflix ialah gabungan sempurna antara keindahan visual dan kedalaman emosi. Guillermo del Toro membuktikan bahawa mitos lama boleh diberi nafas baru dengan lebih rasa, lebih simpati, dan lebih jiwa. Ia bukan kisah tentang raksasa, tetapi tentang manusia.
Jika anda belum menontonnya, biarlah malam anda ditemani kisah yang gelap namun mempesona ini. Kerana di balik wajah makhluk yang menakutkan itu, tersembunyi hati yang paling manusia sekali.
Artikel berkaitan: 6 Filem Seram & Thriller Wajib Anda Tonton Tahun 2025
Farhana Fuad
Farhana Fuad merupakan Pengurus Kanan Kandungan di GLAM Malaysia. Menggabungkan kepakaran dalam penulisan editorial dan strategi SEO, Farhana menerajui kandungan semasa dan gaya hidup.

